19 September 2010

MENGERATKAN PERPADUAN MELALUI SAMBUTAN PERAYAAN

Jabu menghadiri majlis MRTAF 2010 kampung melayu Betong


Majlis penyampaian Insentif Galakan pelajar cemerlang



Jabu menyampaikan Insentif kepada pelajar cemerlang pada majlis tersebut

BETONG. (Sabtu). Jawatankuasa majlis Ramah Tamah Aidilfirti 2010 Kampung Melayu Betong telah menganjurkan majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang diadakan di Dewan Panglima Rentap Betong baru-baru ini.

Majlis yang telah mendapat perhatian dan sumbangan daripada kedua-dua Yang Berhormat ADUN dan Parlimen dikawasan berkenaan sebanyak RM5,000.00 setiap seorang daripada mereka telah dilangsungkan dengan cukup meriah dengan dihadiri sekitar 1500 penduduk di 6 buah kampung Melayu di Betong.

Program yang dianjurkan merupakan salah satu aktiviti tahunan bagi penduduk Kampung Melayu Betong bertujuan menggalakkan penduduk kampung untuk bekerjasama dan mengeratkan perpaduan dikalangan 6 buah kampung Melayu di situ.

Majlis tersebut turut dirasmikan oleh YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu anak Numpang. Pada majlis berkenaan beliau turut menyampaikan Insentif Galakan untuk 12 pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM pada tahun 2009 peringkat kampung Melayu Betong. Jumlah sumbangan tersebut mencapai nilai RM 2,290.00

Terdahulu beliau telah berkesempatan menjemput semua penduduk kampung melayu Betong untuk hadir ke Majlis Ramah Tamah Bahagian Betong yang akan diadakan di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong pada 29 September 2010 nanti dan akan dirasmikan oleh YAB Penih Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud Ketua Menteri Sarawak.

Jabu juga memberitahu bahawa pada majlis itu nanti YAB Ketua Menteri akan melancarkan Buku Pictorial Betong dimana buku berkenaan merupakan paparan sejarah Bahagian Betong dan kejayaan yang telah dicapai sejak 47 tahun bergabung membentuk Malaysia yang merangkumi seluruh bahagian Betong dan Saratok.

Dianggarkan kira-kira 3000 penduduk Betong akan menghadiri majlis itu nanti yang turut melibatkan kampung-kampung, jabatan-jabatan, pertubuhan dan persatuan diseluruh bahagian Betong.

Beliau juga telah menjawab beberapa permohonan penduduk kampung Melayu di Betong yang mengaitkan tentang kawasan 118 lot tapak kampung Melayu Betong yang masih belum dibahagikan kepada penduduk kampung adalah khas untuk penduduk Kampung Melayu Betong.

Jabu menjelaskan kelewatan penyerahan adalah berhubung kait dengan projek raksaksa yang dirancangkan di Betong melibatkan kawasan berkenaan yang mana kajian menyeluruh telah diajukan kepada kerajaan pusat bagi membina pembentung untuk mengelak banjir di Betong. Perancangan tersebut dijangka akan dibina dalam RMK-10 nanti.

Jabu yang mewakili YAB Ketua Menteri menghadiri Majlis Hari Malaysia di Negeri Sabah pada 16 September yang lalu juga berkesempatan menandatangani satu memorandum yang mengatakan bahawa 16 September setiap tahun telah diberi taraf hari pelepasan Awam untuk Rakyat Malaysia.

Turut menghadiri majlis berkenaan ialah YB Dato Sri Douglas Uggah anak Embas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Betong, Dato Romie Sigan Daniel Residen Bahagian Betong, Encik Friday anak Belik Pegawai Daerah Betong, Ketua-ketua jabatan, Ketua Kaum, Pengerusi Persatuan dan agensi-agensi di sekitar Betong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan