BERITA SUKAN





JASA BETONG ANJUR SUKANEKA TERTUTUP KAMPUNG MELAYU BETONG


Betong, 15 Mei 2010 (Sabtu). JASA Betong dengan kerjasama Ranting PBB Kampung Hilir/Tengah Betong, Ranting PBB Kampung Masjid/Passa Betong dan Ranting PBB Kampung Baru Hulu/Hilir Betong akan menganjurkan Program Sukaneka peringkat Kampung Melayu Betong.
Program Sukaneka yang dirancang akan diadakan pada 29 Mei 2010 bertempat di Kompleks Sukan Betong merupakan aktiviti tertutup untuk penduduk Kampung Melayu Betong yang merangkumi Kampung Hilir yang bergabung dengan Kampung Tengah Betong, Kampung Masjid bergabung bersama Kampung Melayu Passa Betong dan Kampung Baru Hulu bergabung dengan Kampung Baru Hilir Betong.

“Program ini adalah anjuran JASA Betong dengan kerjasama tiga Ranting PBB di Kampung Melayu Betong dan pelbagai acara telah kita rancang bagi menjayakan program tersebut”. Kata Pengerusi Ranting PBB Kampung Hilir/Tengah Betong, Encik Abdul Rahman bin Ismail yang juga merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa program berkenaan.
“Encik Tony Malang, pegawai JASA Betong telah memohon kepada kami, Pengerusi Ranting PBB di ketiga-tiga kawasan ini untuk menjadi Pengerusi Bersama untuk sukaneka berkenaan.

“Matlamat utama penganjuran program ini adalah mewujudkan masyarakat bersatu-padu dan harmoni melalui aktiviti sukan, pertemuan dan pergaulan menerusi aktiviti yang telah dirancangkan. Kita juga telah membahagi kepada 3 zon yang masing-masing melibatkan Ranting PBB kawasan terbabit.

“Zon Kuning untuk pasukan Ranting PBB Kampung Baru Hulu/Hilir Betong, Zon Merah pasukan Ranting PBB Kampung Masjid /Passa Betong dan Zon Biru pasukan Ranting Kampung Hilir/Tengah Betong. Semua pasukan yang mengambil bahagian akan menggunakan pakaian mengikut warna zon masing-masing”.



“JASA Betong telah memperuntukkan sebanyak RM 5,000.00 untuk menjalankan aktiviti berkenaan dan memohon kerjasama pihak Ranting PBB di kawasan kita untuk menjayakan program ini. Pihak kita juga telah menubuhkan jawatankuasa Induk program dan jawatankuasa permainan bagi merancang berbagai acara dalam program tersebut. Ada juga permainan lama yang kita gabungkan bagi mengetengahkan permainan tersebut kepada belia kampung”. Tambah beliau.

Antara acara yang dipertandingkan adalah Lari dalam guni berganti-ganti, Tiup belon sampai pecah, Isi air dalam botol menggunakan span, Lari bawa bola ping-pong menggunakan sudu, Pancing botol, Bola Sepak Lelaki (berkain pelikat), Tarik Tali Lelaki dan Wanita, Kuit, Menganyam Ketupat dan Membuat kuih asli.

“JKKK Kampung Masjid Betong yang telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan buku program memohon kepada semua pengerusi jawatankuasa permainan yang juga telah diminta menyediakan kertas kerja bagi setiap permainan yang dirancang menyerahkan kertas kerja mereka kepada jawatankuasa kami. Ini adalah untuk persediaan mengendalikan setiap permainan semasa sukaneka itu nanti dan semua kertas kerja tersebut juga akan dimasukkan dalam buku program”. Jelas Encik Saleman bin Senin selaku ahli jawatankuasa Buku Program sempena Sukaneka berkenaan.

Pihak pengelola juga berharap sukaneka itu nanti akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini dan semua perancangan akan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak yang terlibat






PUSAT JAHITAN KEMAS KAMPUNG TENGAH BETONG ADAKAN PROGRAM SUKANEKA.


 
LAJU LAJU... acara sukaneka sedang dijalankan


BETONG 09 Mei 2010 (Ahad). Pusat Jahitan Kemas Kampung Tengah Betong telah mengadakan program Sukaneka peringkat Kampung Melayu Betong. Sukaneka yang diadakan telah dilangsungkan di Kompleks Sukan Betong adalah merupakan satu daripada aktiviti yang telah dirancang oleh ahli jawatankuasa pusat jahitan berkenaan.

Sebanyak 5 kategori telah dipertandingkan antaranya Kategori Kanak-kanak 7 – 8 tahun, menyenaraikan acara Membawa Bola Ping Pong Menggunakan Sudu yang telah dimenangi adik Nuramirah di tempat kedua adik Awang Yuhazril dan ketiga Nurathirah. Acara kedua Meniup Belon Sampai Pecah yang telah dimenangi oleh adik Nuramirah. Tempat kedua adik Hafizul dan ketiga adik Awang Yuhazril.

Kategori Kanak-kanak berumur 9 – 10 tahun acara yang dipertandingkan ialah Mengisi Air. Dalam Botol Menggunakan Span yang telah dimenangi oleh adik Aiza Nazura . Kedua adik Nursabrina dan ketiga adik Mazlan. Acara seterusnya pula ialah Lari 100 meter yang telah dimenangi oleh adik Adib Afiq. Tempat kedua adik Norsyazwan dan ketiga adik Siti Nursalasiah.

Kategori Senior pula mempertandingkan acara Bawa Air Dalam Gelas Atas Kepala dimana Pn. Rogayah Amin memenangi acara berkenaan. Menduduki tempat kedua pula Pn Saerah Unji dan Ketiga Pn Rina Endang. Acara Meniup Gula-gula Dalam Tepung telah dimenangi oleh Pn Hajijah bt Sait. Kedua Pn Saerah Unji dan ketiga Pn Rafidah Abdul Rahman.

Selain itu acara Pancing Botol turut dipertandingkan dimana Pn Rafidah Abdul Rahman telah menjuarai. Ditempat kedua pula Pn Saerah Unji dan ketiga Pn Asha. Bagi acara Menyepak Bola Paling Jauh telah dimenangi oleh Pn Asha. Kedua Pn Rina Endang dan ketiga Pn Rowin.

Kategori Veteran menyenaraikan acara Mengisi Air Dalam Botol Menggunakan Span yang telah dimenangi oleh Dyg Missiah Awg Wilie. Kedua Dyg Rajemah Abg Abdul Karim manakala ketiga Dyg Rasidah Abg Amin. Acara Menyepak Bola Paling Jauh telah dimenangi oleh Pn Sabtuyah Hj Hussin di tempat kedua pula Dyg Missiah Awg Willie dan ketiga Dyg Rasidah Abg Amin.

Seterusnya acara Membuat Kerubong Celorot. Acara ini telah dimenangi oleh Pn Jauyah. Kedua Pn Fatimah Abdullah. Ketiga Pn Ebek Sait. Acara Bawa Bola Ping Pong Dalam Sudu. Acara ini pula melihat Pn Jauyah pertama. Kedua Pn Fatimah Abdullah manakala ketiga Pn Ebek Sait.

Kategori ini menyenaraikan acara Bawa Bola Ping Pong Dalam Sudu yang telah dimenangi oleh Pn Jauyah. Kedua Pn Sabtuyah Hj Hussin dan ketiga Rogayah Abang.

Bagi kategori Berkumpulan, acara Menyusun batu Bata dimana kumpulan Houzen telah menjuarai acara berkenaan di tempat kedua kumpulan Harimau Berantai dan ketiga 3N2. Bagi acara Menarik kawan Menggunakan Guni pula kedudukan pertama kumpulan Skaloi. Kedua Houzen dan ketiga 3N2.
Selain itu acara Berjalan Menggunakan Selipar Gergasi dimana kumpulan Cok Ajak. Kedua kumpulan Liga Ligo dan ketiga Jebon.

Acara Lari Berganti-ganti menyaksi kumpulan Liga Ligo menjuarai Acara berkenaan. Kedua Houzen dan ketiga Skaloi. Acara terakhir disenarai pula ialah acara Tarik Tali yang telah dimenangi oleh Kumpulah Houzen Kedua pasukan Harimau Berantai dan ketiga Cok Ajak.

 Terdahulu sebanyak 13 pasukan telah mengambil bahagian dalam sukaneka tersebut yang terdiri dari pada penduduk kampung melayu Betong.

Penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Encik David anak Bunsu Penyelia di Pejabat Kemas Daerah Betong. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Penghulu Kampung Melayu Betong Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit dan Ketua Kampung, Kampung Hilir Betong Encik Segara bin Dukari.

Mereka juga turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang sebelum majlis berakhir.






KEJOHANAN SEPAK TAKRAW MSS NEGERI SARAWAK TAHUN 2010


UNTUK KENANGAN....  pemain yang terpilih mewakili negeri sarawak

BETONG, 06 MEI 2010. Sekali lagi Bahagian Betong bergema dengan sorakan peserta dan peminat-peminat Sepak Takraw dimana pada tahun ini MSS Bahagian Betong telah diberi penghormatan untuk menganjur kejohanan berkenaan. Kejohanan yang berlangsung selama 3 hari bermula 04 sehingga 06 Mei 2010.


Kejohanan yang menyaksikan beberapa kategori dipertandingkan. Bagi kategori 18Tahun Kebawah dan 15 Tahun Kebawah, perlawanan telah diadakan di Stadium Mini Betong manakala kategori 12 Tahun Kebawah telah dilangsungkan di SM Vokasional Betong.

Bagi Kategori 18 Tahun Kebawah dan 12 Tahun Kebawah, 2 acara telah dipertandingkan. Acara Berpasukan dan regu. Kategori 15 Tahun Kebawah pula hanya acara regu dipertandingkan.

Kategori 18 Tahun Kebawah.
Berpasukan

Kategori 18 Tahun Kebawah Berpasukan telah dimenangi oleh pasukan MSS Bahagian Samarahan yang telah menewaskan MSS Bahagian Kuching dalam aksi final dengan mata 2-0. MSS Bahagian Miri yang beraksi dalam perebutan tempat ketiga menentang MSS Bahagian Betong terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah yang juga tewas 2 – 0.

Regu

Untuk acara regu 18TKB pula MSS Bahagian Samarahan telah menewaskan regu MSS Miri dalam perlawanan akhir dengan keputusan 2 - 1.

Tempat ketiga telah dimenangi regu Kuching yang telah menewaskan regu Kapit juga dengan mata 2 – 1 pada kejohanan kali ini.

Kategori 15 Tahun Kebawah


Kategori 15TKB hanya acara regu dipertandingkan. Kategori ini telah memperlihatkan kehebatan regu Kuching dimana regu MSS Bahagian Kuching bertarung sesama sendiri dalam aksi perlawanan akhir. Regu Kuching B telah berjaya menumpaskan regu Kuching A dengan mata 2 – 1 pada aksi final kejohanan berkenaan. Regu MSS Miri pula telah menewaskan regu MSS Betong dengan mata 2 – 0 dalam perlawanan perebutan tempat ketiga.

Kategori 12 Tahun Kebawah
Berpasukan

Acara Berpasukan untuk Kategori 12 Tahun Kebawah telah di menangi MSS Bahagian Betong, tempat kedua MSS Bahagian Kuching dan Tempat Ketiga MSS Bahagian Samarahan. Acara yang dipertandingkan dengan sistem liga kerana hanya 5 bahagian sahaja yang menyertai kejohanan kategori berkenaan pada kali ini.

Regu

Untuk acara regu 12TKB regu MSS Kuching telah menumpaskan regu MSS Betong dalam perlawanan akhir dengan mata 2 – 0.

Manakala ditempat ketiga regu MSS Kapit yang telah menewaskan regu MSS Miri juga dengan mata 2 - 1.


Kejohanan kali ini telah disertai sebanyak 6 pasukan untuk kategori 18TKB Berpasukan antaranya MSS Miri, Kuching, Samarahan, Mukah, Kapit dan tuan rumah Betong.

Untuk acara regu 18TKB pula sebanyak 7 regu dimana selain bahagian yang telah tersenarai, MSS Sarikei turut menyertai acara berkenaan walaupun tidak menghantar acara berpasukan.

15TKB regu pula membariskan 2 regu Betong, 2 regu Kuching, 2 regu Mukah masing-masing satu regu bagi Miri dan Samarahan

Untuk kategori 12 TKB Berpasukan, sebanyak 5 pasukan mengambil bahagian antaranya ialah MSS Kuching, Samarahan, Miri, Kapit dan tuan rumah Betong.
Bagi kategori 12TKB regu, sebanyak 6 regu yang bertanding. Selain regu dari pasukan yang sedia ada regu Sarikei juga turut menyertai walaupun tidak mengambil bahagian dalam acara berpasukan.

Kejohanan kali ini sedikit tercemar dengan ketiadaan lampu limpah di stadium mini tempat kejohanan berlangsung. Perlawanan akhir 18TKB berpasukan yang menemukan pasukan MSS Samarahan menentang MSS Kuching terpaksa diteruskan dan berlanjutan hingga ke malam walaupun hanya mengharapkan 3 biji lampu yang berfungsi.

Bertarung dalam keadaan hari semakin gelap dan cahaya yang sedikit samar namun ia tidak mematahkan semangat pemain untuk meneruskan perlawanan akhir tersebut. Keadaan ini juga adalah disebabkan jadual untuk perlawanan pada keesokan harinya lebih ketat dan dikhuatiri akan mengganggu persembahan pemain jika ditunda ke keesokan harinya.

Kegagalan pihak pengurusan stadium untuk memperbaiki lampu berkenaan sebelum hari pertandingan adalah salah satu punca masalah ini berlaku.

Ketika berucap dalam majlis penangguhan rasmi kejohanan berkenaan, Encik Mahli bin Rosli Pegawai Pelajaran Daerah Betong merakamkan ucapan terima kasih kepada semua bahagian yang telah berusaha untuk menghantar wakil bagi kejohanan pada tahun ini.

“Kejohanan kali ini bukan sahaja sekadar untuk penyertaan ke peringkat negeri tetapi kita juga berhasrat untuk menghantar wakil ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di negeri Kelantan dan pada kejohanan ini kita akan memilih pemain untuk menggalas cabaran negeri Sarawak, itupun jika pihak Jabatan Pelajaran Negeri sanggup dan dapat menghantar kontijen pada kejohanan itu nanti”. Kata Encik Mahli dalam ucapan beliau.


Beliau juga menyampaikan cenderamata kepada semua kontijen yang mengambil bahagian seterusnya menyampaikan hadiah kepada semua pemenang dalam kejohanan kali ini.

Sebelum majlis berakhir Pengerusi Teknik Sepak Takraw Negeri Sarawak Encik Openg bin Bujang Sum telah mengumumkan senarai pemain yang terpilih menerajui kontijen Sarawak ke kejohanan peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 07 hingga 12 Jun 2010 di negeri Kelantan.

Kejohanan yang bermula pada 04 Mei 2010 telah berakhir dengan jayanya pada 06 Mei 2010 walaupun ada kekurangan namun berkat kerjasama semua pihak ianya dapat diatasi dengan sempurna.

Tahniah MSS Bahagian Betong…!!







PROGRAM SENAMROBIK KOMUNITI HUJUNG MINGGU BAHAGIAN BETONG 2010


UNTUK KENANGAN... sebahagian peserta yang menyertai senamrobik


Betong, 01 Mei 2010. Dengan tema Ke Arah Malaysia Cergas, Sihat dan bersatu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak telah menganjurkan program Senamrobik untuk komuniti. Program yang dirangka adalah sebahagian aktiviti Jabatan Belia dan Sukan.



Komuniti di Kampung Melayu Betong juga tidak ketinggalan dalam perencanaan aktiviti berkenaan. Program yang ditetapkan diadakan pada hujung minggu mendapat sambutan dikalangan penduduk kampung dimana aktiviti berkenaan telah diadakan di Gelanggang Sukan Kampung Hilir Betong. Dianggarkan seramai 50 orang penduduk telah hadir sama menyertai aktiviti berkenaan.

Wakil pihak penganjur Encik Mohd Fitri bin Mansor, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong yang turut hadir dalam program berkenaan menjelaskan bahawa program berkenaan adalah program yang keempat daripada 60 program yang sama yang akan dilangsungkan sepanjang tahun 2010 ini di Bahagian Betong.

Mohd Fitri juga mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang sama-sama hadir menyertai aktiviti berkenaan. Beliau juga mengakui perancangan yang singkat dan kurangnya publisiti dikalangan penduduk kampung menjejaskan kehadiran peserta pada kali ini dan berharap untuk program yang akan datang lebih ramai peserta yang menyertai.

Beliau juga sempat menyebut tentang gelanggang sukan berkenaan yang masih belum diserah sepenuhnya untuk kegunaan rasmi dan masih dalam fasa akhir penilaian oleh pihak Jabatan Belia dan Sukan.

Encik Abang Ahmad bin Abang Shubeli telah dilantik oleh pihak Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Betong sebagai pengendali program berkenaan. Beliau adalah merupakan salah seorang daripada fasilitator senamrobik yang memiliki sijil di peringkat kebangsaan.

Aktiviti Senaman yang dirancang selama satu jam bermula jam 7.30 telah berakhir sekitar jam 8.30 pagi. Tahniah kepada pihak penganjur dan kepada semua peserta syabas kerana anda telah melakukan yang terbaik.