19 September 2010

SUMBANGAN HARI RAYA OLEH LEMBAGA AMANAH MELAYU BETONG

BETONG(05 September 2010). “Kita jangan terlalu percaya khabar angin kerana ia boleh mengundang kepada kehancuran dan perpecahan kaum. Ia juga boleh menimbulkan fitnah dikalangan masyarakat dan kaum serta boleh merenggangkan persahabatan apalagi dalam kita menguruskan pentadbiran yang melibatkan perpaduan masyarakat dan lebih sensitif berkaitan dengan agama”. Menurut Ustaz Azimin bin Shakir ketika beliau menyampaikan amanat pada majlis penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2010 kepada beberapa golongan di Betong semalam.

Seramai 99 orang penerima dikalangan golongan Warga Emas (yang berusia 70 tahun dan keatas), Ibu Tunggal, Anak Yatim dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang melibatkan Kampung Masjid, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir dan Kampung Melayu Passa Betong pada majlis yang telah dianjurkan oleh Lembaga Amanah Melayu Betong dan dilangsungkan di Dewan Al Husna Masjid Jamek Betong.

Selain sumbangan untuk golongan terbabit, Penggali Kubur dan orang yang memandikan jenazah turut menerima sumbangan daripada Lembaga Amanah Melayu Betong.

Sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan beban kepada golongan tersebut dalam menguruskan perbelanjaan semasa berlangsungnya hari raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Pada majlis berkenaan beliau turut berkesempatan menerangkan perkara setelah perselisihan pendapat dikalangan pihak Pengurusan Masjid mengenai status pengurusan dan perbezaan urusan antara kedua-dua jawatankuasa apabila pemilihan jawatankuasa Pengurusan Masjid Betong telah dipilih semula dan ditadbir jawatankuasa yang baru pada pemilihan yang lepas.

“Lembaga Amanah dan pengurusan Masjid adalah satu cabang pentadbiran yang berbeza segi pengurusan dimana Lembaga Amanah adalah Jawatankuasa yang dipilih dikalangan penduduk kampung yang dipersetujui dan diurus melalui Jabatan Agama Islam dan diikhtiraf oleh Ketua Menteri dan diwartakan untuk mengurus aset dan harta milik orang-orang melayu di kawasan terbabit. Selain itu fungsi Lembaga Amanah ialah membantu masyarakat Islam dikawasan-kawasan terbabit seperti menyalurkan sumbangan untuk golongan yang memerlukan. Membantu memajukan pendidikan untuk anak-anak masyarakat Islam seperti memberi tuisyen kepada mereka sebagaimana yang telah dilakukan oleh Baitulmal dan Majlis Islam Sarawak”.

Manakala Pengurusan Masjid hanya mengurus harta dan perolehan serta aktiviti yang dijalankan oleh pihak Masjid setelah mereka dipilih dikalangan penduduk kampung dan dipersetujui dan disahkan oleh jabatan Agama Islam Sarawak dikawasan terbabit”. Kata Azimin ketika berucap dan memberi penjelasan kepada penduduk kampung pada majlis berkenaan.

Azimin yang merasa bangga setelah diberi kepercayaan oleh Lembaga Amanah untuk menyampaikan sumbangan pada majlis tersebut juga mengajak penduduk dan masyarakat Islam dikawasan tersebut untuk sama-sama membayar zakat Fitrah dengan kadar bayaran RM 5.20 untuk seorang. Beliau juga meminta kepada golongan yang tidak dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan supaya membayar Fidyah dengan kadar bayaran RM 1.30 sehari kepada amil-amil yang dilantik.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit, Penghulu Kampung Melayu Betong, KK Haji Abang Hussin bin Abang Mahdi, Pengerusi Lembaga Amanah Melayu Betong, Ketua-ketua Kampung serta jemputan-jemputan khas.

Sebelum majlis berakhir semua jemputan dan penerima berkesempatan bersembahyang maghrib berjemaah dan menikmati jamuan berbuka puasa bersama-sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan