19 September 2010

KREATIVITI RAKYAT MAMPU MENJANA PENDAPATAN LUMAYAN - UGGAH

BETONG. (13 September 2010).“Kerajaan tidak akan memberi ikan, tetapi kerajaan akan memberi Jala kerana kerajaan tidak mahu penduduk-penduduk kampung hanya merasa sejenis sahaja ikan untuk dimakan. Inilah salah satu polisi yang diketengahkan oleh pihak kerjaan untuk semua kita berfikir bagaimana hendak menjana pendapatan lumayan dan memperolehi bukan hanya satu sumber sahaja”. Kata Dato Sri Douglas Uggah ketika meraikan majlis kunjungan Mesra Raya bersama Pemimpin di Kampung Masjid Betong semalam.

Uggah yang berkesempatan berucap dalam majlis berkenaan menekankan semangat kerjasama dan perpaduan kaum amat penting dalam menjana kampung. Maklum balas yang positif serta pandangan yang bernas dan bersesuaian dengan pelaksanaan program-program yang diadakan untuk kemajuan kampung haruslah dapat diusahakan. Dalam menempuhi cabaran yang lebih hebat daripada saingan diperingkat global pada masa sekarang.

Menurut Uggah dalam usaha itu sokongan yang padu serta kerjasama daripada semua komuniti daripada berbilang kaum di sini amatlah diperlukan bagi kemajuan negara pada masa-masa yang akan datang.

Majlis yang berlangsung di Gelanggang Serbaguna Kampung Masjid Betong tersebut, mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung dimana seramai 150 penduduk kampung turut hadir pada majlis tersebut.

Pada majlis berkenaan beliau juga mengumumkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM 5,000.00 kepada JKKK Kampung Masjid Betong. ADUN N31 Layar menerusi wakilnya juga mengumumkan peruntukan bernilai RM 5,000.00 kepada JKKK berkenaan.

ADUN N31 Layar menerusi wakilnya juga mengumumkan peruntukan RM 15,000.00 untuk menaiktaraf dan membangunkan gelanggang permainan di Kampung Masjid Betong bagi membolehkan anak—anak kampung aktif dalam bidang sukan sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 2 jenis sukan di setiap Bahagian.

Beberapa aktiviti juga turut diselitkan pada majlis berkenaan antaranya ialah penyampaian Insentif Galakan Pelajar Cemerlang dimana 6 orang pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM pada tahun 2009 peringkat Kampung berkenaan.

Penyampaian Sumbangan Kebajikan kepada Ibu tunggal (4 orang), Bapa Tunggal( 1 orang), Orang Kurang Upaya (OKU)( 7 orang) dan Warga Emas(8 orang) turut disampaikan.

Penyampaian Hadiah kepada pemenang Pertandingan Hiasan Lampu (elektrik) juga turut diadakan dimana Abdul Nasir bin Adamsah telah menjadi johan, Tuan Haji Abang Taha bin Abang Bujang dan Abang Taha bin Abang Spawi yang masing-masing ditempat kedua dan ketiga pertandingan tersebut.

Ketua Ranting PBB Kampung Masjid Betong Abang Suhaili bin Abang Pay juga telah menyampaikan cenderamata kepada ketiga-tiga Yang Berhormat yang hadir bersama dalam kunjungan Mesra Raya pada sesi akhir lawatan tersebut.

Turut meraikan kunjungan pada lawatan kali ini ialah Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap ADUN N31 Layar, YB Tuan Robert Lawson Chuat anak Entering ADUN N32 Bukit Saban, Datin Sri Empiang Jabu, Dato Romie Sigan Daniel Residen Bahagian Betong, Ketua-ketua jabatan, Ketua Kaum, Pengerusi Persatuan dan agensi-agensi di sekitar Betong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan