19 September 2010

“REZEKI ADA DIMANA-MANA…..” – M.P. RANG

BETONG. Tiada istilah penat ataupun lelah apa yang digambarkan ialah kehidupan yang lebih selesa. Untuk menanggung keluarga dengan titik peluh dan keringat yang mengalir dalam era globalisasi yang semakin mencabar adalah perkara biasa bagi mereka yang tidak makan gaji. Bagi Mohamad B bin Chee atau lebih dikenali dengan nama M.P. Rang bukan sesuatu yang mustahil. Beliau yang berasal dari Kampung Tengah Betong tidak berhasrat untuk merantau ke tempat lain untuk mencari rezeki apalagi hendak meninggalkan kampung halaman. Berbekalkan semangat untuk terus maju beliau telah berjinak-jinak dengan perniagaan. Bermula dengan membantu rakan menjual ikan dan ayam kini beliau sendiri telah menjalankan perniagaan sendiri dengan menjual daging ayam segar.

Dengan mendapat bekalan daripada pembekal ayam segar daripada Sarikei beliau menjual dengan harga semasa sebagaimana yang telah ditetapkan. Bekalan ayam beliau juga dihantar terus oleh pembekal dan kadang-kadang beliau sendiri pergi mengambil bekalan tersebut di tempat pembekal.

“Harga ayam yang kita jual bergantung kepada harga pasaran yang telah diberikan kepada kami kadang-kadang kami terpaksa menjual dengan harga yang tinggi kerana harga bekalan agak mahal. Disini kami terpaksa menjual harga ayam diantara RM7.50 hingga 8.50 sekilogram itupun bergantung kepada harga pasaran yang kami terima daripada pembekal”. Keluh M.P. Rang.

“Jualan ayam segar juga bergantung kepada permintaan jika pada hari biasa jualan saya dikira purata dalam 60 ekor sehari tetapi pada musim perayaan permintaan yang agak tinggi mencecah kepada 300 ekor itupun bergantung kepada perayaan. Kalau pada hari raya permintaan melebihi jualan saya terpaksa membahagi tempahan kerana pelanggan menempah lebih awal”. Tambah beliau yang menjual ayam di Market Basah Majlis Daerah Betong.

Ketibaan ramadan juga lebih menambahkan lagi rezeki beliau apabila pada sebelah petangnya beliau turut menjual ayam panggang. Dengan harga RM 14.00 seekor ayam yang siap di panggang beliau dapat mencecah jualan sehingga 100 ekor sehari.

Selain ayam panggang beliau juga menjual panggang ikan terubuk, ikan pari dan ikan sardin. Jualan harga ikan berbeza bergantung kepada jenis ikan. Ikan terubuk misalnya dijual dengan harga RM 16.00 hingga RM 18.00 seekor. Ikan pari pula dijual dengan harga RM 6.00 sepotong. Ikan sadin pula dijual dengan harga RM 8.00 hingga RM 10.00 seekor.

Dengan pendapatan yang begitu lumayan beliau telah menggaji beberapa orang rakan sekampung untuk bersama beliau menjual di bazaar Ramadan Betong. Walaupun saingan daripada rakan lain yang turut menjual bahan yang sama, beliau masih mampu memperolehi hasil yang cukup lumayan.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang sanggup membantu saya berniaga disini. Kadang-kadang kita tidak cukup tangan melayan pelanggan yang membeli dan menunggu ayam masak dipanggang. Pelanggan kita disini bukan sahaja dari kalangan umat islam yang berpuasa tetapi bangsa lain turut berkunjung dan membeli malahan mereka lebih awal datang untuk membeli makanan”. Kata M.P.Rang yang sibuk melayan pelanggan.

Ketibaan syawal tidak kurang hebatnya apabila beliau telah bersedia untuk mencongak tempahan daripada pelanggan dan saudara mara yang awal-awal sudah menempah ayam segar dan daging lembu. Dalam kesibukan dengan rutin hariannya, beliau tetap terus berusaha selagi ada khudrat untuk memperolehi rezeki yang halal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan