19 September 2010

KAMPUNG MELAYU BETONG AKAN MENGADAKAN MAJLIS RAMAH TAMAH AIDILFITRI 2010



BETONG. (15 Ogos 2010). Penduduk Kampung Melayu Betong akan mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2010 pada 18 September 2010 bersamaan 09 Syawal 1431H dan akan dilangsungkan di Dewan Panglima Rentap Betong sebagaimana yang telah dipersetujui apabila Jawatankuasa Majlis Ramah Tamah Kampung Melayu Betong mengadakan mesyuarat bagi membincangkan untuk mengadakan majlis tersebut.

“Kita amat bertuah kerana kita mempunyai pemimpin yang berjiwa rakyat dan sanggup menghulurkan sumbangan untuk kita mengadakan majlis Ramah Tamah Aidilfitri pada tahun 2010 ini nanti. Sumbangan sebanyak RM 10,000.00 untuk pengurusan majlis dan RM 5,000.00 untuk Insentif kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM pada tahun 2009 sebagai galakan kepada mereka dan pelajar-pelajar lain. Sumbangan tersebut telah dimasukkan kedalam akaun Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu anak Numpang semasa menghadiri majlis yang sama pada tahun yang lalu”. Kata Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit Penghulu Kampung Melayu Betong ketika menyampaikan amanat beliau pada mesyuarat Jawatankuasa Majlis Ramah Tamah Kampung Melayu Betong pada hari ini.

Mesyuarat yang telah diadakan di Dewan Al-Husna Masjid Jamek Betong, telah dihadiri oleh seramai 25 orang yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin Kampung, surau, persatuan dan penduduk-penduduk kampung yang berwibawa dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.

Majlis yang merupakan salah satu aktiviti tahunan bagi penduduk Kampung Melayu Betong ini yang kebiasaannya akan menjemput Yang Berhormat pemimpin dikawasan tersebut untuk menjadi tetamu jemputan pada majlis tersebut.

Terdahulu Abang Zawawie yang juga merupakan Pengerusi Majlis berkenaan pada tahun 2009 telah menyerahkan tampuk pengurusan kepada pengerusi yang baru iaitu Encik Kon Spawi bin Yahu yang juga merupakan Pengerusi Pengurusan Masjid Jamek Betong.

Kon telah dipilih dan diberi kepercayaan dan dipersetujui menjadi pengerusi setelah mendapat mandat daripada mesyuarat tersebut apabila Abang Zawawie telah melepaskan jawatan beliau setelah memegang jawatan tersebut selama tempoh 13 tahun. Turut dipersetujui ialah Setiausaha yang masih mengekalkan Encik Senie bin Endin dan Bendahari juga turut mengekalkan Encik Abdul Ropa Mohamad menyandang jawatan itu.

Abang Zawawie yang juga terus dilantik menjadi penasihat pada majlis tersebut. Beliau berpesan dan juga memberi nasihat kepada semua hadirin dan ahli jawatankuasa yang baru supaya sentiasa memberi kerjasama dalam apa jua tugasan yang telah dipertanggungjawabkan dalam merealisasikan perjalanan program sentiasa berjalan dengan lancar dan komitmen yang sepenuhnya terhadap tugas tersebut.

Beliau juga berpendapat kepincangan dalam sesuatu perkara dapat di atasi apabila kita sama-sama mampu mengatasi dengan semangat kerjasama dikalangan ahli dan kesedaran daripada penduduk kampung yang sentiasa berfikiran negatif kepada sesuatu perkara yang berlaku. Beliau juga mengulas kadang-kadang masalah yang dihadapi timbul daripada sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga membabitkan pihak lain. Omong kosong di kedai kopi mungkin akan dianggap benar oleh sesetengah pihak yang berlawanan pendapat dengan pengurusan yang sedia ada.

Mesyuarat telah bersetuju untuk menjemput Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap ADUN N31 Layar, Yang Berhormat Datuk Douglas Uggah Embas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia juga merangkap ahli Parlimen P.204 Betong serta Yang Berhormat Encik Robert Lawson Chuat anak Entering ADUN N32 Bukit Saban sebagai tetamu Khas.

Turut menyalurkan sumbangan ialah setiap Surau Damai Kampung Hilir Betong, Surau Darul Dakwah Kampung Tengah Betong, Surau Darul Taqwa Kampung Baru Hulu Betong, Surau Setia Kampung Baru Hilir Betong dan Surau Kampung Melayu Passa menyumbangkan sebanyak RM 500.00 setiap satu dan Masjid turut menyumbangkan RM 1,000.00.

Selain memberi Insentif kepada pelajar cemerlang yang memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM, berbagai aktiviti lain seperti Nyanyian dan tarian akan turut dipersembahkan sebagai hiburan dalam majlis itu nanti.

Pada majlis itu juga, Abang Zawawie yang juga Setiausaha Lembaga Amanah Melayu Betong telah mengumumkan beberapa perkara iaitu berkenaan dengan pemberian Insentif kepada Warga Emas yang berusia 70 tahun keatas dan tiada menerima wang pencen. Insentif untuk Penggali Kubur. Insentif kepada anak-anak Yatim yang berumur 18 tahun kebawah. Insentif kepada ibu Tunggal yang tidak menerima pencen dan Insentif kepada orang yang memandikan Jenazah. Semua insentif tersebut akan diberikan oleh Lembaga Amanah Melayu Betong sebagai sumbangan kepada mereka yang terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan