30 Jun 2010

“MAJLIS FORUM PERDANA” UNTUK MASYARAKAT ISLAM DI BETONG

Fokus...ahli panel dalam forum perdana berkenaan

Khusyuk... sebahagian jemputan yang hadir dalam majlis berkenaan

BETONG. 30 Jun 2010.(Rabu). Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Betong dan Lembaga Amanah Melayu Betong telah bergabung sama menganjurkan Majlis Forum Perdana. Majlis yang telah dirancang dilangsungkan di Perkarangan Masjid Jamek Betong pada malam tadi.



Dengan tajuk “Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah” telah menjadi tajuk perbincangan pada malam itu dimana panel jemputan yang amat berpengalaman telah memberikan satu pengisian yang mendalam serta impak yang positif kepada semua yang hadir pada malam itu.


Majlis yang berlangsung selepas solat Isya’ telah dihadiri seramai lebih 500 orang penduduk kampung Melayu Betong dan beberapa penduduk kampung berdekatan serta jemputan-jemputan khas dari jabatan-jabatan kerajaan.


Ustaz Affendi bin Ismail pegawai daripada Jabatan Agama Islam Sarawak Betong telah mempengerusikan forum berkenaan. Dua orang panel jemputan yang dijemput khas daripada Jabatan Agama Islam Sarawak. Alfadzil Ustaz Haji Osman bin Haji Ibrahim pegawai daripada jabatan Agama Islam Sarawak Sibu dan Ustaz Abang Burhanuddin bin Haji Abang Ahmad Masunie pegawai daripada Jabatan Agama Islam Sarawak Kuching.


Kedua-dua mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan majlis seumpama itu dan seringkali menjadi ahli panel jemputan dalam majlis keagamaan di sekitar negeri Sarawak.


Terdahulu Encik Abdul Rahman bin Ismail, setiausaha jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong ketika ditemui memberitahu bahawa program itu merupakan salah satu program yang telah dirancang dalam takwim pengurusan Masjid Jamek Betong. Ia juga bertujuan bagi mengetengahkan kepada masyarakat Islam di kawasan Betong akan nilai-nilai keislaman dikalangan penduduk kampung.


“Dengan bantuan dan sokongan pihak yang terlibat serta masyarakat islam di kawasan Betong ini Program ini telah berjaya kita laksanakan dengan kehadiran yang amat menggalakkan dikalangan penduduk kampung Betong dan saya berharap pada masa-masa yang akan datang kita bercadang untuk mengadakan majlis seumpama ini lagi”.


“Dahulu kita pernah mengadakan majlis seumpama ini di dalam Dewan Masjid dan dengan kehadiran yang menggalakkan dikalangan penduduk kampung maka ruang yang dipenuhi agak sesak tetapi kali ini kita telah mengadakan majlis di perkarangan Masjid bagi ruangan yang lebih selesa kepada semua yang hadir. Alhamdulillah kita sekali lagi telah berjaya”. Kata Abdul Rahman yang ditemui selepas majlis.


Majlis yang berakhir sekitar jam 10.30 malam itu berlangsung dengan jayanya.

26 Jun 2010

KAKITANGAN PEJABAT PELAJARAN DAERAH BETONG MERAIKAN SAMBUTAN “NGILING TIKAI” SEMPENA PERAYAAN HARI GAWAI DAYAK PERINGKAT PEJABAT PELAJARAN DAERAH BETONG



PENGABANG NIKI YANG DIKETUAI OLEH EN MAHLI BIN ROSLI


ENCIK MANDAU DENGAN 'BIAU PENGABANG' NYA


ENCIK VEVIEN SEBAGAI 'TUAI GAWAI'


ENCIK MAHLI MENYAMPAIKAN UCAPAN SEMPENA MAJLIS BERKENAAN


MEREKA YANG MENYAMBUT HARI JADI


NUMBANG PUN RANYAI


ACARA NGILING TIKAI


MAJLIS TELAH DISEMPURNAKAN MENANDAKAN BERAKHIRNYA PERAYAAN GAWAI BAGI TAHUN 2010

BETONG, Pejabat Pelajaran Daerah Betong meraikan majlis Ngiling Tikai sempena Perayaan Hari Gawai Dayak 2010 dan majlis sambutan Hari Jadi staf Pejabat Pelajaran Daerah Betong. Majlis yang diadakan bertempat di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah Betong dilangsungkan dalam suasana adat rumah panjang telah dihadiri semua staf pejabat berkenaan.

Aturcara yang telah dirancang jawatankuasa sambutan perayaan pejabat berkenaan merupakan pengenalan kepada mereka yang belum pernah merasai adat dan cara kaum Dayak merayakan Perayaan Gawai. Sambutan secara tradisional begini julung-julung kalinya di adakan telah memberi satu pengalaman yang baru bagi segelintir staf dan memberi satu kesan yang mendalam kepada mereka.

Dimulakan dengan adat ‘Pengabang Niki’ dimana semua staf berkunjung ke tempat majlis yang di ketuai oleh Encik Mahli bin Rosli Pegawai Pelajaran Daerah Betong. Kunjungan pengabang telah disambut dengan ‘Biau Pengabang’ yang di sampaikan oleh Encik Mandau Anggan selaku ‘Lemambang’.

“Kita sengaja merancang majlis yang sebegini adalah sebagai memberi peluang dan ruang kepada semua kakitangan kita yang berbilang kaum dan bangsa untuk sama-sama merasa bagaimana adat sambutan Gawai Dayak diadakan. Ini adalah satu contoh adat tradisional kami bangsa Iban merayakan sambutan perayaan kami’. Jelas Encik Vevien Mujah selaku Tuai Gawai ketika mengalu-alukan majlis.

“Terima kasih kepada semua kakitangan yang telah membantu dalam usaha untuk mengadakan majlis seumpama ini. Walaupun pada mulanya kami kurang yakin untuk menjayakannya sebaik ini. Ianya bukan sahaja untuk perkenalan kepada semua tetapi, majlis ini seolah-olah seperti adat perayaan yang sebenar”. Tambah beliau.

Majlis diteruskan dengan ucapan ‘Tuai Pengabang’ yang disempurnakan oleh Encik Mahli bin Rosli.

“Saya merasa amat terharu dengan sambutan yang sebegini. Saya tidak menjangka kita dapat menjayakan majlis yang sehebat ini. Saya cuma dimaklumkan untuk mengadakan sambutan perayaan pada hari rabu lalu oleh Encik Vevien tetapi majlis ini benar-benar diluar jangkaan saya kerana dengan adat tradisional kaum Dayak merayakan Perayaan terbesar mereka dapat kita rasai dalam majlis kita kali ini. Ianya amat berbeza dengan sambutan pada tahun-tahun yang lepas kerana disini kita dapat melihat sikap toleransi yang telah ditunjukkan oleh semua kita disini. Walaupun kita tidak menggunakan’Tuak’ untuk disajikan sebagai minuman dalam majlis ini kerana memahami majlis ini dihadiri oleh kaum-kaum yang lain tetapi memadai digantikan dengan air ‘Zappel’. Ucap beliau.

“Mungkin kita boleh mempraktikkan sambutan sebegini ke sekolah-sekolah sebagai salah satu aktiviti sambutan perayaan. Bukan sahaja perayaan Gawai tetapi juga perayaan lain agar semua bangsa dapat merasai dan mengetahui adat kaum lain yang ada di sarawak ini khasnya dan di Malaysia amnya”. Tambah Mahli.

Selesai ucapan tuai pengabang,semua pengabang dijemput untuk menjamah sajian yang telah disediakan sebagai habuan pada majlis berkenaan.

Sambutan Hari Jadi staf Pejabat pelajaran Daerah Betong turut diselitkan dalam majlis berkenaan dimana seramai 6 orang kakitangan yang menyambut hari lahir mereka pada bulan Jun antaranya ialah Encik Mahli bin Rosli, Encik Nasir bin Len, Encik Salihin bin Haji Eli, Encik Bujang bin Jeni, Encik Junmon Haddad Hardison dan Cik Mureen anak Ajun.

Turut diadakan acara ‘Ngetas Ranyai’ dimana semua staf berkesempatan memotong ranyai. Kesempatan begini tidak dilepaskan semua kakitangan yang berbangsa lain kerana ini merupakan julung-julung kalinya diberi kesempatan menjayakan majlis begini. Acara diketuai oleh Encik Vevien selaku Tuai Gawai diikuti oleh Tuai Pengabang Encik Mahli dan seterusnya semua staf turut terlibat. Dan acara ‘Numbang Pun Ranyai’ disempurnakan bersama oleh Tuai Gawai, Tuai Pengabang dan Lemambang.

Sebagai menandakan detik tamatnya Perayaan Gawai Dayak acara ‘Ngiling Tikai’ turut diadakan dimana Encik Vevien dan Encik Mahli sama-sama menyempurnakan acara tersebut. Majlis berakhir dengan cukup sempurna dan semua staf dapat merai dan merasai suasana Perayaan Gawai Dayak.

Tahniah kepada semua yang telah menjayakan majlis berkenaan.


PAHLAWAN PUN RANYAI

24 Jun 2010

PEJABAT PELAJARAN DAERAH BETONG MENERIMA KUNJUNGAN JURUAUDIT KUALITI MS ISO 9001:2008

Tuan Hj. Abdu Rahman menyerahkan dokumen kualiti hasil dapatan yang diperolehi daripada auditan yang telah dibuat kepada Mahli, Pegawai Pelajaran Daerah Betong


FOKUS... dengan penuh yakin Tuan Hj Abdul Rahman menerangkan serba ringkas tentang dokumen yang berkualiti

BETONG, 24 Jun 2010(Khamis). Dalam melaksanakan tugasan harian kualiti kerja yang baik seharusnya ditunjukkan dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang penjawat awam. Bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi ianya juga demi kepentingan dan nama baik jabatan dan kementerian umumnya.

Oleh hal yang demikian, bagi menetapkan pengurusan kerja yang berkualiti Kementerian pelajaran telah menetapkan supaya pengurusan dokumen pejabat akan di audit pada setiap tahun. Pejabat Pelajaran Daerah Betong juga tidak terkecuali untuk menerima kedatangan pegawai audit bagi melaksanakan Audit MS ISO 9001:2008

Tuan Haji Abdul Rahman bin Hj Muhiyuddin selaku pegawai Audit Dalam MS ISO 9001:2008 Jabatan Pelajaran Sarawak yang bertanggungjawab mengaudit dokumen Pejabat Pelajaran Daerah Betong telah melaksanakan tanggungjawab apabila telah berjaya menjalankan tugasan beliau. Pegawai dan kakitangan di Pejabat Pelajaran Daerah Betong yang sentiasa bersedia dalam melaksanakan tanggungjawab jabatan dengan penuh dedikasi amat mengalu-alukan kehadiran beliau.

Terdahulu Encik Mahli bin Rosli Pegawai Pelajaran Daerah Betong mengalu-alukan kedatangan pegawai berkenaan semasa ucapan aluan beliau. Beliau juga mengharapkan agar kehadiran beliau dapat memberi perangsang dalam usaha Pejabat Pelajaran Daerah Betong untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan di masa-masa akan datang. Beliau juga menegaskan kepada semua kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah Betong untuk sama-sama memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas dengan sempurna dan penuh dedikasi.

Tuan Haji Abdul Rahman juga berkesempatan untuk menerangkan serba sedikit bahan dan dokumrn yang akan diaudit oleh beliau. Beliau mengharapkan kerjasama daripada semua mereka yang terlibat dalam usaha mempastikan semua auditan berjalan dengan lancar dan berkesan. Beliau yang cukup berpengalaman dalam bidang tersebut juga merupakan Pengurus Kualiti Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman telah dilantik menjadi salah seorang juruaudit Jabatan Pelajaran Sarawak. Beliau amat menekankan dokumen yang lengkap dan tidak akan berkompromi dalam sebarang masalah kerana semua maklumat yang diperolehi dan sebarang kekurangan akan melibatkan Jabatan dan Kementerian Pelajaran.

Beliau telah menjalankan audittee bermula dari jam 8.30 pagi sehingga jam 5.00 petang pada hari yang sama. Kerjasama yang diberikan oleh semua yang terlibat dalam pelaksanaan dan pengurusan dokumen yang diaudit menyebabkan semuanya berjalan dengan lancar.

Semasa mengulas hasil audit yang telah dibuat, Haji Abdul Rahman menjelaskan bahawa beliau amat berpuas hati dengan hasil kerja yang cemerlang ditunjukkan dan penjelasan yang telah diberikan oleh semua yang terlibat. Tiada sebarang masalah yang dilihat daripada pengamatan beliau cuma terdapat sedikit kekeliruan yang tidak disengajakan dan perkara tersebut juga telah dapat diselesaikan dengan kesungguhan mereka. Beliau juga mengumumkan bahawa tiada sebarang NCR atau teguran yang diperolehi daripada dapatan laporan audit yang beliau jalankan.

Tahniah kepada semua kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah Betong kerana hasil kerja yang berkualiti dapat ditunjukkan.

16 Jun 2010

MOHON MAAF...

Saya memohon maaf kerana tiada berita yang dapat disampaikan sepanjang dua minggu ini.. Beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan terpaksa dilalui sepanjang masa itu hingga saat ini. Apa pun sebarang berita akan kita sumbangkan untuk tatapan semua seandainya ada masa.

Terima kasih kepada yang sudi mengikuti blog ini..

04 Jun 2010

TRAGEDI GAWAI 2010 – KEBAKARAN RH BAYAI ANAK GANI, MELABAN BETONG

Rh. Bayai, Melaban Musnah dalam kebakaran..





Semuanya telah musnah

BETONG (04 Jun 2010). Ketika orang lain bergembira menyambut gawai, penduduk rumah panjang Bayai anak Gani, Melaban Betong yang terletak kira-kira 5 km daripada bandar Betong pula sebaliknya. Rumah sepanjang 22 pintu itu telah mengalami kebakaran dimana 21 pintu daripadanya telah musnah dalam kebakaran yang bermula sekitar jam 4.30 petang kelmarin.

Menurut sumber, api yang bermula daripada tengah rumah berkenaan antara bilik ke 12 atau ke 13 rumah tersebut.

“mungkin puncanya adalah daripada litar pintas. Kita melihat asap daripada bilik nombor 12 atau 13. Api terus marak dari ‘Sadau’ bilik tersebut dan membakar rumah tersebut dengan cepat”. Menurut sumber yang ditemui.

“kita hanya mampu menyelamat sebahagian sahaja barang kerana api marak dengan cepat. Masalah kita ialah tiada air. Rumah kami masih belum menerima bekalan air paip kerajaan walaupun sudah lama kami memohon”. Keluh sumber berkenaan.

Pihak Bomba dan Penyelamat tiba kira-kira 15 minit api membakar rumah berkenaan. Laluan yang sempit dan Ketiadaan sumber air menyukarkan pihak Bomba untuk memadam api. Mereka hanya sempat menyelamatkan sepintu daripadanya.

Ketika berlaku kebakaran tersebut, penduduk rumah panjang yang kira-kira 250 orang tersebut sedang bersiap sedia untuk menyediakan masakan bagi ‘Pekit pemakai’ pada sebelah malamnya.sebahagian penduduk juga masih meraikan hari gawai sambil minum dan ‘berandau’ diruai rumah mereka. Ada antara mereka tidak percaya dan menganggap ianya gurauan sahaja bila ada penduduk yang berteriak memberitau rumah mereka terbakar.

Dalam kejadian tersebut semua penduduk dilaporkan selamat dan hanya ada yang mengalami kecederaan ringan ketika menyelamatkan barang-barang mereka daripada musnah. Kerugian belum dapat ditafsirkan kerana masih dalam siasatan lanjut.

Semua penduduk yang kehilangan tempat tinggal berkenaan telah ditempatkan sementara waktu di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong.

Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang juga berkesempatan melawat rumah panjang berkenaan dan menurut sumber beliau memberi bantuan kerajaan sebanyak RM40,000.00 sepintu bagi rumah mereka yang telah musnah dalam kebakaran tersebut.

02 Jun 2010

“PESTA HARI GAWAI”

BETONG(02 Jun 2010). Perayaan Gawai Dayak bukan sahaja untuk satu kaum sahaja bagi masyarakat di Negeri Sarawak yang berbilang kaum dan berbagai agama tetapi disambut sama oleh rakan-rakan yang lain. Namun adat resam sesuatu kaum yang menyambut sesuatu perayaan harus dihormati dan tidak sepatutnya diterima pakai dalam kaum yang lain kerana ianya mungkin akan menimbulkan masalah sekiranya kurang memahaminya.

Akibat terlalu banyak meminum air ‘tuak’ dan beer seorang pemuda yang baru sahaja balik daripada ‘ngabang’ bersama seorang rakannya di sebuah rumah panjang berdekatan sempena perayaan Gawai baru-baru ini telah mengamuk. Kejadian berlaku apabila abang kepada pemuda tersebut telah menegur beliau kerana balik dalam keadaan mabuk. Beliau yang dalam keadaan terhuyung hayang dan separuh sedar menganggap teguran abangnya satu kesalahan lalu mengajak abangnya bertumbuk.

Abangnya yang tidak mahu memanjangkan perkara ini tidak peduli akan ajakan beliau untuk bertumbuk. Pemuda itu marah sambil berteriak dan bertindak aggresif dan mengangkat serta menghempas pasu bunga yang ada disekitar rumah mereka. Tindakannya yang melampau dan aggresif menyebabkan seorang lelaki yang kebetulan mendengar mereka bertekak terus menghampiri pemuda tersebut dengan niat untuk meleraikan mereka namun lelaki tersebut tidak mampu untuk melawan tindakan aggresif pemuda berkenaan.

Melihat keadaan itu penduduk kampung yang ada di persekitaran tidak berani untuk menghampiri dengan dekat. Tindakan itu juga menyebabkan seorang daripada penduduk yang berhampiran disitu bertindak menelefon pihak polis.

Pegawai polis yang sampai disitu juga tidak mampu untuk memujuk pemuda berkenaan dan hanya mengharap supaya pemuda itu berhenti daripada bertindak melulu dan hanya menunggu saat untuk bertindak dengan lebih berwaspada.

Dalam keadaan yang kecoh berkenaan, rakan pemuda yang sama-sama pergi ‘ngabang’ tiba di tempat itu lalu memujuk beliau. Beliau yang mampu ditenangkan oleh rakannya tidak berdaya dan hanya teresak-esak dan menangis.

Penduduk kampung yang penuh sesak melihat keadaan berkenaan bagaikan menonton satu Pesta. Namun ianya hanyalah satu tragedi sempena ‘Hari Gawai’.