29 Julai 2010

INTEGRITI PENTING DALAM PENGURUSAN KEWANGAN - MAHLI

Anis memberi penerangan kepada peserta dalam taklimat tersebut


Fokus.. peserta mendengar dengan penuh minat


Ngatiyem mencurahkan ilmu yang ada kepada para Guru Besar dan Pembantu Tadbir

BETONG. Pejabat Pelajaran Daerah Betong telah mengadakan Taklimat Pengurusan Kewangan dan Akaun untuk 24 buah Sekolah Rendah yang mengurus Sistem Geran Daerah Betong hari ini.



Seramai 48 orang peserta telah dijemput yang terdiri di kalangan Guru Besar dan Pembantu Tadbit yang menguruskan Kewangan di peringkat sekolah masing-masing telah hadir dalam taklimat berkenaan.



Tujuan taklimat berkenaan ialah bagi memberi pendedahan kepada peserta untuk menguruskan dan mengendalikan sisitem Kewangan dan Akaun di sekolah masing-masing.



Taklimat berkenaan turut dikendalikan bersama oleh Cik Ngatiyem Fashar yang merupakan Pegawai Eksekutif di Pejabat Pelajaran Daerah Betong, Encik Johan Joseph Penolong Akauntan di pejabat berkenaan dan Encik Anis Madeli Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan juga di pejabat berkenaan.



Dalam sesi taklimat tersebut mereka telah memberi penekanan kepada beberapa perkara tentang pengurusan kewangan yang Akauntibiiti dan berkesan. Mereka turut berkongsi pandangan dan pendapat mengenai tatacara mengurus dan membuat pembayaran.



Selain itu mereka juga telah memberitahu tentang pengagihan wang yang telah dimasukkan ke akaun kewangan sekolah-sekolah terlibat serta peruntukan-peruntukan yang sebenarnya perlu dibelanjakan dan tatacara urusan seterusnya.



Terdahulu Encik Mahli bin Rosli Pegawai Pelajaran Daerah Betong telah memberi kata-kata aluan kepada peserta. Dalam aluan beliau mengharapkan semua peserta berjaya menguruskan kewangan dengan sempurna.



“Perkara yang penting dalam pengurusan Kewangan ialah Integriti kerana setiap kita mesti mempunyai jiwa yang suci dalam mengendalikan sebarang urusan berkaitan kewangan dan keyakinan yang tinggi dalam usaha itu”. Tegas Mahli ketika beliau berucap dalam majlis tersebut.



“Guru Besar wajib mengetahui semua tatacara dan sistem pengurusan kewangan sekolah. Jangan hanya mengharapkan Pembantu Tadbir sahaja yang menguruskan sebarang pembayaran dan tidak mengetahui perkara yang sepatutnya telah diurus. Jangan pula nanti kita terperangkap dengan perkara-perkara yang tidak diingini oleh kesilapan sendiri”. Tambah beliau.



Taklimat berkenaan telah memberi pengetahuan yang amat berguna kepada semua sekolah yang terlibat dan berjaya meyakinkan kepada semua peserta dan sekolah yang telah melaksanakan Sistem Geran terutama sekolah-sekolah yang baru sahaja melaksanakan sistem tersebut.

22 Julai 2010

PELAJAR TABIKA KAMPUNG TENGAH BETONG ADAKAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE HOSPITAL BETONG

UNTUK ALBUM.. Kanak-kanak TABIKA serta ibu dan bapa bergambar kenangan bersama jururawat semasa sesi lawatan tersebut.


Ketua Jururawat di Klinik Pergigian Hospital Betong memberi cenderamata kepada wakil pelawat


Encik Valentine menerima cenderamata daripada pihak TABIKA Kemas tersebut


Salah seorang kanak-kanak tersebut turut diajar cara-cara mencuci gigi dengan betul


Kanak-kanak turut diberi penutup mulut sebagai langkah keselamatan

BETONG. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” bertepatan dengan pepatah tersebut mungkin tidak salah untuk merancang setiap aktiviti yang berkesinambungan dengan nilai murni yang diterapkan seawal kanak-kanak Tabika lagi. Dalam usia begini, didikan awal dan pengenalan kepada sesuatu yang baik pastinya turut menjadi ikutan dan jua dapat diserapkan dalam jiwa kanak-kanak. Mungkin juga profesion yang baik menjurus kepada ikutan dan cita-cita kanak-kanak yang sedang dalam usia mengenali diri. Sehubungan dengan itu, TABIKA Kemas Kampung Tengah Betong dengan kerjasama ahli jawatankuasa PIBG Taman berkenaan telah mengadakan sesi Lawatan Sambil Belajar ke Hospital Betong. Lawatan yang telah dirancang merupakan salah satu aktiviti yang terkandung dalam takwim Taman berkenaan.

Seramai 38 orang pelajar bersama 2 orang guru dan 7 orang ibu dan bapa pelajar Taman berkenaan turut serta dalam sesi Lawatan tersebut. Mereka turut mengunjungi beberapa tempat bilik rawatan dan pejabat di Hospital berkenaan.

Terdahulu Encik Azahar Ibrahim selaku pengerusi program lawatan tersebut telah memohon untuk mereka mengadakan lawatan ke Hospital berkenaan. Memandangkan beliau juga merupakan Penolong Pegawai Perubatan di hospital berkenaan aturcara dapat dijalankan dengan lebih mudah dan semasa sesi lawatan tersebut berlangsung beliau juga turut menjemput Encik Valentine Dendan untuk menjadi juru tunjuk dalam sesi tersebut.

Mereka turut melawat dan mempelajari fungsi dan kegunaan bilik rawatan yang ada di situ antaranya ialah Haemodialysis, Klinik Pergigian, Pejabat Am, Wad orang Dewasa, Fisioterapi, Dewan Bedah, Farmasi, Makmal, X-Ray dan bilik Kecemasan dan kemalangan.

Selain itu juga mereka turut didedahkan kepada profesion yang ada di Hospital berkenaan seperti Doktor, Doktor Gigi, Juruteknik Pergigian, Penolong Pegawai Perubatan, Ketua Jururawat, Jururawat, Jururawat Masyarakat, Pembantu Farmasi, Juru X-Ray dan jawatan-jawatan yang ada di jabatan berkenaan.

Semasa lawatan di Haemodialysis mereka mempelajari fungsi buah pinggang sebagai agen penapis kotoran dalam darah dan tentang pemakanan yang sihat.

Lawatan di Klinik pergigian juga memberi penekanan tentang fungsi gigi dan keperluan asas gigi dan mengenali tentang gigi seterusnya cara-cara penjagaan gigi yang betul. Mereka juga turut diberi latihan amali tentang cara-cara mengosok gigi dengan betul.

Mereka juga dijelaskan tentang beberapa jenis penyakit yang kebetulan pada masa yang sama beberapa orang pesakit sedang menerima rawatan dan cara-cara menghindar dan mencegah penyakit-penyakit tersebut.

Hampir semua tempat yang mereka lawati telah dapat memberi pengetahuan kepada kanak-kanak. Pendedahan awal sebegini sekurang-kurangnya perlu sebagai asas untuk mereka mempelajari sesuatu sebagai pengenalan dalam mendidik mereka menjadi seorang yang berpengetahuan dan berpendidikan luas. Atau ianya boleh dijadikan inspirasi kepada mereka suatu masa kelak.

Hasil Lawatan yang diterima kebanyakannya menjurus kepada pencegahan penyakit dengan memberi asas awalan nya ialah bermula daripada Konsep Pemakanan Yang Sihat.

21 Julai 2010

PROGRAM PENDIDIKAN LALULINTAS SHELL PERINGKAT BAHAGIAN BETONG DAN SRI AMAN 2010

KAMI JUARA... Pasukan SMK St Augustine Betong
 Kategori sekolah Menengah

JUARA BERPASUKAN... SJK Chung Hua Betong Kategori sekolah rendah

 
TERIMA KASIH...Julaihi(baju hitam) menerima cenderamata daripada Haji Naeemudin


 
FLAG OFF 1... Anis melepas peserta pada permulaan pertandingan


 
FLAG OFF 2... Julaihi merasmi pertandingan tersebut

AKSI-AKSI MENARIK SEPANJANG KEJOHANAN

  


  

BETONG. Majlis Daerah Betong dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Betong, Polis DiRaja Malaysia Betong, Jabatan Pengangkutan Jalan Betong dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) telah menganjurkan program Pendidikan Lalulintas Shell peringkat Bahagian Betong dan Sri Aman.

Program yang memberi pengetahuan dan pendidikan kepada pelajar berkenaan keselamatan jalanraya dan telah diselit dalam salah satu aktiviti yang telah dimasukkan dalam takwim pihak Syarikat Shell Berhad dan merupakan penaja utama program berkenaan.

Sebanyak 6 buah sekolah Menengah dan 12 buah sekolah Rendah di Bahagian Betong yang disertai seramai 306 peserta manakala 2 buah sekolah Menengah dari bahagian Sri Aman yang turut disertai seramai 34 orang peserta dikalangan pelajar tahun 4 dan 5 untuk sekolah Rendah dan pelajar tingkatan 2 untuk sekolah Menengah.

Sekolah yang terlibat ialah bagi Bahagian Betong SMK St. Augustine Betong, SMK Datuk Patinggi Kedit Betong, MRSM Betong, SMK Ulu Layar Betong,SMK Agama Sri Aman Saratok, SMK Saratok untuk sekolah Menangah.

Sekolah Rendah pula SK St Augustine Betong, SK Abang Abdul kadir Betong. SK Issu Bangat Betong, SK Nanga Lidong Betong, SK Nanga Ajau Betong, SK Nanga Passa Betong, SJK Chung Hua Betong, SK Bungin Spaoh, SK Spaoh, SJK Chung Hua Debak, SK St Peter Saratok dan SK Abang Abdul Rahman Saratok.

Sekolah Bahagian Sri Aman ialah SMK Sri Aman dan SMK St Luke Sri Aman. Tiada penyertaan untuk sekolah rendah.

Program pendidikan tersebut berlangsung di Perkarangan Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong. Dua acara lain dalam program tersebut iaitu Pidato dan Interaktif Komputer berlangsung di dalam Dewan tersebut.

Terdahulu sehari sebelum berlangsungnya aktiviti tersebut semua peserta diwajibkan menduduki ujian Bertulis yang berpusat di sekolah masing-masing yang terlibat dimana semua soalan adalah daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR) dan diurus oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Betong (JPJ).

Majlis Penangguhan Rasmi majlis telah disempurnakan oleh Encik Julaihi bin Kadir Pegawai Daerah Saratok merangkap Pengerusi Bersama program tersebut. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Sheikh Naeemuddin Shell Traffic Game Coordinator Sarawak Shell Berhad, Encik Anthony Luta ak Juing Setiausaha Majlis Daerah Betong, Encik Ignatius Jinnie Bunyau Setiausaha Majlis Daerah Saratok, Encik Jack Aman Luat Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman, Encik Vevien Mujah Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Betong, ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua kaum di kawasan Betong.

Julaihi juga menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan dimana beberapa kategori hadiah telah disampaikan antaranya ialah:

Untuk Bahagian Sri Aman
(Step Betong)

Kategori Sekolah Menengah

Aktiviti Ujian Bertulis telah dimenangi oleh Monalisa Ivy Edward Michael Duk dari SMK St Luke Sri Aman. Aktiviti Pidato dimenangi oleh Daclyene Limboi anak Bidin dari SMK St Luke, Sri Aman. Aktiviti Interaktif Komputer pula dimenangi oleh pasangan Sandora Aliey dan Zola Marsha Marianna dari SMK St Luke Sri Aman.

(Permainan Lalulintas)

Pejalan Kaki dimenangi oleh Sandora Aliey dari SMK St Luke Sri Aman. Berbasikal pula dimenangi oleh Andrien Ayum dari SMK St Luke Sri Aman. Pemandu Kereta dimenangi oleh Monalisa Ivy Edward Michael Duk dari SMK St Luke Sri Aman. Keputusan Keseluruhan pula dimenangi oleh SMK St Luke Sri Aman yang akan mewakili Bahagian Sri Aman ke Peringkat Negeri di Bahagian Bintulu.
Untuk Bahagian Betong

(Step Betong)

Kategori Sekolah Menengah

Aktiviti Ujian Bertulis telah dimenangi oleh Kiew Rina Ann dari SMK Saratok. Aktiviti Pidato dimenangi oleh Jenifer Ameline Liap dari SMK St Augustine Betong. Aktiviti Interaktif Komputer pula dimenangi oleh pasangan Umi Zubaidah dan Khairul Nisa dari SMK Agama Sri Aman Saratok.

Kategori Sekolah Rendah

Aktiviti Ujian Bertulis telah dimenangi oleh Naishley Veronica dari SK Abang Abdul Kadir Betong. Aktiviti Pidato dimenangi oleh Nur Athirah bt Aziz dari SK Abang Abdul Rahman Saratok. Aktiviti Interaktif Komputer pula dimenangi oleh pasangan Marcella Eva dan Siti Nursyamin dari SJK Chung Hua Betong.


(Permainan Lalulintas)

Kategori Sekolah Menengah

Pejalan Kaki dimenangi oleh Kiew Rina Ann dari SMK Saratok. Berbasikal pula dimenangi oleh Austein Oward dari SMK Saratok. Pemandu Kereta dimenangi oleh Muhamad Alfian bin Supatini dari SMK St Augustine Betong. Keputusan Keseluruhan pula dimenangi oleh SMK St Augustine Betong yang akan mewakili Bahagian Betong ke Peringkat Negeri di Bahagian Bintulu.

Kategori Sekolah Rendah

Pejalan Kaki dimenangi Jessie Law Hui Fung dari SJK Chung Hua Debak. Berbasikal pula dimenangi oleh Sebastian Junith ak Sunggam dari SJK Chung Hua Betong. Pemandu Kereta dimenangi oleh Diane ak Wilson dari SJK Chung Hua Betong. Keputusan Keseluruhan pula dimenangi oleh SJK Chung Hua Betong yang turut akan mewakili Bahagian Betong ke Peringkat Negeri di Bahagian Bintulu.

Tahniah kepada semua pemenang.

20 Julai 2010

PEJABAT PELAJARAN DAERAH BETONG ADAKAN MAJLIS PERPISAHAN PEGAWAI

TAHNIAH DAN TERIMA KASIH... Mahli (Kiri) menyerahkan sijil Penghargaan kepada Hj Kambli(Kanan) sambil disaksikan Vevien(tengah)


TAHNIAH DAN TERIMA KASIH... Mahli (Kiri) menyerahkan sijil Penghargaan kepada Hjh Aiwan(Kanan) sambil disaksikan Vevien(tengah)


BETONG. Setiap permulaan pastinya ada pengakhiran begitulah lumrah alam namun sebagai manusia kita memang tidak akan lepas dari situasi tersebut walaupun hakikatnya kita yang merancang. Begitulah yang terjadi di Pejabat Pelajaran Daerah Betong dimana 2 orang pegawai yang sama-sama pernah membangun dan menaikkan nama pejabat tersebut bilamana mereka akan berpindah ke tempat bertugas yang baru.

Tuan Haji Kambli bin Haji Zulkifli Ketua Unit Perkhidmatan dan Perjawatan dan Hjh Aiwan @ Noraini bt Haji Alli Ketua Unit Pengurusan Sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah Betong yang telah sama-sama bertugas di Pejabat tersebut sejak tahun 2006 dan turut sama-sama akan berpindah ke tempat yang baru iaitu di Pejabat Pelajaran Daerah Saratok yang mengikut surat berkuatkuasa seawal Jun 2010 namun disebabkan beberapa kekangan, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan sehinggalah pada awal Julai yang lalu mereka telah menerima surat pengesahan perpindahan tersebut.

Dalam majlis jamuan Perpisahan yang diadakan di Dewan Serbaguna Pejabat Pelajaran Daerah Betong yang lalu, Encik Mahli bin Rosli Pegawai pelajaran Daerah Betong telah mengumumkan bahawa Haji Kambli akan diganti oleh Encik Nasir bin Len yang sebelum ini memegang jawatan Penyelia KGSK di pejabat yang sama manakala Hjh Aiwan akan diganti oleh Encik Junaidi bin Saleh seorang guru di SMK St Augustine Betong.

“Perpisahan ini bukanlah perkara yang kita boleh halang, memang sudah lumrah kita hidup, kita akan berpisah antara satu sama lain, lumrah kita bekerja kita akan berpindah di tempat yang lain. Namun kita perlu bijak mencari peluang. Dengan peluang yang ada maka mereka berdua dapat berpindah ke tempat mereka sendiri, walaupun beberapa kali mereka pernah memohon untuk balik ke Saratok cuma sekarang barulah mereka dapat apabila pejabat kita menerima surat untuk mencari pegawai bagi ditempatkan di Pejabat Pelajaran Daerah Saratok. Dan dengan pengalaman mereka kita harap mereka akan dapat membantu membangunkan PPD Saratok pula nanti”. Kata Mahli dalam ucapannya semasa majlis tersebut.

“Kita sedia maklum kedua-dua mereka ini merupakan orang kuat di pejabat kita mereka juga banyak membantu membangunkan PPD Betong dan saya berharap agar kita dapat membimbing pegawai yang baru nanti untuk sama-sama meneruskan usaha sebagaimana yang pernah mereka berikan kepada kita. Sumbangan mereka amat kita hargai dan terima kasih”. Tambah Mahli.

Majlis ringkas tetapi penuh bermakna tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Betong Encik Vevien anak Mujah, Encik Nasir bin Len dan Encik Junaidi bin Saleh serta semua staf PPD Betong.

16 Julai 2010

KEBAJIKAN MASYARAKAT BANTU GOLONGAN WARGATUA YANG MEMERLUKAN SUMBANGAN

TUAN HJ ABANG ZAWAWIE (KANAN) MENYERAHKAN CENDERAMATA KEPADA ENCIK RONALD LAW(TENGAH)


ENCIK SAMAD KASIM KETIKA BERUCAP DALAM MAJLIS BERKENAAN


TANDAK MELAYU MENYERI MAJLIS BERKENAAN




SEBAHAGIAN AHLI PERSATUAN DI AKHIR MAJLIS BERKENAAN

BETONG. 15 Julai 2010(Khamis). Golongan wargatua bukanlah satu golongan yang terpinggir biarpun menjangkau usia puluhan dan ratusan tahun. Jabatan kebajikan Masyarakat merupakan salah satu badan yang bertanggungjawab mempastikan golongan ini dijaga dengan sempurna. Dengan bantuan bulanan yang disalurkan oleh kerajaan melalui mereka maka dapatlah golongan ini meneruskan hidup dengan lebih sempurna.

Oleh itu, usia bukan lagi penghalang untuk golongan ini untuk terus aktif dalam aktiviti-aktiviti persatuan dan demi kepentingan hidup dan kecergasan minda. Aktiviti-aktiviti seperti Tai Chi, Tarian Poco-poco, Yen Chi, Folk Dancing dan sebagainya dapat dijalankan dengan sempurna jika jadual dirancang dengan teliti. Pemeriksaan kesihatan juga dapat dilakukan dengan adanya perencanaan bersama pegawai-pegawai kesihatan.

Dengan adanya persatuan wargatua semua aktiviti dapat dirancang dengan lebih sempurna dan teratur dimana setiap aktiviti-aktiviti dilaksanakan bersama-sama dan dalam satu pasukan. Apa lagi bukan hanya golongan yang kurang berpendidikan malahan pesara-pesara juga turut serta dalam persatuan terbabit. Mereka ini yang pernah berkerja dengan kerajaan mahupun swasta boleh memberi pandangan yang bernas untuk persatuan yang dianggotai bersama.

Pada 15 Julai 2010, seramai 100 orang ahli persatuan warga tua dari bahagian Betong dan bahagian Kuching hadir dalam majlis Makan malam sempena kunjungan mesra ahli persatuan tersebut ke bahagian Betong. Majlis yang telah diadakan di Dewan Jubli, Tapah Inn Betong dihadiri oleh seramai 40 orang ahli persatuan dari bahagian kuching dan 60 orang ahli persatuan dari bahagian Betong.

Pertemuan yang telah dirancang oleh persatuan wargatua dari bahagian Kuching bertujuan untuk berkenal mesra dan bertukar-tukar pandangan dalam kegiatan persatuan dan sebagai satu daripada aktiviti dalam takwim persatuan wargatua bahagian Kuching. Dimana semua ahli persatuan yang datang dari Kuching kesemuanya terdiri daripada masyarakat Tionghua yang berusia sekitar 60 hingga 80 tahun.

Persatuan wargatua bahagian Betong yang dibawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong hanya dianggotai seramai 150 orang ahli berbanding dengan ahli persatuan dari Kuching yang dianggotai sejumlah 5229 orang yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum antaranya Melayu, Iban dan Cina

Terdahulu Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit Penghulu Kampung Melayu Betong merangkap Pengerusi persatuan wargatua Betong mengalu-alukan kedatangan mereka. Dalam ucapan aluan beliau mengucapkan terima kasih kepada ahli rombongan yang datang kerana sudi bertemu dan bertukar-tukar pendapat dalam perancangan aktiviti persatuan. Beliau yang berhasrat untuk menambah keanggotaan ahli persatuan berharap kepada semua ahli untuk sama-sama menarik sebanyak mungkin ahli-ahli yang baru bagi menganggotai persatuan tersebut.

Majlis turut diserikan lagi dengan ucapan oleh Encik Ronald Law Pengerusi Persatuan Wargatua bahagian Kuching. Beliau selaku ketua rombongan dan tetamu dalam majlis berkenaan benar-benar merasa bertuah di atas sambutan yang telah diadakan oleh persatuan wargatua Betong.

Sesi majlis ringkas tetapi padat dengan pengisian aktiviti oleh kedua-dua persatuan dari Betong dan Kuching turut dirasmikan oleh Encik Samad bin Kasim Wakil Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong.

“Pihak kami sentiasa membantu kepada mereka yang memerlukan apa yang penting kerjasama dari semua pihak amat kami perlukan dalam usaha memberikan yang terbaik untuk golongan yang memerlukan ini…”. Jelas Samad dalam ucapan perasmian beliau.

Selesai majlis perasmian, sesi bertukar-tukar cenderamata oleh kedua-dua persatuan turut di adakan dimana persatuan wargatua kuching turut memberi cenderamata kepada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong dalam majlis berkenaan.

Aktiviti bergendang dan Tandak Melayu turut di langsungkan dalam majlis tersebut dimana semua hadiri dijemput untuk sama-sama bertandak. Tarian Ballet, Twist dan rentak Poco-poco serta nyanyian lagu-lagu karaoke menjadi pengisian aktiviti kedua-dua persatuan sebelum berakhirnya majlis berkenaan.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pemanca Alex Khoo, Ketua-ketua Kampung dan Tuai rumah yang dijemput dan telah sama menjadi ahli persatuan tersebut.

PELAJAR TERIMA SUMBANGAN WANG KWAPM

JAMALI BERUCAP DALAM MAJLIS PENYERAHAN KWAPM 2010


SEBAHAGIAN IBUBAPA YANG HADIR DALAM MAJLIS TERSEBUT

DEBAK. 13 Julai 2010. Seramai 91 pelajar SK Muton dalam Daerah Debak telah menerima wang Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Mereka terdiri daripada pelajar tahun 2 hingga tahun 6 yang belajar di sekolah berkenaan.

Majlis yang berlangsung bertempat di Makmal Komputer SK Muton telah dihadiri oleh semua ibubapa pelajar yang terlibat dalam penyerahan wang tersebut. Mereka telah menerima sejumlah RM 200.00 untuk seorang pelajar.

Terdahulu ketika berucap dalam majlis berkenaan Jamali bin Seman Guru Besar sekolah berkenaan telah menjelaskan kepada semua yang hadir supaya menggunakan wang tersebut untuk kegunaan anak-anak mereka bagi membeli peralatan dan bahan persekolahan mereka.

“Dengan pemberian bantuan wang persekolahan ini saya berharap kepada semua para ibubapa yang hadir agar menggunakan peluang ini dengan sebaiknya. Saya tidak mahu melihat anak-anak tuan/puan tidak mempunyai alatan belajar seperti pensil, pemadam dan buku tulis. Pakaian yang comot, tidak berkasut. Inilah gunanya kerajaan memberi bantuan kepada anak-anak anda semua. Bukan untuk membeli barang yang tidak berfaedah tetapi untuk kegunaan anak-anak tuan/puan semua. Mungkin ianya tidak mencukupi, tetapi memadai untuk digunakan membeli peralatan anak-anak tuan dan membantu mengurangkan beban tuan/puan”. Jelas Jamali dalam ucapan beliau.

“Saya mahu tuan/puan sama-sama memanfaatkan sumbangan yang diberikan walaupun jauh di pedalaman tetapi kita tidak tercicir daripada bantuan kerajaan. Saya mahu melihat anak-anak tuan/puan seperti anak-anak dibandar nampak kemas dan segak. Jika anak-anak kita sentiasa kemas dan bersih mereka akan sentiasa bersemangat untuk belajar. Sanggupkah tuan/puan semua melihat anak-anak anda selekeh, tidak bermaya, berbau dan tidak terurus?”.

“Kami pihak sekolah akan sentiasa memberi kerjasama kepada ibubapa semua dan akan berusaha memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak tuan/puan semua. Kerajaan juga amat perihatin kepada kita dan telah memberi bantuan dan sumbangan bagi menyediakan prasarana yang sempurna untuk kemudahan kita semua. Ianya bukan untuk pihak sekolah sahaja tetapi juga untuk tuan/puan. Untuk anak-anak kita semua. Maka kita seharusnya berterima kasih kepada mereka yang telah memberi bantuan seperti pada hari ini”. Tegas Jamali.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Encik Dangiu anak Mamek, Penolong Kanan HEM Encik Bujang @ Karim bin Ganti dan Penolong Kanan Kokurikulum Encik Mahmud bin Hasim.

Bagi memudahkan penyerahan wang tersebut semua guru kelas telah terlibat sama dalam menjayakan majlis berkenaan. Mereka telah ditugaskan membahagikan wang tersebut kepada para ibubapa pelajar yang terbabit.

10 Julai 2010

500 WARGA PENDIDIK RAIKAN SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT BAHAGIAN BETONG 2010

RASMI.. Majlis memotong Kek Hari Guru


Penyerahan Cenderamata oleh En. Mahli kepada YB Jelaing


Tahniah!!.. En. Sigat Sang menerima Anugerah Khas Guru 2010

BETONG. “Sejarah pendidikan di Bahagian Betong yang dahulunya dikenali sebagai Daerah Kalaka Saribas sememangnya amat dikenali dan diantara kawasan yang terawal memiliki kemudahan persekolahan di Negeri Sarawak. Perkembangan pendidikan di Daerah ini telah bermula sejak penubuhan SMK St Augustine di Betong pada tahun 1920 dan kemudian di ikuti dengan SRK St Peter Saratok yang telah ditubuhkan pada 25 Oktober 1925. Ramai mereka telah berjaya dan telah berjaya menjadi pemimpin negeri dan negara kita Malaysia”. Menurut YB Tuan Jelaing anak Mersat, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap ahli Parlimen P.205 Saratok ketika merasmikan majlis Hari Guru Peringkat Bahagian Betong di SMK Saratok hari ini.

“Sesungguhnya kejayaan ini membuktikan bahawa pelajaran telah membawa perubahan yang besar kepada Bahagian Betong ini. Jelas diakui bahawa pelajaran telah membuka minda seseorang untuk menerima segala perubahan. Yang nyata setiap perubahan itu pasti berlaku dan dalam masa yang sama pelajaranlah yang banyak membantu kita membuat persediaan bagi menghadapi kesan-kesan yang dibawa perubahan tersebut namun masih terdapat segelintir orang yang takut kepada perubahan. Ini adalah kerana orang-orang tersebut tidak pasti yang perlu dilakukan bagi menghadapi perubahan, keadaan inilah yang patut kita elakkan dan pada pendapat saya guru-gurulah yang memberi keyakinan kepada murid-murid pada ibubapa serta warga sekolah”.

“Perubahan yang akan datang adalah semakin mencabar dan penuh dengan ketidak ketentuan. Bagi menghadapi perubahan ini kerajaan telah menggariskan beberapa rancangan dan program besar. Ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan yang berpendapatan tinggi pada tahun 2020. YAB Perdana Menteri telah mengumum dan melaksanakan Gagasan satu Malaysia. Serentak dengan itu bagi mencorak pembangunan Negara 4 tiang seri Utama telah dibentuk iaitu National Key Result Area (NKRA), Government Transformation Program(GTP), Modul Ekonomi Baru dan RMK-10 yang dibentang pada Jun 2010 yang lalu.

“Kita harus bekerja dengan lebih keras kerana peningkatan terhadap pelajaran adalah sangat kririkal daripada peningkatan kepada daya saing tenaga kerja. Bagi memenuhi kehendak tersebut kerajaan telah mengambil langkah holistik untuk memperkukuhkan sistem pendidikan dan latihan bermula dari peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat pengajian tinggi.

“ Kerajaan akan menyediakan infrastruktur pengajaran terbaik dan mempastikan kualiti guru mencapai tahap yang sewajarnya”. Tambah beliau.

Majlis yang dianjurkan bersama PPD Betong dan PPD Saratok merupakan kesinambungan daripada Hari Guru yang diadakan pada 16 Mei setiap tahun. Dan para pendidik diBahagian Betong tidak ketinggalan untuk meraikan hari berkenaan. Dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa, amat bertepatan dengan program yang dilaksanakan pada hari ini. Berbagai anugerah telah diberikan kepada mereka yang telah menyumbangkan pengikhtirafan diperingkat jabatan mahupun dalam bidang kokurikulum dan aktiviti luar.

Majlis perasmian yang bermula jam 9 pagi itu turut disempurnakan dengan menyelitkan acara Memotong Kek Hari Guru yang telah disempurnakan bersama kenamaan dan pengerusi penganjur serta pengerusi pengelola.

Sebanyak 39 anugerah telah diberikan kepada sekolah Kebangsaan di daerah Saratok manakala 30 anugerah kepada sekolah kebangsaan di daerah Betong. Dimana anugerah tersebut adalah satu penghargaan kecemerlangan sekolah di atas pencapaian yang menggalakkan di peringkat UPSR dan bidang kokurikulum.

Penghargaan untuk guru turut diberikan bagi memberi penghargaan kepada sumbangan para pendidik yang telah berusaha dalam menjayakan kokurikulum dan telah menghasilkan kejayaan diperingkat bahagian, Negeri mahupun Kebangsaan.

Anugerah Khas Guru telah diberikan kepada Encik Sigat anak Sang daripada SMK Datuk Patinggi Kedit Betong.

Turut diraikan dalam majlis tersebut ialah guru-guru yang telah dan akan bersara pada tahun 2010. Seramai 11 orang yang telah dijemput 3 daripadanya telah bersara dan selebihnya 8 orang yang akan bersara dalam tahun ini.

Kesemua anugerah dan penghargaan telah disampaikan oleh YB Jelaing dalam majlis tersebut.

Penyampaian Program Dermasiswa BAKTI kepada 15 pelajar dari 2008 – 2010 turut disampaikan. Sumbangan isteri-isteri menteri berjumlah RM 600.00 seorang telah disampaikan oleh Puan Catherine Cheng.

Seramai 500 orang guru dan warga pendidik telah hadir untuk sama-sama meraikan majlis berkenaan. Memandangkan tempat yang terhad, jawatankuasa pengelola majlis berkenaan hanya dapat menjemput dan menetapkan hanya 3 orang sahaja yang mewakili setiap Sekolah kebangsaan dan 4 orang bagi Sekolah Menengah.

Dengan perancangan yang teliti diatur pihak pengelola, perjalanan majlis berjalan dengan lancar.