19 September 2010

“ASAS KEAGAMAAN PERLU DIDIDIK SEAWAL TADIKA KEPADA ANAK-ANAK”

“Antara objektif pelaksanaan aktiviti berkenaan ialah mendidik anak-anak untuk mengetahui asas agama. Mendedahkan mereka supaya berani berhadapan dengan orang ramai. Mengajar mereka untuk menghafal dan mempelajari sesuatu dalam usaha memperkukuhkan mereka dengan asas duniawi dan ukhrawi demi melahirkan anak-anak yang celik agama dan Al-Quran”.


BETONG. (07 Ogos 2010) Langkah awal mendidik anak-anak untuk mengenali asas-asas fardhu ain dan fardhu kifayah perlulah dimulakan seawal TADIKA lagi. Disebalik pendidikan asas formal yang lain, kanak-kanak wajib mengenali asas didikan agama yang sewajarnya agar mereka mempunyai asas yang kukuh sebagai umat yang berpegang kepada ajaran agama.

Menjurus kepada pendidikan asas itu, TABIKA Kemas Kampung Tengah Betong telah mengambil langkah positif dengan meletakkan aktiviti yang melibatkan pendidikan asas agama dalam takwim tahunan TABIKA berkenaan.

Bertempat di Dewan Al-Husna Masjid Jamek Betong, TABIKA Kemas Kampung Tengah Betong dengan kerjasama ahli jawatankuasa PIBG TABIKA berkenaan telah menganjurkan program Hafazan Al-Fatihah dan Surah Lazim kepada kanak-kanak di TABIKA berkenaan hari ini.

Program berkenaan merupakan aktiviti yang telah dirancang pada awal tahun dan turut dipersetujui oleh semua ibubapa kanak-kanak di TABIKA berkenaan dan telah dibahagikan kepada 2 kategori iaitu kanak-kanak berusia 6 tahun dan 5 tahun.

Antara objektif pelaksanaan aktiviti berkenaan ialah mendidik anak-anak untuk mengetahui asas agama. Mendedahkan mereka supaya berani berhadapan dengan orang ramai. Mengajar mereka untuk menghafal dan mempelajari sesuatu dalam usaha memperkukuhkan mereka dengan asas duniawi dan ukhrawi demi melahirkan anak-anak yang celik agama dan Al-Quran.

Majlis tersebut turut di sempurnakan perasmiannya oleh Penghulu Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit Penghulu Kampung Melayu Betong. Berucap dalam majlis berkenaan beliau berpesan kepada semua ibubapa yang hadir agar sentiasa mendidik anak-anak dengan mengutamakan pendidikan mereka. Beliau juga berkata anak-anak merupakan aset kepada ibubapa dan perlulah memelihara akhlak mereka kerana ianya sebagai satu contoh kepada anak-anak. Akhlak yang mulia akan menjadi ikutan kepada anak-anak dalam mendidik mereka menjadi orang yang berguna dan dapat melahirkan cerdik pandai yang akan menjadi pemimpin pada suatu masa kelak.

Pada majlis yang sama, adik Mohd. Najmi Fitri bin Norizam telah dinobatkan sebagai johan. Adik Mohd. Aireel Hakimi ditempat kedua manakala adik Nur Akmal Afiq bin Hassan menduduki tempat ketiga bagi kategori Qari 6 tahun.

Kategori Qariah 6 tahun pula Adik Nur Wani Iwani bt Amran telah menjuarai, adik Syasha Azzahra bt Shamsubaharum ditempat kedua dan adik Nurliyana Syahirah bt Syahrin di tempat ketiga.

Untuk kategori Qari 5 tahun adik Muhd. Nabil Fitri bin Norizam telah merangkul juara, adik Abang Aiman Ikhwan bin Abang Madha ditempat kedua dan adik Aidil Syahmie bin Shamsudin dikedudukan ketiga.

Kategori Qariah 5 tahun pula adik Nur Fatin Syakilla bt Abdullah, adik Nurfazianatul Asmira bt Abdullah Ismail ditempat kedua dan adik Aida Insyirah bt Daniel Sham ditempat ketiga.

Majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada semua peserta dan pemenang turut disampaikan oleh Penghulu Haji Abang Zawawie bin Rajit.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Cik Norziyanti binti Tenang Penyelia Prasekolah, Pejabat Kemas Daerah Betong, Encik Ismail bin Mohamad Pengerusi TABIKA Kemas Kampung Tengah Betong, ketua-ketua masyarakat dan jemputan khas serta ibu bapa kanak-kanak TABIKA berkenaan.

Terdahulu, TABIKA Kemas kampung Tengah Betong yang merupakan sebuah TABIKA yang aktif dalam mendidik dan menjayakan berbagai aktiviti yang dianjurkan oleh jabatan Kemas mahupun Jabatan lain yang terlibat dalam usaha memberi pendedahan kepada kanak-kanak sebagai asas mereka bergaul dan belajar di alam persekolahan dan pendidikan formal mereka nanti. Mereka juga mempunyai pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai aktiviti yang disertai.

Dalam usaha kerajaan untuk memberi pendidikan formal kepada kanak-kanak di usia 5 tahun ke tahun satu pada tahun 2011, TABIKA Kemas Kampung Tengah Betong terus menerima pendaftaran untuk kemasukan pelajar pada sesi 2011. Biarpun hakikatnya kerajaan mahukan pendidikan awal kepada kanak-kanak pada usia tersebut namun masih ramai ibubapa yang terus mendaftar untuk menghantar anak-anak mereka di kelas TABIKA tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan