BERITA SENSASI



TRAGEDI GAWAI 2010 – KEBAKARAN RH BAYAI ANAK GANI, MELABAN
Rh Bayai, Melaban Betong musnah dlm kebakaran

tiada apa lagi yang tinggal

BETONG (04 Jun 2010). Ketika orang lain bergembira menyambut gawai, penduduk rumah panjang Bayai anak Gani, Melaban Betong yang terletak kira-kira 5 km daripada bandar Betong pula sebaliknya. Rumah sepanjang 22 pintu itu telah mengalami kebakaran dimana 21 pintu daripadanya telah musnah dalam kebakaran yang bermula sekitar jam 4.30 petang kelmarin.
Menurut sumber, api yang bermula daripada tengah rumah berkenaan antara bilik ke 12 atau ke 13 rumah tersebut.

“mungkin puncanya adalah daripada litar pintas. Kita melihat asap daripada bilik nombor 12 atau 13. Api terus marak dari ‘Sadau’ bilik tersebut dan membakar rumah tersebut dengan cepat”. Menurut sumber yang ditemui.
“kita hanya mampu menyelamat sebahagian sahaja barang kerana api marak dengan cepat. Masalah kita ialah tiada air. Rumah kami masih belum menerima bekalan air paip kerajaan walaupun sudah lama kami memohon”. Keluh sumber berkenaan.

Pihak Bomba dan Penyelamat tiba kira-kira 15 minit api membakar rumah berkenaan. Laluan yang sempit dan Ketiadaan sumber air menyukarkan pihak Bomba untuk memadam api. Mereka hanya sempat menyelamatkan sepintu daripadanya.

Ketika berlaku kebakaran tersebut, penduduk rumah panjang yang kira-kira 250 orang tersebut sedang bersiap sedia untuk menyediakan masakan bagi ‘Pekit pemakai’ pada sebelah malamnya.sebahagian penduduk juga masih meraikan hari gawai sambil minum dan ‘berandau’ diruai rumah mereka. Ada antara mereka tidak percaya dan menganggap ianya gurauan sahaja bila ada penduduk yang berteriak memberitau rumah mereka terbakar.



Dalam kejadian tersebut semua penduduk dilaporkan selamat dan hanya ada yang mengalami kecederaan ringan ketika menyelamatkan barang-barang mereka daripada musnah. Kerugian belum dapat ditafsirkan kerana masih dalam siasatan lanjut.

Semua penduduk yang kehilangan tempat tinggal berkenaan telah ditempatkan sementara waktu di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong.

Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang juga berkesempatan melawat rumah panjang berkenaan dan menurut sumber beliau memberi bantuan kerajaan sebanyak RM40,000.00 sepintu bagi rumah mereka yang telah musnah dalam kebakaran tersebut.

 








“PESTA HARI GAWAI”



BETONG(02 Jun 2010). Perayaan Gawai Dayak bukan sahaja untuk satu kaum sahaja bagi masyarakat di Negeri Sarawak yang berbilang kaum dan berbagai agama tetapi disambut sama oleh rakan-rakan yang lain. Namun adat resam sesuatu kaum yang menyambut sesuatu perayaan harus dihormati dan tidak sepatutnya diterima pakai dalam kaum yang lain kerana ianya mungkin akan menimbulkan masalah sekiranya kurang memahaminya.

Akibat terlalu banyak meminum air ‘tuak’ dan beer seorang pemuda yang baru sahaja balik daripada ‘ngabang’ bersama seorang rakannya di sebuah rumah panjang berdekatan sempena perayaan Gawai baru-baru ini telah mengamuk. Kejadian berlaku apabila abang kepada pemuda tersebut telah menegur beliau kerana balik dalam keadaan mabuk. Beliau yang dalam keadaan terhuyung hayang dan separuh sedar menganggap teguran abangnya satu kesalahan lalu mengajak abangnya bertumbuk.

Abangnya yang tidak mahu memanjangkan perkara ini tidak peduli akan ajakan beliau untuk bertumbuk. Pemuda itu marah sambil berteriak dan bertindak aggresif dan mengangkat serta menghempas pasu bunga yang ada disekitar rumah mereka. Tindakannya yang melampau dan aggresif menyebabkan seorang lelaki yang kebetulan mendengar mereka bertekak terus menghampiri pemuda tersebut dengan niat untuk meleraikan mereka namun lelaki tersebut tidak mampu untuk melawan tindakan aggresif pemuda berkenaan.

Melihat keadaan itu penduduk kampung yang ada di persekitaran tidak berani untuk menghampiri dengan dekat. Tindakan itu juga menyebabkan seorang daripada penduduk yang berhampiran disitu bertindak menelefon pihak polis.
Pegawai polis yang sampai disitu juga tidak mampu untuk memujuk pemuda berkenaan dan hanya mengharap supaya pemuda itu berhenti daripada bertindak melulu dan hanya menunggu saat untuk bertindak dengan lebih berwaspada.

Dalam keadaan yang kecoh berkenaan, rakan pemuda yang sama-sama pergi ‘ngabang’ tiba di tempat itu lalu memujuk beliau. Beliau yang mampu ditenangkan oleh rakannya tidak berdaya dan hanya teresak-esak dan menangis.

Penduduk kampung yang penuh sesak melihat keadaan berkenaan bagaikan menonton satu Pesta. Namun ianya hanyalah satu tragedi sempena ‘Hari Gawai’.









KARNIVAL GAWAI DAYAK 2010


PERASMIAN MAJLIS...  Dato' Residen memotong reben perasmian

Betong, 08 Mei 2010. Walaupun detik perayaan Gawai Dayak masih jauh untuk diraikan namun Jawatankuasa Sambutan Karnival Gawai Dayak 2010 Peringkat bahagian Betong telah memulakan program bagi menyambut dan meraikan perayaan tersebut.

Bertemakan ‘Aram Meh Kitai Segulai Sejalai’ berbagai aktiviti telah dirancang bagi menjayakan program berkenaan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Pertandingan Menyumpit, Pertandingan Ai Tuak, Pertandingan Ngajat Iban, Pertandingan Badminton dan gerai-gerai jualan.

Aktiviti berlangsung sepanjang hari pada 08 Mei 2010 diadakan di Perkarangan Dewan Panglima Rentap Betong itu berjalan dengan lancar dimana gerai-gerai jualan telah dibuka seawal jam 8.00 pagi. Penyertaan daripada pelbagai jabatan dan orang perseorangan telah mengambil bahagian dan membuka gerai mereka.

Pejabat Pelajaran Daerah Betong juga tidak kurang dengan sambutan mereka. Gerai yang menggambarkan Satu Malaysia, dimana kakitangan jabatan berkenaan tidak mengira bangsa turut sama menyertai aktiviti yang dirancangkan itu. Gerai dibuka seawal pagi lagi dengan perhiasan lengkap dengan bunga yang dijual sebagai penyertaan Karnival kali ini. Digabungkan dengan berbagai jenis jualan termasuklah ikan masin berbagai jenis, Kuih muih, lemantak, bunga perhiasan, perhiasan iban termasuklah pakaian dan perhiasan ngajat, tenunan pua, anyaman dan berbagai jenis.

Turut sama menyertai jualan ialah Encik Mahli bin Rosli, Pegawai Pelajaran Daerah Betong, Encik Vevien Mujah Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Betong bersama Ketua-ketua Unit dan kakitangan sama-sama hadir menjayakan aktiviti berkenaan.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Dato’ Romie Sigan Daniel Residen Bahagian Betong. Upacara memotong reben menandakan perasmian dan acara dimulakan berlangsung sekitar jam 9.00 pagi. Ketua-ketua jabatan, dan ketua-ketua masyarakat turut dijemput sama dalam majlis tersebut.

Dato’ Romie dan semua ketua jabatan dan ketua masyarakat turut juga berkesempatan melawat di gerai-gerai yang berjual.

Beliau seterusnya menyaksikan pertandingan Kumang yang dilangsungkan di Dewan Panglima Rentap Betong dan pertandingan Menyumpit yang diadakan diluar Dewan berkenaan.

Aktiviti lain yang turut dijalankan ialah pertandingan Ngajat Iban yang dilangsungkan pada sebelah petangnya juga di Dewan berkenaan.

Pertandingan Badminton yang sebahagian daripada aktiviti dalam karnival berkenaan akan dilangsungkan pada keesokan harinya di Dewan yang sama.







PENGARAH BPSH, KPM ADAKAN LAWATAN PENANDAARASAN KE SMK DATUK PATINGGI KEDIT BETONG
UNTUK KENANGAN.. Dato' Pengarah KPM  sempat bergambar bersama pelajar yang membuat persembahan


Betong,(30 April 2010) Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia beserta rombongan telah melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Patinggi Kedit Betong. Lawatan berkenaan adalah Program Penandaarasan Pegawai-pegawai KPM dan JPNS sempena penempatan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) kali ke 2 dalam tahun 2010 ini.

Rombongan seramai 6 orang yang terdiri daripada Yang Berbahagia Dato’ Haji Zulkifly bin Mohd Wazir, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah harian, Encik Razali bin Haji Idris dan Encik Haris bin Yahya Pegawai di Kementerian Pelajaran Malaysia, Encik Phang Chun Yow dan Cik Florina Abitt, Penolong Pengarah, Unit Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan Cik Hjh Aiwan @ Noraini bt Hj Alli, Ketua Unit, Unit Pengurusan Sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah Betong telah disambut dengan tarian menyambut tetamu (ngajat) oleh pelajar-pelajar SMK Datuk Patinggi Kedit Betong

Sambutan yang ringkas tetapi penuh bermakna diserikan dengan kalungan hasil seni kraftangan untuk Yang Berbahagia Dato’, pegawai-pegawai dan rombongan serta iringan alat muzik dan tarian tradisional iban oleh pelajar-pelajar menggambarkan adat yang sentiasa dipelihara oleh pihak pengurusan sekolah Dr Lambat anak Lindong, Pengetua sekolah berkenaan dalam merealisasikan gagasan satu Malaysia.

Dalam lawatan berkenaan, rombongan berkesempatan memantau program orientasi Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) yang telah dihantar bertugas ke sekolah berkenaan bermula pada hari tersebut. Rombongan juga sempat melihat kawasan sekolah berkenaan termasuk kawasan asrama puteri
Penekanan kepada masalah disiplin juga diberi tumpuan oleh Pengarah Dato’ Zulkifly dimana beliau juga berkesempatan melihat pengurusan e-disiplin yang dikendalikan oleh Encik Sigat anak Sang selaku guru disiplin sekolah berkenaan. Sekolah berkenaan merupakan salah sebuah sekolah perintis yang mengendalikan program e-disiplin.

Kesempatan bersemuka, bertanya pendapat dan teguran daripada Pengarah tidak mudah untuk perolehi. Dengan kesempatan yang ada Sigat tidak melepaskan peluang untuk berkongsi maklumat dan menyuarakan masalah yang timbul dalam sistem yang dikendalikan oleh beliau.

Memetik ungkapan Dato’ Zulkifly, “Disiplin adalah punca kecemerlangan akademik, jika disiplin pelajar itu baik maka keputusan akademik pelajar akan turut melonjak”.

Perjumpaan dan penjelasan ringkas bersama pengarah BPSH KPM dan pegawai di kementerian Pelajaran penuh bermakna bagi pihak pengurusan SMK Datuk Patinggi Kedit Betong dan berharap pertemuan dan lawatan seumpana ini sentiasa wujud di masa-masa akan datang.

Sebelum beredar rombongan telah disajikan dengan sajian makan tengahari. Dimana sajian makanan diurus sendiri oleh guru Sains Rumah Tangga bersama pelajar dan layanan yang dikendalikan oleh pelajar yang mengambil jurusan Katering dimana matapelajaran berkenaan baru di perkenalkan disekolah tersebut.

Sesi lawatan berakhir dengan rombongan beredar ke Pejabat Pelajaran Daerah Betong.







SMK ST AUGUSTINE MENERIMA LAWATAN PENANDAARASAN PENGARAH BPSH, KPM

CANTIK... Dato' Haji Zulkifly melawat SMK St Augustine


 Betong,(30 April 2010) Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia Dato’ Haji Zulkifly bin Mohd Wazir beserta rombongan telah melawat Sekolah Menengah Kebangsaan St Augustine Betong. Lawatan berkenaan sempena penempatan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) kali ke 2 dalam tahun 2010 ini.

Kedatangan rombongan seramai 6 orang yang terdiri daripada Yang Berbahagia Dato’ Haji Zulkifly, Encik Razali bin Haji Idris dan Encik Haris bin Yahya Pegawai di Kementerian Pelajaran Malaysia, Encik Phang Chun Yow dan Cik Florina Abitt, Penolong Pengarah, Unit Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan Cik Hjh Aiwan @ Noraini bt Hj Alli, Ketua Unit, Unit Pengurusan Sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah Betong telah disambut oleh Pengetua SMK St Augustine Betong, Encik Paul anak Langgang.


Dalam lawatan berkenaan, rombongan berkesempatan melihat kawasan sekolah berkenaan dan memantau program orientasi Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) yang telah dihantar bertugas ke sekolah berkenaan bermula pada hari tersebut.


Encik Ismail bin Mohamad, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK St Augustine Betong juga sempat berkongsi maklumat tentang masalah disiplin pelajar disekolah-sekolah dan konsep menangani masalah-masalah pelajar. Peluang yang datang tidak dipersia-siakan oleh beliau untuk bertanya dan mendapat panduan bagi menghadapi kerenah pelajar dimasa akan datang.


Perjumpaan dan penjelasan ringkas bersama pengarah BPSH KPM dan pegawai di kementerian Pelajaran penuh bermakna bagi pihak pengurusan SMK St Augustine dan berharap pertemuan dan lawatan seumpana ini sentiasa wujud di masa-masa akan datang.


Sebelum rombongan beredar mereka turut disajikan dengan minum rehat oleh pihak sekolah.









HARI KUALITI DAN MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH PERKHIDMATAN

TAHNIAH... Hjh Aiwan terima sijil APC 2009

Betong, 28 April 2010(Rabu), Usaha gigih dan kesungguhan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang penjawat awam bukan sahaja untuk mendapatkan pujian dan imbuhan tetapi tanggungjawab yang lebih utama ialah setiap hasil yang dilakukan dan diperolehi adalah sebagai semangat untuk terus maju dalam apa jua yang telah terlaksana. Sebagai memperingati dan mengenang jasa warga jabatan yang telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang tahun 2009, Jabatan Pelajaran Daerah Betong telah mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Bahagian Betong tahun 2010 (Daerah Betong dan Daerah Saratok).

Majlis telah diadakan pada 28 April 2010 bertempat di Dewan Tan Sri Alfred Jabu, SMK St Augustine Betong. Anugerah telah disampaikan oleh Encik Mahli bin Rosli, Pegawai Pelajaran Daerah Betong dan Encik Daud bin Mohamad, Pegawai Pelajaran Daerah Saratok.

Seramai 283 orang telah menerima anugerah berkenaan. Daripada jumlah tersebut seramai 3 orang penerima dari Pejabat pelajaran Daerah Betong dan seorang darinya adalah dari Pejabat Pelajaran Daerah Saratok.

Seramai 94 penerima bagi kategori sekolah Kebangsaan(SK) di Daerah Betong dan seramai 91 orang penerima untuk SK Daerah Saratok.

Manakala untuk sekolah Menengah Daerah Betong pula seramai 55 orang dan untuk Sekolah Menengah Daerah Saratok seramai 39 penerima.

Dalam ucapan alu-aluan sempena Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Bagi Tahun 2010 Jabatan Pelajaran Daerah Betong dan Daerah Saratok, Pegawai Pelajaran Daerah Betong Encik Mahli bin Rosli menjelaskan bahawa pemilihan untuk pemberian APC adalah berdasarkan 4 prinsip atau kriteria yang perlu dinilai oleh ketua masing-masing. Penghasilan Kerja yang bermutu dan dapat memberi suatu yang baik dan dapat digunapakai. Pengetahuan dan kemahiran tentang kerja dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberikan. Kualiti dan peribadi yang baik ditunjukkan dalam menjalankan tugas seharian. Kegiatan dan sumbangan yang diberikan sepanjang tahun penilaian.

Semua kriteria berkenaan perlulah di titikberatkan oleh semua ketua dalam menilai seseorang dan mengharapkan semua penerima katanya haruslah tidak menganggap bahawa pemberian APC hanya sekadar pengiktirafan prestasi kerja masing-masing bagi tahun 2009 namun sebaliknya sebagai penyuntik semangat bekerja untuk diri masing-masing selepas ini.

“Sebagai seorang yang cemerlang asas yang kita mestilah memahami tentang etika kerja dimana kita mesti mempunyai niat yang betul, mempunyai perlakuan yang baik, menjadi penggerak kearah kebaikan dan memahkotakan apa yang di kata”. ujar mahli.
“Bukan sijil yang menjadi ukuran ketulinan kecemerlangan tetapi nilai dalam diri yang perlu diukur dan kita sendiri yang harus memikirkannya bukan hanya untuk mendapatkan anugerah sahaja tetapi setiap kecemerlangan haruslah sentiasa diamalkan dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang masa” sambung mahli sebelum mengakhiri ucapan aluan beliau.
Bagi penerima anugerah APC Cik Ngatiyem Fashar, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Pelajaran Daerah Betong beliau merasa amat gembira dan bersyukur kerana telah diberi peluang menerima anugerah berkenaan. Ditanya apakah harapan untuk masa-masa akan datang, beliau menjawab “Saya ingin Kahwin”jawab beliau berseloroh.
Cik Hjh Aiwan @ Noraini bt Hj Alli, Ketua Unit, Unit Pengurusan Sekolah Pejabat Pelajaran Daerah Betong pula adalah menjadi tanggungjawab setiap penjawat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang kakitangan yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas seharian namun kerjasama daripada rakan sejawat amat diperlukan dalam melaksanakan kerja-kerja yang berkualiti. Beliau amat berterima kasih kepada semua rakan-rakan yang membantu dan anugerah ini adalah sebagai pendorong untuk beliau terus maju dalam bidang-bidang yang diceburi dan tangggungjawab yang dilaksanakan selepas ini.
Turut menerima anugerah berkenaan bagi kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah Betong ialah Encik Graman Ringgi, Penolong Penyelia, Unit Pengurusan Sekolah.
Majlis yang dilangsungkan bermula jam 9.00 pagi turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Betong Encik Vevien anak Mujah dan Penolong Pegawai Saratok Encik Bundak Sulaw.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan