19 September 2010

MALAM MESRA AIDILFITRI 2010 KAMPUNG MASJID BETONG MERIAH






BETONG. (Khamis)Sekitar 400 orang penduduk Kampung Melayu Betong telah mengunjungi perkarangan Gelanggang Permainan Kampung Masjid Betong semasa berlangsungnya Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2010 semalam.

Majlis yang dianjurkan bersama JKKK dan Ranting PBB kampung Masjid Betong merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang bersama sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat Kampung Masjid Betong yang berlangsung dengan cukup meriah dimana ianya turut dirasmikan oleh Penghulu Kampung Melayu Betong Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit.

Berucap dalam majlis berkenaan, Zawawie berpesan kepada semua penduduk kampung agar sentiasa menerapkan semangat kerjasama dan berpasukan dalam merealisasikan pembangunan dan kemajuan kampung.

Perpaduan akan dapat dikekalkan jika semua penduduk kampung dapat melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kampung yang dirancang bersama. Dan program yang dijalankan adalah hasil daripada percambahan buah fikiran semua anak-anak kampung yang mampu memikirkan idea-idea yang bernas untuk diketengahkan kepada masyarakat umum. Jika ianya berlaku sudah pasti akan dapat memberi faedah yang berguna kepada kemajuan kampung.

Pada masa yang sama pertelingkahan haruslah dielakkan dan jangan menimbulkan kekecohan dengan meracuni pemikiran penduduk kampung dengan menimbulkan isu-isu sensitif kepada umum kerana ianya pasti akan memberikan kesan yang menjurus kepada perpecahan.

Justeru itu, warga kampung juga haruslah bersama meningkatkan perpaduan demi generasi yang akan datang dan kita haruslah mendidik mereka dengan memberi didikan yang sempurna demi masa depan yang lebih terjamin dan bermakna.

Pada majlis itu juga Zawawie merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada penduduk kampung yang telah bekerjasama semasa kunjungan Yang Berhormat sempena Hari Raya tempohari dan menyampaikan ucapan penghargaan daripada pihak Yang Berhormat di atas layanan yang telah diberikan oleh penduduk kampung serta menyeru kepada semua penduduk kampung agar dapat menfaatkan sepenuhnya wang pemberian bantuan peralatan rumah yang disalurkan oleh pihak kerajaan sebagaimana yang diumumkan oleh Yang Berhormat semasa kunjungan Hari raya di kampung tersebut.

Berbagai aktiviti turut dijalankan pada majlis tersebut antaranya ialah pertandingan karaoke untuk kanak-kanak 12 tahun kebawah yang mana adik Siti Norsanasiah bt Mohd Aderus telah menjuarai pertandingan tersebut manakala adik Dayang Melisa dan Adik Noshafiq bin Jamari masing-masing ditempat kedua dan ketiga.

Pertandingan Bertandak turut diadakan dan dua kategori dipertandingka. Kategori kanak-kanak pasangan Adik beradik Adeel Nazhim bin ismail dan Ayu Najiha bt Ismail telah menjadi johan dan tempat kedua pasangan Siti Norsanasiah bt Mohd Aderus dan Norhafiq bin Jamari manakala ketiga pula pasangan adik Dayang Malisa dan Adik Nurul Husna bt Taib.

Untuk Kategori Dewasa pasangan Den bin Mang dan Mohiden bin Amit telah menjuarai pertandingan tersebut. Tempat kedua pasangan Gasi bin Hj Anga dan Morini bin Karim manakala ketiga pasangan Sulong bin Unai dan Morni bin Mat.

Terdahulu aktiviti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Prasekolah dan TABIKA juga dijalankan yang mana telah diadakan pada 14 september yang lalu disekolah masing-masing. Bagi kategori Prasekolah adik Luciana Devega ak Riat memenangi pertandingan tersebut dan ditempat kedua adik Nik Mardhiah bt Nik Ab Rahman manakala adik Noormaidatul Akma bt Hassan dt tempat ketiga.

Kategori TABIKA adik Nurliyana Syahirah bt Syaharin menjadi johan manakala adik Mohd Aireel hakimi bin Saleman dan Adik Abang Iman Muazzhim bin Abang Mustapha masing-masing ditempat kedua dan ketiga.

Cabutan tiket bertuah turut dijalankan dimana sebanyak 6 buah hamper menhadi rebutan pada majlis tersebut.

Majlis tersebut turut dihadiri KK Wan Ahmed bin Wan Chee ketua kampung Baru Hulu Betong, KK Segara bin Dukari ketua kampung Hilir Betong, Abdul Rahim Hj Jaini Ketua Ranting PBB Kampung Baru Betong. turut hadir KK Hjh Rasidah bt Hj Julaihi Ketua kampung Masjid Betong dan Abang Suhaili bin Abang Pay Ketua Ranting PBB Kampung Masjid Betong.

Sambutan hari Malaysia yang turut di rancang dalam aturcara program tidak dapat dilancarkan memandangkan program yang dijalankan berakhir awal dan aktiviti tersebut banyak melibatkan kanak-kanak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan