19 September 2010

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT BERSAMA JABATAN PENERANGAN DAN PLKN

“Saini juga berpendapat kejayaan sesuatu program itu bergantung dengan kerjasama dan penglibatan bersama penduduk yang terlibat dan bukan hanya mengharapkan orang lain untuk mengurus setiap program yang dirancang. Usaha murni dan semangat kerjasama adalah tunjang utama kearah itu”.



BETONG. Jabatan Penerangan Bahagian Betong dan Komuniti Bestari Kampung Melayu Betong dengan Kerjasama Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah menganjurkan “Program Khidmat Masyarakat Jabatan Penerangan Bersama PLKN Bukit Saban Betong” hari ini.

Program yang diadakan serentak diseluruh negara untuk semua kawasan yang mempunyai PLKN turut mengadakan aktiviti gotong royong membersih kawasan dan agensi yang terlibat.

Seramai 199 pelatih PLKN bersama 15 Jurulatih daripada PLKN Bukit Saban Betong telah mengambil bahagian dalam program yang dirancang dan merupakan salah satu program yang telah diselit dalam takwim agensi berkenaan.

Menurut Encik Saini bin Bojeng Pengarah Penerangan Bahagian Betong/Sri Aman, program yang diadakan ini ialah yang kedua untuk kawasan Betong ini dimana tahun lalu program yang sama turut diadakan di Daerah Spaoh dan telah mendapat kerjasama daripada penduduk kawasan terlibat.

Beliau yang hadir sama dalam program berkenaan turut berucap dan amat mengalu-alukan kerjasama penduduk kawasan yang terlibat bagi pendedahan kepada pelatih-pelatih PLKN yang turut sama menjayakan program berkenaan.

Beliau turut menjelaskan Program yang dianjurkan bertujuan mengeratkan lagi perpaduan dan merapatkan hubungan Pelatih PLKN dengan penduduk kampung selain itu memberi ruang kepada mereka melihat persekitaran dan mengenali kawasan yang terlibat dalam usaha mendidik mereka dengan semangat kerjasama.

Saini juga berpendapat kejayaan sesuatu program itu bergantung dengan kerjasama dan penglibatan bersama penduduk yang terlibat dan bukan hanya mengharapkan orang lain untuk mengurus setiap program yang dirancang. Usaha murni dan semangat kerjasama adalah tunjang utama kearah itu.

Kawasan yang terlibat dengan aktiviti berkenaan ialah Kampung Masjid, Kampung Tengah, Kampung Hilir, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir, Kampung Melayu Passa dan Ibu Pejabat Polis Betong.

Selain itu, dua lagi aktiviti yang telah dirancang Jabatan Penerangan bersama PLKN ialah Lawatan yang turut melibatkan kawasan Daerah Pusa dan Ceramah Satu Malaysia dimana akan diadakan serentak diseluruh Negara.

Turut hadir menjayakan program berkenaan ialah Penghulu Kampung Melayu Betong Tuan Haji Abang Zawawie Rajit, Ketua-ketua Kampung, ahli jawatankuasa Komuniti Bestari Kampung Melayu Betong serta penduduk-penduduk di kawasan terlibat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan