30 November 2010

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT BETONG BERSEDIA TAMBAH AHLI BRIGED KEBAJIKAN PERDANA(BKP)

PENGHARGAAN... Shamat(kiri) menyampaikan cenderamata kepada Anthony(tengah) sambil disaksikan oleh Friday


29 November 2010

BETONG. “Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong(JKM) bersedia menambah keanggotaan Ahli Briged Kebajikan Perdana(BKP) sebagai langkah awal menghadapi bencana”. Menurut Encik Shamat bin Kassim, wakil Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong ketika memberi ucapan aluan pada Taklimat Pengurusan Bencana Kepada Ketua Masyarakat dan Ahli Briged Kebajikan Perdana(BKP) yang telah diadakan di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong semalam.

Taklimat tersebut telah dihadiri seramai 43 peserta yang terdiri daripada ahli BKP, wakil-wakil Jabatan serta Ketua-ketua Masyarakat di Bahagian Betong yang turut menyertai Briged berkenaan.

Dengan objektif bahawa penubuhan BKP yang merupakan badan sukarela yang berperanan membantu JKM dalam mengendalikan sebarang bantuan kepada mangsa bencana semasa bencana menimpa serta sebagai persediaan awal menghadapi bencana.

Hadir merasmi majlis penutupan taklimat berkenaan, Dr. Anthony Valentine Laiseh, Timbalan Residen Bahagian Betong yang mewakili Residen Bahagian Betong menyeru kepada semua peserta dikalangan Ketua-ketua Masyarakat, penduduk kampung serta NGO yang terlibat agar turut bersedia dalam menghadapi sebarang bencana serta musibah yang melanda di kawasan yang terbabit.

Menurut Anthony, BKP ditubuhkan sebagai usaha JKM untuk menggemblengkan semua pihak di peringkat akar umbi khususnya masyarakat setempat dalam usaha menangani isu-isu berkaitan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat. Penubuhan BKP ini akan mempertingkatkan lagi jaringan kerja sektor-sektor yang bertanggungjawab dalam urusan kerja-kerja kemasyarakatan termasuk Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan orang perseorangan selaras dengan konsep “Kebajikan Tanggungjawab Bersama”. Melalui BKP semua program dan aktiviti di peringkat akar umbi dapat digerakkan secara bersepadu bagi menangani bencana dan bersiap sedia dengan apa jua musibah serta isu-isu berkaitan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat di peringkat yang lebih awal.

Pada perkembangan yang sama Anthony menjelaskan, antara musibah yang mungkin berlaku ialah banjir umpamanya yang melibatkan kawasan-kawasan yang rendah, dengan penubuhan BKP dan penglibatan ketua-ketua masyarakat dikawasan terbabit akan lebih memudahkan urusan penyediaan bantuan dan mereka juga berperanan menjaga kebajikan kepada mangsa bencana tersebut.

Program sehari tersebut yang telah dikendalikan oleh pegawai yang telah diundang khas daripada JKM Negeri Sarawak dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi memberi penerangan dan tatacara pengurusan bencana, peranan ahli BKP dalam pengurusan bencana dan persediaan yang perlu semasa menghadapi musibah yang sukar untuk diramalkan.

Anthony turut menyampaikan sijil kepada peserta yang terlibat serta menyampaikan cenderamata kepada penceramah pada akhir sesi tersebut.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Encik Friday Belik, Pegawai Daerah Betong, Ketua-ketua Jabatan serta ketua-ketua masyarakat yang dijemput dalam majlis tersebut.

KEMBARA TAKBIR MENGUKUHKAN PERPADUAN MENGERAT PERSAUDARAAN

17 November 2010

BETONG. Sambutan Aidil Adha penuh bermakna bagi masyarakat Islam di sekitar Kampung Melayu Betong dengan pelaksanaan program yang telah dirangka oleh pihak SK Abang Abdul Kadir Betong yang melibatkan penduduk Kampung Melayu Betong dengan pengelolaan Program Kembara Takbir sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2010 semalam.

Program tersebut telah dirancang sepenuhnya oleh Panitia Pendidikan Islam SK Abang Abdul Kadir Betong dengan kerjasama Pengurusan Masjid Jamek Betong dan dibantu bersama oleh guru Kelas Fardu Ain dan Kifayah (KAFA) sekolah berkenaan yang bertungkus lumus merencanakan aktiviti tersebut berjalan dengan jayanya disamping mengajak penduduk kampung turut sama meraikan hari raya Aidiladha pada tahun ini.

Seramai 80 orang pelajar yang terdiri daripada murid Tahun Empat hingga Enam serta melibatkan seramai 25 orang pemimpin Takbir dikalangan guru-guru dan penduduk kampung telah menjayakan program tersebut yang dijalankan pada malam raya bermula jam 8.00 hingga 10.30 malam. Disamping sebanyak 60 buah rumah penduduk kampung Melayu termasuk kawasan perumahan telah diziarahi. Mereka turut bertakbir beramai-ramai.

Antara kampung yang terlibat dalam pelaksanaan aktiviti tersebut ialah Kampung Masjid Betong, Kampung Tengah Betong, Kampung Hilir Betong, Kampung Baru Hulu Betong, Kampung Baru Hilir Betong dan beberapa buah rumah di kawasan perumahan di sekitar Betong.

“Dengan sambutan yang amat menggalakkan begini, kita akan meneruskan aktiviti seumpama ini pada masa-masa yang akan datang. Bukan sahaja pada Hari Raya Aidiladha malahan Hari Raya Aidilfitri juga akan diteruskan”. Menurut Abang Udai bin Abang Achang, Guru Besar SK Abang Abdul Kadir Betong.

“ Kita amat kagum dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dengan penyertaan penduduk kampung yang telah bekerjasama dalam meneruskan aktiviti yang telah dirancang. Program begini bukannya baru bagi kita disini malahan telah sekian lama telah dilupakan memandangkan kekurangan tenaga untuk menggerakkan program seumpama ini dan bagi mengaktifkan semula aktiviti tersebut jawatankuasa pengelola telah bertungkus lumus meneruskan usaha murni tersebut”.

Amalan yang biasa dilakukan ialah kita berziarah dari rumah kerumah pada hari raya dan itulah yang telah diterapkan dalam program yang dijalankan sambil rombongan bertakbir beramai-ramai. Dalam peredaran zaman yang kian berubah, konsep dan amalan umat Islam ketika merayakan sambutan perayaan hari raya tidak akan lupus dengan pendedahan yang berterusan dan diamalkan dari semasa ke semasa. Perpaduan kaum turut dapat dijalinkan.

“Itulah usaha kita dan dengan niat yang murni, program kita telah berjaya dilaksanakan”. Tambah Abang Udai yang juga pengerusi pengelola program tersebut ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Penutupan program telah diadakan di Masjid Jamek Betong dengan semua peserta turut berkumpul sambil menikmati juadah yang telah disediakan oleh penduduk-penduduk kampung turut mengambil bahagian dalam program tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Imam Masjid Jamek Betong, Abang Dalhan bin Abang Yaman, Ketua Kampung Baru Hulu Betong, Wan Ahmed bin Wan Chee, Ketua Kampung Hilir Betong Segara bin Dukari, Pengerusi Pengurusan Masjid Jamek Betong Kon Spawi bin Yahu, Imam-Imam Surau, serta penduduk kampung.

PUSAT KESIHATAN BAHAGIAN BETONG (PKB) ANJUR GOTONG ROYONG

08 November 2010

BETONG. Seramai 45 kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong telah menyertai gotong royong bagi membersihkan kawasan pejabat berkenaan serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di persekitaran kawasan terbabit baru-baru ini.

Program tersebut juga sebagai menyahut seruan Kementerian Kesihatan Malaysia yang mengarahkan untuk mengadakan gotong royong bagi mencegah dan menghapus pembiakan nyamuk sekaligus menghindari penyakit yang berkaitan dengan nyamuk.

Program tersebut merupakan kali kedua aktiviti yang sama telah dijalankan dipejabat berkenaan dan ianya sebagai langkah awal mencegah pembiakan nyamuk dan mencantikkan kawasan di luar pejabat berkenaan dengan menanam bunga serta turut membersih sistem perparitan di kawasan terbabit.

Dr Jeffery Stephen, Pegawai Kesihatan Bahagian Betong telah mengetuai gotong royong berkenaan. Beliau mengingatkan kepada semua warga jabatan berkenaan supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mementingkan kebersihan serta mengamalkan cara hidup yang sihat agar jabatan kesihatan akan terus menjadi contoh kepada masyarakat setempat tentang amalan kebersihan demi menjaga kesihatan semua warga Betong selepas ini.

Menurut Jeffrey, amalan kebersihan seharusnya dititikberatkan bukan sahaja pada peringkat pejabat malahan sentiasa menjadi amalan pada setiap masa oleh semua pihak kerana ia dapat mengelak daripada penyakit.

Aktiviti yang mendapat sambutan dikalangan kakitangan pejabat berkenaan akan disebarkan kepada semua jabatan-jabatan yang ada di Betong amnya bagi sama-sama membasmi pembiakan nyamuk yang boleh mengundang penyakit jelas Jeffrey.

Keadaan persekitaran yang bersih akan lebih menceriakan tempat dan suasana kerja agar lebih kondusif dan memberi perangsanag kepada kakitangan pejabat berkenaan untuk menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang dimasa-masa akan datang tambah Jeffrey.

Pada akhir majlis berkenaan turut diadakan jamuan untuk semua kakitangan pejabat berkenaan yang hadir dalam gotong royong tersebut.

PERPUSTAKAAN MD BETONG ANJUR PERTANDINGAN MENGEJA UNTUK KANAK-KANAK TABIKA

05 November 2010

BETONG. Adik Emelia Riviana Bunai kanak-kanak dari Tabika Betong telah dinobatkan sebagai johan pada pertandingan Mengeja anjuran Perpustakaan Awam Majlis Daerah Betong(MDB) hari ini.

Tempat kedua menjadi milik adik Syasya Azzahrah binti Shamsubaharum daripada Tabika Kampung Tengah Betong. manakala tempat ketiga berkongsi milik adik Asha Claire Nawie ak Allen dan Adik Decoline Dinggu ak Philip yang masing-masing daripada Tabika St Augustine Betong.

Program yang berkonsepkan mengeja dan menulis tersebut telah dilangsungkan di Perpustakaan Awam Majlis Daerah Betong yang turut disertai oleh lima buah Tabika yang melibatkan Tabika Kemas kampung Tengah Betong, Tabika St Augustine Betong, Tabika Kampung Mangut Spaoh, Tabika Kampung Buda Spaoh dan Tabika Betong (SJK Chung Hua Betong).

Penyertaan seramai 25 orang kanak-kanak yang menyenaraikan lima orang daripada setiap Tabika berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan Tabika terbabit telah menjadikan program tersebut berjalan dengan jayanya.

Menurut penganjur program tersebut, tujuan pertandingan seumpama itu diadakan adalah bagi mendedahkan kanak-kanak terbabit untuk mempelajari kaedah mengeja, menulis dan membaca dengan lancar.

Kaedah pendengaran dan kepekaan dalam mendengar sesuatu dan mengeja serta menulis perkataan adalah merupakan asas membaca dengan lancar dan pendedahan awal sebegini seharusnya dipupuk seawal usia mereka lagi.

Aktiviti sebegini sememangnya telah dijalankan oleh Perpustakaan terbabit dalam usaha menyemai sikap suka membaca dikalangan kanak-kanak. Terdahulu mereka telah menganjurkan aktiviti yang sama kepada sekolah-sekolah rendah dikawasan wilayah terbabit. Program tersebut adalah kesinambungan program sempena Hari membaca 2010 yang turut dijayakan oleh perpustakaan berkenaan.

Cik Dayang Jaleha bt Hj Abang Mahdi, guru Tabika Kemas Kampung Tengah Betong ketika ditemui berkata, jika diberi peluang mereka akan sentiasa memberi kerjasama dalam usaha menggalakkan kanak-kanak di taman bimbingan tersebut berkecimpung dalam aktiviti seumpama itu dan memberi pendedahan kepada mereka untuk terus mempelajari kaedah yang dapat menambahbaik pembelajaran kanak-kanak tersebut.

Menurut beliau lagi, kanak-kanak yang belajar ditaman bimbingan tersebut sentiasa diberi perangsang agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembelajaran yang serba canggih ini. Penglibatan dalam berbagai aktiviti lain juga terus mereka sertai agar kanak-kanak tersebut mendapat manfaat daripada pertandingan yang disertai.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Roslina Blumbong, Pembantu Perpustakaan Awam MDB serta para ibubapa kanak—kanak terbabit.

SUKAN MEMUPUK PERPADUAN

04 November 2010

BETONG. “Kejayaan tidak akan datang dengan sendiri jika kita tidak berusaha. Dengan usaha yang gigih kita pasti akan mampu menjadi seorang yang berjaya sebagaimana yang telah anda lakukan pada hari ini. Dengan pencapaian yang membanggakan kejohanan Pembangunan Balapan dan Padang peringkat Negeri Sarawak pasti dapat menghasilkan atlit yang berbakat sebagai sandaran untuk kita mengharungi kejohanan-kejohanan yang lebih berprestij selepas ini nanti di peringkat yang lebih tinggi”.

Menurut Daud bin Mohamad Pegawai Pelajaran Daerah Saratok ketika merasmikan penangguhan Kejohanan Pembangunan Balapan dan Padang MSS Negeri Sarawak yang telah di adakan di Betong dan berakhir semalam.

Kejohaanan selama 2 hari itu turut menggumpul seramai 670 peserta dikalangan pelajar berusia 10, 11 dan 13 tahun kebawah dan telah berkampung di Betong bagi sama-sama menyertai Kejohanan tersebut yang telah dilangsungkan di Kompleks Sukan Betong baru-baru ini.

Penyertaan 11 bahagian pada temasya yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Betong telah dikendali oleh seramai 160 orang pegawai yang bertugas dikalangan kakitangan sekolah dan kontijen yang mengambil bahagian.

Penganjuran kejohanan tersebut adalah sebagai memberi peluang dan ruang kepada atlit-atlit yang mengambil bahagian untuk menunjukkan bakat serta mencungkil bakat-bakat baru dalam setiap kategori dalam acara yang dipertandingkan bagi mengharungi kejohanan sebenar pada tahun-tahun yang akan datang.

Semangat perpaduan dan kerjasama dapat dipupuk melalui kejohanan seumpama ini serta mampu melahirkan atlit yang cergas untuk negeri Sarawak dan memupuk semangat kental dikalangan semua peserta.

Pada kejohanan kali ini memperlihatkan kontijen Sibu telah mengungguli semua kategori yang dipertandingkan dengan menjadi johan pada semua kategori 10 tahun kebawah, 11 tahun kebawah dan 13 tahun kebawah dan turut menjadi johan keseluruhan kejohanan dengan menggumpul 227 mata pada kejohanan tersebut.

Kontijen Kuching pula menduduki tempat kedua keseluruhan dengan menggumpul mata sebanyak 220 mata. Tempat kedua kategori 10 tahun kebawah, menjuarai kategori 11 tahun kebawah dan tempat ketiga kategori 13 tahun kebawah.

Manakala kontijen Miri di tempat ketiga keseluruhan dengan mengutip 195 mata keseluruhan. Menduduki tempat ket ketiga kategori 11 tahun kebawah dan tempat kedua bagi kategori 13 tahun kebawah.

Kejohanan kali ini turut memperlihatkan setiap kategori telah berjaya memecahkan rekod kejohanan. Antaranya ialah Acara Lontar Peluru Perempuan 10 tahun kebawah dimana adik Grace Wong Xiu Mei daripada Sarikei telah memadamkan rekod lama kejohanan daripada 11.08m kepada lontaran rekod baru 13.89 m.

Kategori 10 tahun kebawah lelaki menyenaraikan adik Roger anak Rambai daripada Kuching telah memecahkan rekod 8.35s kepada 8.1s dalam acara lari 60m. dan melenyapkan rekod lompat jauh daripada 4.28m kepada 4.37m.

Kategori 11 tahun kebawah perempuan melahirkan adik Then Yi Chian dari kuching yang turut dinobatkan sebagai peserta terbaik kategori dengan memecahkan rekod lompat tinggi daripada 1.37m kepada 1,38m.

Bagi kategori 11 tahun kebawah lelaki adik Remar Manuel daripada Miri telah memecahkan rekod dengan rekod lama 70m dan kategori perempuan 13 tahun kebawah.

Norris Foo atlit harapan Sibu 13 tahun kebawah perempuan pula dengan memecah rekod 200m dan menyamai rekod 100m.

Kategori 13 tahun lelaki melihat adik Willy Ampi daripada Bintulu menerajui acara lari berpagar dengan catatan mata 27.7s dan acara 200m serta rekod baru 100m lari berpagar dengan catatan 13.5s.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Zainudin bin Hj Awang , Penolong Pengarah Unit Sukan Jabatan Pelajaran Sarawak. Vevien Mujah Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Betong, Alexander J.Rimok Pengetua SMK Saratok dan Robin Sabai Pengetua SMK Ulu Layar.

KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAN (KSPK), URUSAN PENGENDALIAN PRASEKOLAH DISELARASKAN MENURUT PROSEDUR KEMENTERIAN

03 November 2010

BETONG. Seramai 97 orang guru besar dari sekolah-sekolah rendah Daerah Betong dan Saratok telah menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Prasekolah bagi Guru Besar di bawah Sub NKRA Prasekolah yang telah dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Sarawak dan telah dikelolakan bersama oleh Pejabat Pelajaran daerah Betong dan Saratok baru-baru ini.

Mesyuarat yang telah diadakan di Premier Hotel Sibu bertujuan untuk mengetengahkan para guru besar peranan dan tanggungjawab serta menyelaraskan pengurusan kelas prasekolah di peringkat sekolah dan jabatan selepas ini.

Penyertaan guru besar daripada 47 buah sekolah rendah daripada Daerah Betong dan 50 buah sekolah daripada daerah Saratok yang mempunyai kelas prasekolah pada mesyuarat tersebut amat menggalakkan.

Pengelola kursus Encik Yusof Anthony bin Ross yang juga Penolong Penyelia Unit Pengurusan Sekolah PPD Betong ketika dihubungi berpendapat program tersebut bukan sekadar mesyuarat bersama guru besar tetapi lebih kepada perancangan pengurusan kelas prasekolah yang wajib diketahui oleh guru-guru besar sebagai panduan dalam perancangan untuk kelas prasekolah oleh guru-guru prasekolah yang bertanggungjawab mengendali urusan di prasekolah ketika ini menurut beliau.

Komitmen guru besar untuk mengambil tahu dan mempastikan urusan di kelas-kelas prasekolah teratur dan mengikut prosedur yang telah digariskan oleh kementerian dan berpandu kepada Standard Kurikulum Prasekolah Kebangsaan(KSPK) sebagaimana yang digunapakai dalam sistem pembelajaran bagi kelas prasekolah.

Mesyuarat yang turut dikendalikan oleh pegawai daripada Jabatan Pelajaran Sarawak bersama pegawai yang telah dijemput khas daripada beberapa PPD lain untuk sama-sama membentangkan beberapa perkara berkaitan pengurusan kelas terbabit.

Penekanan tentang pengurusan kelas prasekolah serta memberi fokus kepada kemenjadian murid-murid prasekolah sebelum melangkah ke alam kelas formal ditahun satu adalah perlu diberi perhatian sewajarnya dan pemantauan kepada pengajaran dan pembelajaran dikelas berkenaan wajib dilakukan oleh setiap guru besar agar pengwujudan kelas seumpama itu tidak akan sia-sia.

Program tiga hari itu diharap dapat memberi input yang berguna kepada para guru besar dalam memimpin sekolah yang lebih sempurna selepas ini.