24 Mei 2010

SAMBUTAN HARI BELIA KAMPUNG BARU HULU BETONG HEBAT DAN MERIAH

Juara Bertandak... pemenang bergambar kenangan bersama Cik Hayati dan Wan Boehana, Pengerusi JKKK Kpg Baru Hulu Betong.

Betong, 23 Mei 2010. Bertemakan Kearah Mencapai Satu Gagasan ‘Satu Malaysia’, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Baru Hulu Betong telah menganjurkan Sambutan Hari Belia peringkat kampung itu yang bertempat di Perkarangan Surau darul Taqwa Kampung Baru Hulu Betong.

Objektif program diadakan adalah untuk memupuk semangat kerjasama berpasukan dikalangan penduduk kampung disamping sebagai satu riadah dan ia juga salah satu aktiviti yang telah dirancang oleh JKKK Kampung berkenaan yang turut diberi kerjasama oleh Ranting PBB Kampung Baru Hulu/Hilir Betong

Program yang dijalankan selama 2 hari itu bermula pada 22 dan berakhir 23 Mei 2010 dengan beberapa aktiviti telah dijalankan bagi memeriahkan program tersebut antaranya Senaman Kecergasan, Ceramah kesihatan dan pertandingan bertandak,mewarna untuk kanak-kanak tadika dan sekolah rendah, Mini Autoshow juga turut di adakan.

Terdahulu Encik Razali Pegawai zat pemakanan, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong telah memberi ceramah kesihatan. Beliau membentangkan Konsep Pemakanan Sihat.

“ 3K bermaksud Kepelbagaian, Keseimbangan dan Kesederhanaan. Konsep ini perlu ada dalam kaedah pemakanan kita. Kita harus merancang pemakanan kita agar tubuh badan kita sihat.” kata Razali semasa memberi ceramah beliau.

“Menurut kajian, purata seorang rakyat Malaysia telah mengamalkan penggunaan gula sebanyak 50 kilogram setahun. Kadar yang tinggi dalam penggunaan gula dalam badan”.

“Untuk amalan pemakanan yang sihat seseorang boleh mengambil pemakanan bernisbah gula sebanyak tidak melebihi 10 sudu teh sehari”. Tambah beliau ketika mengulas pertanyaan penduduk kampung yang bertanya jumlah nisbah penggunaan gula dalam badan.

Pada sebelah malamnya pula pertandingan bertandak peringkat saringan di adakan dimana 9 pasangan telah mengambil bahagian.

Untuk aktiviti pada hari kedua, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak diteruskan. Seramai 130 orang peserta telah mengambil bahagian dalam 4 kategori yang dipertandingkan antaranya Praskolah/Tadika, tahun 1 dan 2, Tahun 3 dan 4, dan tahun 5 dan 6.

Sambil itu Kempen Derma Darah turut di adakan dimana sebanyak 37 pain darah telah diperolehi daripada kempen tersebut. Kempen ini juga merupakan rekod di sini kerana inilah kali pertama aktiviti kampung menganjurkan kempen derma darah.

Pada masa yang sama ‘Mini Autoshow’ juga diadakan bagi menjayakan program belia ini. Sebanyak 68 buah motosikal terlibat dalam program ini. Dengan 4 kategori diperagakan. Kategori Motorbike, Scooter, Display dan motor terkecil.

Bagi memberkati program belia ini, ahli jawatankuasa pengelola telah menjemput Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit, Penghulu Kampung Melayu Betong untuk merasmikan aktiviti pada hari berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau mengharap kerjasama seumpama ini harus diteruskan bagi kesepakatan dan semangat berpasukan penduduk-penduduk kampung.

“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan untuk kita mencungkil bakat kanak-kanak kita dan dari sini kita dapat melihat kebolehan anak-anak kita. Kita tidak mahu ketinggalan dalam mempastikan pendidikan yang sebaik-baiknya untuk mereka”.

“Saya mahu dalam kemajuan pendidikan dan kita perlu tranformasikan diri kita dan anak-anak kita dan sekurang-kurangnya seorang graduan setiap buah rumah di kampung kita ini”. Ucap Abang Zawawie semasa merasmi aktiviti mewarna.

Acara kemuncak program berakhir pada sebelah malamnya dihiasi dengan pertandingan akhir bertandak dimana kesemua peserta yang bersaing pada hari pertama layak untuk berentap dalam pertandingan akhir ini.

Cabutan tiket bertuah juga diadakan dan bagi merancakkan lagi majlis pada malam itu, sebanyak 25 buah hamper telah disediakan oleh pengelola untuk habuan penonton dan penduduk kampung yang telah membeli tiket.

Program kemuncak tersebut turut dirasmikan Penangguhannya oleh Pegawai Tadbir Sarawak Cik Hayati binti Sahari yang telah mewakili tuan Residen Bahagian Betong.
 
"Jarang kita melihat program seperti ini di adakan. Ini adalah permainan lama yang cuba diketengahkan semula oleh JKKK Kampung Baru Hulu Betong ini. Tahniah daripada kami. Kita juga telah bercadang untuk membawa juara pada malam ini ke majlis-majlis rasmi yang bakal di adakan ditempat kita sebagai persembahan dan memperkenalkan permainan ini". Ucap Hayati semasa penangguhan rasmi majlis berkenaan.
Beliau juga berpeluang menyampaikan hadiah kepada pemenang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan