15 Mei 2010

JASA BETONG ANJUR SUKANEKA TERTUTUP KAMPUNG MELAYU BETONG

Betong, 15 Mei 2010 (Sabtu). JASA Betong dengan kerjasama Ranting PBB Kampung Hilir/Tengah Betong, Ranting PBB Kampung Masjid/Passa Betong dan Ranting PBB Kampung Baru Hulu/Hilir Betong akan menganjurkan Program Sukaneka peringkat Kampung Melayu Betong.

Program Sukaneka yang dirancang akan diadakan pada 29 Mei 2010 bertempat di Kompleks Sukan Betong merupakan aktiviti tertutup untuk penduduk Kampung Melayu Betong yang merangkumi Kampung Hilir yang bergabung dengan Kampung Tengah Betong, Kampung Masjid bergabung bersama Kampung Melayu Passa Betong dan Kampung Baru Hulu bergabung dengan Kampung Baru Hilir Betong.

“Program ini adalah anjuran JASA Betong dengan kerjasama tiga Ranting PBB di Kampung Melayu Betong dan pelbagai acara telah kita rancang bagi menjayakan program tersebut”. Kata Pengerusi Ranting PBB Kampung Hilir/Tengah Betong, Encik Abdul Rahman bin Ismail yang juga merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa program berkenaan.

“Encik Tony Malang, pegawai JASA Betong telah memohon kepada kami, Pengerusi Ranting PBB di ketiga-tiga kawasan ini untuk menjadi Pengerusi Bersama untuk sukaneka berkenaan.

“Matlamat utama penganjuran program ini adalah mewujudkan masyarakat bersatu-padu dan harmoni melalui aktiviti sukan, pertemuan dan pergaulan menerusi aktiviti yang telah dirancangkan. Kita juga telah membahagi kepada 3 zon yang masing-masing melibatkan Ranting PBB kawasan terbabit.

“Zon Kuning untuk pasukan Ranting PBB Kampung Baru Hulu/Hilir Betong, Zon Merah pasukan Ranting PBB Kampung Masjid /Passa Betong dan Zon Biru pasukan Ranting Kampung Hilir/Tengah Betong. Semua pasukan yang mengambil bahagian akan menggunakan pakaian mengikut warna zon masing-masing”.

“JASA Betong telah memperuntukkan sebanyak RM 5,000.00 untuk menjalankan aktiviti berkenaan dan memohon kerjasama pihak Ranting PBB di kawasan kita untuk menjayakan program ini. Pihak kita juga telah menubuhkan jawatankuasa Induk program dan jawatankuasa permainan bagi merancang berbagai acara dalam program tersebut. Ada juga permainan lama yang kita gabungkan bagi mengetengahkan permainan tersebut kepada belia kampung”. Tambah beliau.

Antara acara yang dipertandingkan adalah Lari dalam guni berganti-ganti, Tiup belon sampai pecah, Isi air dalam botol menggunakan span, Lari bawa bola ping-pong menggunakan sudu, Pancing botol, Bola Sepak Lelaki (berkain pelikat), Tarik Tali Lelaki dan Wanita, Kuit, Menganyam Ketupat dan Membuat kuih asli.

“JKKK Kampung Masjid Betong yang telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan buku program memohon kepada semua pengerusi jawatankuasa permainan yang juga telah diminta menyediakan kertas kerja bagi setiap permainan yang dirancang menyerahkan kertas kerja mereka kepada jawatankuasa kami. Ini adalah untuk persediaan mengendalikan setiap permainan semasa sukaneka itu nanti dan semua kertas kerja tersebut juga akan dimasukkan dalam buku program”. Jelas Encik Saleman bin Senin selaku ahli jawatankuasa Buku Program sempena Sukaneka berkenaan.

Pihak pengelola juga berharap sukaneka itu nanti akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini dan semua perancangan akan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak yang terlibat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan