31 Oktober 2010

SK ABANG ABDUL KADIR BETONG ANJUR PROGRAM MARHABAN DAN ZIARAH.

03 Oktober 2010

BETONG. SK Abang Abdul Kadir Betong telah mengadakan program Marhaban dan Ziarah. Program tersebut dikelolakan bersama guru Pendidikan Agama Islam, j-QAF dan Fardu Ain sekolah berkenaan. program tersebut dirangka sebagai aktiviti selepas UPSR bagi pelajar Tahun 6.

Program tersebut dilaksanakan pada hujung minggu (sabtu dan Ahad)sepanjang dua minggu terakhir dalam bulan Syawal dimana sebanyak 49 buah rumah guru dan penduduk kampung Melayu Betong telah terlibat dalam program tersebut yang berakhir semalam.

Aktiviti tersebut turut disertai seramai 17 tenaga pengajar dikalangan guru Pendidikan Islam, j-QAF dan guru Fardhu Ain serta 30 orang pelajar tahun 6 dari sekolah terbabit.

Menurut Ustaz Kamaruddin Mohammad guru Pendidikan Islam SK Abang Abdul Kadir Betong, program tersebut merupakan Projek Perintis yang dirangka khas bagi melibatkan murid-murid tahun 6 di sekolah berkenaan dengan mengajak mereka untuk sama-sama berziarah kerumah guru-guru serta beberapa buah rumah penduduk kampung di sekitar Kampung Melayu Betong sambil mereka bersalawat.

Selain itu, program ini dapat merapatkan Ukhuwah serta memupuk perpaduan dikalangan guru-guru, penduduk kampung dan pelajar-pelajar yang terlibat.

Kamaruddin berkata jika diberi peluang dan program ini mendapat sambutan, mereka katanya akan berusaha untuk meneruskan aktiviti seumpama ini lagi. Apa yang dapat dilihat katanya setakat ini, adalah sesuatu yang diluar dugaan dengan sambutan yang benar-benar hebat diberikan oleh penduduk kampung di Betong ini.

Aktiviti yang dijalankan dalam program tersebut ialah bacaan Salawat, Doa Selamat dan Doa Ziarah. Sambil itu penduduk yang terlibat dalam program tersebut menghidangkan jamuan sebagai sajian pada akhir aktiviti tersebut.

Pada majlis yang sama Tuan Haji Abang Taha bin Abang Bujang seorang penduduk kampung Masjid Betong, merasa amat bertuah kerana rombongan marhaban tersebut sudi menyenaraikan rumah beliau sebagai salah satu tempat yang menjadi kunjungan rombongan tersebut.

Beliau yang begitu teruja dengan kunjungan tersebut mengharapkan program seumpama itu akan dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang dan beliau sekali lagi menyatakan hasrat kesudian beliau menerima kunjungan sekali lagi jika diberi peluang berbuat demikian pada tahun-tahun yang akan datang. Walaupun beliau bukan dikalangan kakitangan sekolah berkenaan tetapi beliau sentiasa memberi kerjasama jika diperlukan dan menggalakkan program seumpama itu diteruskan dari semasa ke semasa.

Haji Abang Taha juga berkesempatan menyampaikan hamper sebagai sumbangan dan penghargaan terima kasih diatas kesudian rombongan tersebut berkunjung ke rumah beliau kepada Ustaz Kamaruddin pada akhir majlis dirumah beliau sebelum rombongan tersebut berkunjung kerumah seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan