31 Oktober 2010

MUNGGU LALANG DAN SMK ST AUGUSTINE JUARA FUTSAL 1 BELIA 1 MALAYSIA PARLIMEN P.204 BETONG

24 Oktober 2010

BETONG. Pasukan Munggu Lalang daripada Zon Betong muncul juara kategori lelaki pertandingan Futsal 1 Belia 1 Malaysia Parlimen P.204 Betong setelah menewaskan pasukan Sir’ Rem Bunk yang mewakili Zon Tuie pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Tan Sri Datuk amar Stephen Kalong Ningkan Betong semalam

Pasukan yang mewakili Zon Betong itu muncul juara setelah menewaskan lawan dengan jaringan 4 – 2 menerusi jaringan penyerang berbakat Maulana Omar(2 jaringan) dan Abdul Kadir (2 jaringan) manakala Mohd Hafiz (1 jaringan dan Zufizan (1 jaringan) menjaringkan gol untuk pasukan Sir’ Rem Bunk.

Sementara pasukan SMK St Augustine dari Zon Betong pula muncul juara kategori wanita setelah menewaskan pasukan Queen KL FC yang mewakili Zon Debak pada satu lagi slot perlawanan akhir pertandingan berkenaan.

Penyerang sensasi SMK St Augustine Lengging anak Philip menjaringkan 5 gol dan Norashila Mohamad menjaringkan 1 gol ketika membenamkan pasukan Queen KL FC dengan jaringan 6 – 1. Gol saguhati lawan pula telah dijaringkan oleh Freda Robert.

Kemenangan tersebut telah memberikan pasukan juara iaitu pasukan Munggu Lalang dan pasukan SMK St Augustine membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM 400.00 berserta piala manakala naib juara pasukan Sir’ Rem Bunk dan pasukan Queen KL FC pula membawa pulang hadiah wang tunai RM 300.00 dan piala.

Sebanyak 11 pasukan kategori lelaki telah menyertai pertandingan berkenaan dan hanya 2 penyertaan bagi kategori wanita setelah tujuh zon daripada parlimen P.204 Betong mengakhiri pemilihan untuk mewakili Parlimen P.204 Betong ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Putrajaya pada 16 hingga 19 Disember tahun ini.

Antara Zon dalam Parlimen P.204 Betong ialah Zon 1 kawasan Tuie, Zon 2 kawasan Debak, Zon 3 Kawasan Sebemban, Zon 4 kawasan Spaoh, Zon 5 kawasan Penebak, Zon 6 kawasan Pelikoi dan Zon 7 kawasan Betong.

Sebanyak 60 lebih pasukan telah menyertai pasukan di peringkat zon telah bertanding untuk merebut kemenangan dan mengisi slot pertandingan akhir berkenaan.

Terdahulu Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Encik Mohamad Salihin bin Haji Kachon telah mewakili Yang Berhormat Datuk Seri Douglas Uggah Embas merasmikan pertandingan Futsal tersebut yang telah dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong

Berucap pada perasmian tersebut Salihin menyeru kepada pemain yang terpilih mewakili Parlimen P.204 Betong agar sentiasa bersedia bagi menyertai kejohanan berkenaan nanti.

Menurut beliau sebanyak 222 parimen di Malaysia termasuk 31 parlimen di Sarawak akan menyertai kejohanan tersebut dengan 444 pasukan terlibat dan 4440 penyertaan pemain dalam kedua-dua kategori lelaki dan perempuan.

Salihin juga menyampaikan hadiah kepada semua pemenang kejohanan berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong Merawi Ais, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Betong Mandau Anggan dan Guru Besar SK Mangut Sufian bin Omar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan