31 Oktober 2010

PROGRAM ANAK ANGKAT MERAPATKAN PERTALIAN KELUARGA ANTARA PENDUDUK KAMPUNG DAN UNIVERSITI.

17 Oktober 2010

BETONG. Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Sarawak (UiTM) telah menganjurkan program Menjana Minda Usahawan Desa kepada seramai 36 orang pelajar universiti berkenaan yang telah diadakan di Kampung Melayu Betong.

Menurut Wan Md Hamidi bin Wan Ahmed selaku pengerusi program berkenaan, program tersebut telah diadakan bermula pada 14 hingga 17 Oktober 2010 telah mendapat kendalian Encik Ahmad Faizal bin Mahdi Pensyarah di Universiti berkenaan. Antara objektif program berkenaan ialah mendekati dan memahami minda usahawan dari desa serta mengkaji keberkesanan sistem perusahaan melalui kaedah yang digunakan di Desa serta memberi dorongan dan sokongan terhadap penyertaan pelajar daripada universiti berkenaan dalam pendekatan usahawan di desa berkenaan.

“Pendekatan yang lebih penting dalam program ini ialah semua pelajar terlibat telah ditempatkan dirumah penduduk kampung Melayu Betong dimana mereka turut menjadi anak angkat kepada penduduk-penduduk disini. Sebanyak 18 buah keluarga telah menjadi keluarga angkat kepada kami dengan seramai 2 orang untuk sebuah keluarga”.

“Antara aktiviti yang turut dijalankan dalam program tersebut ialah Lawatan ke Ladang Bersepadu Layar Betong, Ceramah Motivasi di Pejabat Residen Betong yang telah dikendalikan oleh Pegawai Pertanian Betong, Sesi Motivasi bersama pelajar lepasan UPSR SK Abang Abdul Kadir Betong, Lawatan ke Pekan Saratok dan Senamrobik bersama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Betong”. Tambah Hamidi.

Pada Majlis penutupan program berkenaan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit Penghulu Kampung Melayu Betong yang juga turut mengambil 2 orang daripada pelajar berkenaan menjadi anak angkat beliau telah merasmikan majlis yang telah dilangsungkan di Dewan Al Husna Masjid Jamek Betong.

Berucap dalam majlis tersebut, beliau merasa terharu di atas pemilihan Kampung Melayu Betong sebagai tempat pihak universiti berkenaan melaksanakan program berkenaan menurut beliau.

“Walaupun ini bukan pertama kali pihak kami menerima kunjungan dan menjayakan program seperti ini (anak angkat) namun setiap kali berakhirnya program seumpama ini ianya pasti membuahkan hasil yang membanggakan dan sentiasa mendapat kerjasama daripada penduduk kampung”.

“Kemesraan diantara pelajar dan keluarga angkat mereka selama berada di rumah keluarga angkat mereka diharap dapat dijadikan sebagai perangsang dalam mereka melalui pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan dalam hidup anda semua”.

“Saya berharap agar program kali ini berjaya dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar yang terbabit dan hasil dapatan daripada program dapat digunakan dalam menghadapi ujian selepas ini nanti. Bukan hanya untuk berseronok tetapi lebih bermakna jika dapat dipraktikkan dalam mengharungi masa akan datang”. Tambah Zawawie.

Antara peserta yang terlibat dalam program anak angkat tersebut ialah 4 buah keluarga daripada Kampung Baru Hulu, 5 buah keluarga daripada Kampung Baru Hilir, 5 buah keluarga daripada kampung Tengah, 3 buah daripada kampung Hilir dan sebuah keluarga daripada kampung Masjid Betong.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Wan Ahmed bin Wan Chee Ketua Kampung Baru Hulu Betong, Haji Mohidie bin Haji Yusuf Ketua Kampung Baru Hilir Betong, Segara Dukari Ketua Kampung Hilir Betong, Haji Abang Hussin bin Haji Abang Mahadi Ketua Kampung Tengah Betong serta keluarga-keluarga angkat yang terbabit.

Pada akhir majlis berkenaan wakli pihak universiti juga turut menyampaikan cenderamata kepada semua keluarga angkat yang terbabit sebelum mereka berangkat balik ke universiti.



Tamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan