10 Julai 2010

500 WARGA PENDIDIK RAIKAN SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT BAHAGIAN BETONG 2010

RASMI.. Majlis memotong Kek Hari Guru


Penyerahan Cenderamata oleh En. Mahli kepada YB Jelaing


Tahniah!!.. En. Sigat Sang menerima Anugerah Khas Guru 2010

BETONG. “Sejarah pendidikan di Bahagian Betong yang dahulunya dikenali sebagai Daerah Kalaka Saribas sememangnya amat dikenali dan diantara kawasan yang terawal memiliki kemudahan persekolahan di Negeri Sarawak. Perkembangan pendidikan di Daerah ini telah bermula sejak penubuhan SMK St Augustine di Betong pada tahun 1920 dan kemudian di ikuti dengan SRK St Peter Saratok yang telah ditubuhkan pada 25 Oktober 1925. Ramai mereka telah berjaya dan telah berjaya menjadi pemimpin negeri dan negara kita Malaysia”. Menurut YB Tuan Jelaing anak Mersat, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap ahli Parlimen P.205 Saratok ketika merasmikan majlis Hari Guru Peringkat Bahagian Betong di SMK Saratok hari ini.

“Sesungguhnya kejayaan ini membuktikan bahawa pelajaran telah membawa perubahan yang besar kepada Bahagian Betong ini. Jelas diakui bahawa pelajaran telah membuka minda seseorang untuk menerima segala perubahan. Yang nyata setiap perubahan itu pasti berlaku dan dalam masa yang sama pelajaranlah yang banyak membantu kita membuat persediaan bagi menghadapi kesan-kesan yang dibawa perubahan tersebut namun masih terdapat segelintir orang yang takut kepada perubahan. Ini adalah kerana orang-orang tersebut tidak pasti yang perlu dilakukan bagi menghadapi perubahan, keadaan inilah yang patut kita elakkan dan pada pendapat saya guru-gurulah yang memberi keyakinan kepada murid-murid pada ibubapa serta warga sekolah”.

“Perubahan yang akan datang adalah semakin mencabar dan penuh dengan ketidak ketentuan. Bagi menghadapi perubahan ini kerajaan telah menggariskan beberapa rancangan dan program besar. Ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan yang berpendapatan tinggi pada tahun 2020. YAB Perdana Menteri telah mengumum dan melaksanakan Gagasan satu Malaysia. Serentak dengan itu bagi mencorak pembangunan Negara 4 tiang seri Utama telah dibentuk iaitu National Key Result Area (NKRA), Government Transformation Program(GTP), Modul Ekonomi Baru dan RMK-10 yang dibentang pada Jun 2010 yang lalu.

“Kita harus bekerja dengan lebih keras kerana peningkatan terhadap pelajaran adalah sangat kririkal daripada peningkatan kepada daya saing tenaga kerja. Bagi memenuhi kehendak tersebut kerajaan telah mengambil langkah holistik untuk memperkukuhkan sistem pendidikan dan latihan bermula dari peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat pengajian tinggi.

“ Kerajaan akan menyediakan infrastruktur pengajaran terbaik dan mempastikan kualiti guru mencapai tahap yang sewajarnya”. Tambah beliau.

Majlis yang dianjurkan bersama PPD Betong dan PPD Saratok merupakan kesinambungan daripada Hari Guru yang diadakan pada 16 Mei setiap tahun. Dan para pendidik diBahagian Betong tidak ketinggalan untuk meraikan hari berkenaan. Dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa, amat bertepatan dengan program yang dilaksanakan pada hari ini. Berbagai anugerah telah diberikan kepada mereka yang telah menyumbangkan pengikhtirafan diperingkat jabatan mahupun dalam bidang kokurikulum dan aktiviti luar.

Majlis perasmian yang bermula jam 9 pagi itu turut disempurnakan dengan menyelitkan acara Memotong Kek Hari Guru yang telah disempurnakan bersama kenamaan dan pengerusi penganjur serta pengerusi pengelola.

Sebanyak 39 anugerah telah diberikan kepada sekolah Kebangsaan di daerah Saratok manakala 30 anugerah kepada sekolah kebangsaan di daerah Betong. Dimana anugerah tersebut adalah satu penghargaan kecemerlangan sekolah di atas pencapaian yang menggalakkan di peringkat UPSR dan bidang kokurikulum.

Penghargaan untuk guru turut diberikan bagi memberi penghargaan kepada sumbangan para pendidik yang telah berusaha dalam menjayakan kokurikulum dan telah menghasilkan kejayaan diperingkat bahagian, Negeri mahupun Kebangsaan.

Anugerah Khas Guru telah diberikan kepada Encik Sigat anak Sang daripada SMK Datuk Patinggi Kedit Betong.

Turut diraikan dalam majlis tersebut ialah guru-guru yang telah dan akan bersara pada tahun 2010. Seramai 11 orang yang telah dijemput 3 daripadanya telah bersara dan selebihnya 8 orang yang akan bersara dalam tahun ini.

Kesemua anugerah dan penghargaan telah disampaikan oleh YB Jelaing dalam majlis tersebut.

Penyampaian Program Dermasiswa BAKTI kepada 15 pelajar dari 2008 – 2010 turut disampaikan. Sumbangan isteri-isteri menteri berjumlah RM 600.00 seorang telah disampaikan oleh Puan Catherine Cheng.

Seramai 500 orang guru dan warga pendidik telah hadir untuk sama-sama meraikan majlis berkenaan. Memandangkan tempat yang terhad, jawatankuasa pengelola majlis berkenaan hanya dapat menjemput dan menetapkan hanya 3 orang sahaja yang mewakili setiap Sekolah kebangsaan dan 4 orang bagi Sekolah Menengah.

Dengan perancangan yang teliti diatur pihak pengelola, perjalanan majlis berjalan dengan lancar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan