16 Julai 2010

PELAJAR TERIMA SUMBANGAN WANG KWAPM

JAMALI BERUCAP DALAM MAJLIS PENYERAHAN KWAPM 2010


SEBAHAGIAN IBUBAPA YANG HADIR DALAM MAJLIS TERSEBUT

DEBAK. 13 Julai 2010. Seramai 91 pelajar SK Muton dalam Daerah Debak telah menerima wang Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Mereka terdiri daripada pelajar tahun 2 hingga tahun 6 yang belajar di sekolah berkenaan.

Majlis yang berlangsung bertempat di Makmal Komputer SK Muton telah dihadiri oleh semua ibubapa pelajar yang terlibat dalam penyerahan wang tersebut. Mereka telah menerima sejumlah RM 200.00 untuk seorang pelajar.

Terdahulu ketika berucap dalam majlis berkenaan Jamali bin Seman Guru Besar sekolah berkenaan telah menjelaskan kepada semua yang hadir supaya menggunakan wang tersebut untuk kegunaan anak-anak mereka bagi membeli peralatan dan bahan persekolahan mereka.

“Dengan pemberian bantuan wang persekolahan ini saya berharap kepada semua para ibubapa yang hadir agar menggunakan peluang ini dengan sebaiknya. Saya tidak mahu melihat anak-anak tuan/puan tidak mempunyai alatan belajar seperti pensil, pemadam dan buku tulis. Pakaian yang comot, tidak berkasut. Inilah gunanya kerajaan memberi bantuan kepada anak-anak anda semua. Bukan untuk membeli barang yang tidak berfaedah tetapi untuk kegunaan anak-anak tuan/puan semua. Mungkin ianya tidak mencukupi, tetapi memadai untuk digunakan membeli peralatan anak-anak tuan dan membantu mengurangkan beban tuan/puan”. Jelas Jamali dalam ucapan beliau.

“Saya mahu tuan/puan sama-sama memanfaatkan sumbangan yang diberikan walaupun jauh di pedalaman tetapi kita tidak tercicir daripada bantuan kerajaan. Saya mahu melihat anak-anak tuan/puan seperti anak-anak dibandar nampak kemas dan segak. Jika anak-anak kita sentiasa kemas dan bersih mereka akan sentiasa bersemangat untuk belajar. Sanggupkah tuan/puan semua melihat anak-anak anda selekeh, tidak bermaya, berbau dan tidak terurus?”.

“Kami pihak sekolah akan sentiasa memberi kerjasama kepada ibubapa semua dan akan berusaha memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak tuan/puan semua. Kerajaan juga amat perihatin kepada kita dan telah memberi bantuan dan sumbangan bagi menyediakan prasarana yang sempurna untuk kemudahan kita semua. Ianya bukan untuk pihak sekolah sahaja tetapi juga untuk tuan/puan. Untuk anak-anak kita semua. Maka kita seharusnya berterima kasih kepada mereka yang telah memberi bantuan seperti pada hari ini”. Tegas Jamali.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Encik Dangiu anak Mamek, Penolong Kanan HEM Encik Bujang @ Karim bin Ganti dan Penolong Kanan Kokurikulum Encik Mahmud bin Hasim.

Bagi memudahkan penyerahan wang tersebut semua guru kelas telah terlibat sama dalam menjayakan majlis berkenaan. Mereka telah ditugaskan membahagikan wang tersebut kepada para ibubapa pelajar yang terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan