30 Jun 2010

“MAJLIS FORUM PERDANA” UNTUK MASYARAKAT ISLAM DI BETONG

Fokus...ahli panel dalam forum perdana berkenaan

Khusyuk... sebahagian jemputan yang hadir dalam majlis berkenaan

BETONG. 30 Jun 2010.(Rabu). Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Betong dan Lembaga Amanah Melayu Betong telah bergabung sama menganjurkan Majlis Forum Perdana. Majlis yang telah dirancang dilangsungkan di Perkarangan Masjid Jamek Betong pada malam tadi.



Dengan tajuk “Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah” telah menjadi tajuk perbincangan pada malam itu dimana panel jemputan yang amat berpengalaman telah memberikan satu pengisian yang mendalam serta impak yang positif kepada semua yang hadir pada malam itu.


Majlis yang berlangsung selepas solat Isya’ telah dihadiri seramai lebih 500 orang penduduk kampung Melayu Betong dan beberapa penduduk kampung berdekatan serta jemputan-jemputan khas dari jabatan-jabatan kerajaan.


Ustaz Affendi bin Ismail pegawai daripada Jabatan Agama Islam Sarawak Betong telah mempengerusikan forum berkenaan. Dua orang panel jemputan yang dijemput khas daripada Jabatan Agama Islam Sarawak. Alfadzil Ustaz Haji Osman bin Haji Ibrahim pegawai daripada jabatan Agama Islam Sarawak Sibu dan Ustaz Abang Burhanuddin bin Haji Abang Ahmad Masunie pegawai daripada Jabatan Agama Islam Sarawak Kuching.


Kedua-dua mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam mengendalikan majlis seumpama itu dan seringkali menjadi ahli panel jemputan dalam majlis keagamaan di sekitar negeri Sarawak.


Terdahulu Encik Abdul Rahman bin Ismail, setiausaha jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong ketika ditemui memberitahu bahawa program itu merupakan salah satu program yang telah dirancang dalam takwim pengurusan Masjid Jamek Betong. Ia juga bertujuan bagi mengetengahkan kepada masyarakat Islam di kawasan Betong akan nilai-nilai keislaman dikalangan penduduk kampung.


“Dengan bantuan dan sokongan pihak yang terlibat serta masyarakat islam di kawasan Betong ini Program ini telah berjaya kita laksanakan dengan kehadiran yang amat menggalakkan dikalangan penduduk kampung Betong dan saya berharap pada masa-masa yang akan datang kita bercadang untuk mengadakan majlis seumpama ini lagi”.


“Dahulu kita pernah mengadakan majlis seumpama ini di dalam Dewan Masjid dan dengan kehadiran yang menggalakkan dikalangan penduduk kampung maka ruang yang dipenuhi agak sesak tetapi kali ini kita telah mengadakan majlis di perkarangan Masjid bagi ruangan yang lebih selesa kepada semua yang hadir. Alhamdulillah kita sekali lagi telah berjaya”. Kata Abdul Rahman yang ditemui selepas majlis.


Majlis yang berakhir sekitar jam 10.30 malam itu berlangsung dengan jayanya.

2 ulasan: