30 November 2010

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT BETONG BERSEDIA TAMBAH AHLI BRIGED KEBAJIKAN PERDANA(BKP)

PENGHARGAAN... Shamat(kiri) menyampaikan cenderamata kepada Anthony(tengah) sambil disaksikan oleh Friday


29 November 2010

BETONG. “Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong(JKM) bersedia menambah keanggotaan Ahli Briged Kebajikan Perdana(BKP) sebagai langkah awal menghadapi bencana”. Menurut Encik Shamat bin Kassim, wakil Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Betong ketika memberi ucapan aluan pada Taklimat Pengurusan Bencana Kepada Ketua Masyarakat dan Ahli Briged Kebajikan Perdana(BKP) yang telah diadakan di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong semalam.

Taklimat tersebut telah dihadiri seramai 43 peserta yang terdiri daripada ahli BKP, wakil-wakil Jabatan serta Ketua-ketua Masyarakat di Bahagian Betong yang turut menyertai Briged berkenaan.

Dengan objektif bahawa penubuhan BKP yang merupakan badan sukarela yang berperanan membantu JKM dalam mengendalikan sebarang bantuan kepada mangsa bencana semasa bencana menimpa serta sebagai persediaan awal menghadapi bencana.

Hadir merasmi majlis penutupan taklimat berkenaan, Dr. Anthony Valentine Laiseh, Timbalan Residen Bahagian Betong yang mewakili Residen Bahagian Betong menyeru kepada semua peserta dikalangan Ketua-ketua Masyarakat, penduduk kampung serta NGO yang terlibat agar turut bersedia dalam menghadapi sebarang bencana serta musibah yang melanda di kawasan yang terbabit.

Menurut Anthony, BKP ditubuhkan sebagai usaha JKM untuk menggemblengkan semua pihak di peringkat akar umbi khususnya masyarakat setempat dalam usaha menangani isu-isu berkaitan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat. Penubuhan BKP ini akan mempertingkatkan lagi jaringan kerja sektor-sektor yang bertanggungjawab dalam urusan kerja-kerja kemasyarakatan termasuk Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan orang perseorangan selaras dengan konsep “Kebajikan Tanggungjawab Bersama”. Melalui BKP semua program dan aktiviti di peringkat akar umbi dapat digerakkan secara bersepadu bagi menangani bencana dan bersiap sedia dengan apa jua musibah serta isu-isu berkaitan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat di peringkat yang lebih awal.

Pada perkembangan yang sama Anthony menjelaskan, antara musibah yang mungkin berlaku ialah banjir umpamanya yang melibatkan kawasan-kawasan yang rendah, dengan penubuhan BKP dan penglibatan ketua-ketua masyarakat dikawasan terbabit akan lebih memudahkan urusan penyediaan bantuan dan mereka juga berperanan menjaga kebajikan kepada mangsa bencana tersebut.

Program sehari tersebut yang telah dikendalikan oleh pegawai yang telah diundang khas daripada JKM Negeri Sarawak dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi memberi penerangan dan tatacara pengurusan bencana, peranan ahli BKP dalam pengurusan bencana dan persediaan yang perlu semasa menghadapi musibah yang sukar untuk diramalkan.

Anthony turut menyampaikan sijil kepada peserta yang terlibat serta menyampaikan cenderamata kepada penceramah pada akhir sesi tersebut.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Encik Friday Belik, Pegawai Daerah Betong, Ketua-ketua Jabatan serta ketua-ketua masyarakat yang dijemput dalam majlis tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan