30 November 2010

KEMBARA TAKBIR MENGUKUHKAN PERPADUAN MENGERAT PERSAUDARAAN

17 November 2010

BETONG. Sambutan Aidil Adha penuh bermakna bagi masyarakat Islam di sekitar Kampung Melayu Betong dengan pelaksanaan program yang telah dirangka oleh pihak SK Abang Abdul Kadir Betong yang melibatkan penduduk Kampung Melayu Betong dengan pengelolaan Program Kembara Takbir sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2010 semalam.

Program tersebut telah dirancang sepenuhnya oleh Panitia Pendidikan Islam SK Abang Abdul Kadir Betong dengan kerjasama Pengurusan Masjid Jamek Betong dan dibantu bersama oleh guru Kelas Fardu Ain dan Kifayah (KAFA) sekolah berkenaan yang bertungkus lumus merencanakan aktiviti tersebut berjalan dengan jayanya disamping mengajak penduduk kampung turut sama meraikan hari raya Aidiladha pada tahun ini.

Seramai 80 orang pelajar yang terdiri daripada murid Tahun Empat hingga Enam serta melibatkan seramai 25 orang pemimpin Takbir dikalangan guru-guru dan penduduk kampung telah menjayakan program tersebut yang dijalankan pada malam raya bermula jam 8.00 hingga 10.30 malam. Disamping sebanyak 60 buah rumah penduduk kampung Melayu termasuk kawasan perumahan telah diziarahi. Mereka turut bertakbir beramai-ramai.

Antara kampung yang terlibat dalam pelaksanaan aktiviti tersebut ialah Kampung Masjid Betong, Kampung Tengah Betong, Kampung Hilir Betong, Kampung Baru Hulu Betong, Kampung Baru Hilir Betong dan beberapa buah rumah di kawasan perumahan di sekitar Betong.

“Dengan sambutan yang amat menggalakkan begini, kita akan meneruskan aktiviti seumpama ini pada masa-masa yang akan datang. Bukan sahaja pada Hari Raya Aidiladha malahan Hari Raya Aidilfitri juga akan diteruskan”. Menurut Abang Udai bin Abang Achang, Guru Besar SK Abang Abdul Kadir Betong.

“ Kita amat kagum dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dengan penyertaan penduduk kampung yang telah bekerjasama dalam meneruskan aktiviti yang telah dirancang. Program begini bukannya baru bagi kita disini malahan telah sekian lama telah dilupakan memandangkan kekurangan tenaga untuk menggerakkan program seumpama ini dan bagi mengaktifkan semula aktiviti tersebut jawatankuasa pengelola telah bertungkus lumus meneruskan usaha murni tersebut”.

Amalan yang biasa dilakukan ialah kita berziarah dari rumah kerumah pada hari raya dan itulah yang telah diterapkan dalam program yang dijalankan sambil rombongan bertakbir beramai-ramai. Dalam peredaran zaman yang kian berubah, konsep dan amalan umat Islam ketika merayakan sambutan perayaan hari raya tidak akan lupus dengan pendedahan yang berterusan dan diamalkan dari semasa ke semasa. Perpaduan kaum turut dapat dijalinkan.

“Itulah usaha kita dan dengan niat yang murni, program kita telah berjaya dilaksanakan”. Tambah Abang Udai yang juga pengerusi pengelola program tersebut ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Penutupan program telah diadakan di Masjid Jamek Betong dengan semua peserta turut berkumpul sambil menikmati juadah yang telah disediakan oleh penduduk-penduduk kampung turut mengambil bahagian dalam program tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Imam Masjid Jamek Betong, Abang Dalhan bin Abang Yaman, Ketua Kampung Baru Hulu Betong, Wan Ahmed bin Wan Chee, Ketua Kampung Hilir Betong Segara bin Dukari, Pengerusi Pengurusan Masjid Jamek Betong Kon Spawi bin Yahu, Imam-Imam Surau, serta penduduk kampung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan