30 November 2010

PERPUSTAKAAN MD BETONG ANJUR PERTANDINGAN MENGEJA UNTUK KANAK-KANAK TABIKA

05 November 2010

BETONG. Adik Emelia Riviana Bunai kanak-kanak dari Tabika Betong telah dinobatkan sebagai johan pada pertandingan Mengeja anjuran Perpustakaan Awam Majlis Daerah Betong(MDB) hari ini.

Tempat kedua menjadi milik adik Syasya Azzahrah binti Shamsubaharum daripada Tabika Kampung Tengah Betong. manakala tempat ketiga berkongsi milik adik Asha Claire Nawie ak Allen dan Adik Decoline Dinggu ak Philip yang masing-masing daripada Tabika St Augustine Betong.

Program yang berkonsepkan mengeja dan menulis tersebut telah dilangsungkan di Perpustakaan Awam Majlis Daerah Betong yang turut disertai oleh lima buah Tabika yang melibatkan Tabika Kemas kampung Tengah Betong, Tabika St Augustine Betong, Tabika Kampung Mangut Spaoh, Tabika Kampung Buda Spaoh dan Tabika Betong (SJK Chung Hua Betong).

Penyertaan seramai 25 orang kanak-kanak yang menyenaraikan lima orang daripada setiap Tabika berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan Tabika terbabit telah menjadikan program tersebut berjalan dengan jayanya.

Menurut penganjur program tersebut, tujuan pertandingan seumpama itu diadakan adalah bagi mendedahkan kanak-kanak terbabit untuk mempelajari kaedah mengeja, menulis dan membaca dengan lancar.

Kaedah pendengaran dan kepekaan dalam mendengar sesuatu dan mengeja serta menulis perkataan adalah merupakan asas membaca dengan lancar dan pendedahan awal sebegini seharusnya dipupuk seawal usia mereka lagi.

Aktiviti sebegini sememangnya telah dijalankan oleh Perpustakaan terbabit dalam usaha menyemai sikap suka membaca dikalangan kanak-kanak. Terdahulu mereka telah menganjurkan aktiviti yang sama kepada sekolah-sekolah rendah dikawasan wilayah terbabit. Program tersebut adalah kesinambungan program sempena Hari membaca 2010 yang turut dijayakan oleh perpustakaan berkenaan.

Cik Dayang Jaleha bt Hj Abang Mahdi, guru Tabika Kemas Kampung Tengah Betong ketika ditemui berkata, jika diberi peluang mereka akan sentiasa memberi kerjasama dalam usaha menggalakkan kanak-kanak di taman bimbingan tersebut berkecimpung dalam aktiviti seumpama itu dan memberi pendedahan kepada mereka untuk terus mempelajari kaedah yang dapat menambahbaik pembelajaran kanak-kanak tersebut.

Menurut beliau lagi, kanak-kanak yang belajar ditaman bimbingan tersebut sentiasa diberi perangsang agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembelajaran yang serba canggih ini. Penglibatan dalam berbagai aktiviti lain juga terus mereka sertai agar kanak-kanak tersebut mendapat manfaat daripada pertandingan yang disertai.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Roslina Blumbong, Pembantu Perpustakaan Awam MDB serta para ibubapa kanak—kanak terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan