13 Disember 2010

KEMBARA SEMARAK HIJRAH 1432KM BINTULU/KUCHING/BINTULU MEMBENTUK PERPADUAN DAN MENGERATKAN PERSAUDARAAN


UNTUK ALBUM..  Rombongan bergambar bersama ajk Masjid Jamek Betong sebagai kenangan

30 November 2010

BETONG. Melintasi perjalanan sejauh 1432KM dari Bintulu ke Kuching seterusnya merentasi 6 Bahagian dinegeri sarawak dengan menyusuri kawasan pesisir ke daerah-daerah kecil negeri sarawak sebelum kembali semula ke Bintulu merupakan satu kenangan yang amat berharga kepada peserta Kembara Semarak Hijrah 1432KM sempena sambutan Maal Hijrah 1432H/2010M peringkat Negeri Sarawak yang akan berlangsung di Bintulu pada 07 Disember 2010 nanti.

Bintulu Bikers Community (BBC) kelab Motosikal berkuasa tinggi telah menyahut seruan Jabatan Agama Islam Sarawak(JAIS) bahagian Bintulu untuk menjadi ‘Duta Maal Hijrah’ pada tahun ini yang akan berlangsung di Bahagian tersebut sambil menjemput rakyat negeri Sarawak untuk sama-sama menghadiri sambutan perayaan itu nanti.

Menurut Presiden kelab berkenaan Ahmad Castello, ini adalah penganjuran pertama yang melibatkan kelab seumpama itu dimana sebanyak 30 buah motosikal berkuasa tinggi yang terdiri daripada ahli kelab berkenaan telah menyertai konvoi Kembara tersebut. Selain itu, penglibatan JAIS Bintulu, Mahkamah Syariah, Jabatan Pertahanan Awam(JPAM) dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BDA)dalam penganjuran bersama program berkenaan merancakkan lagi program tersebut.

Penyertaan ahli BBC pada Kembara ini adalah sebagai melebarkan jaringan pengenalan kelab tersebut kepada umum serta kerjasama berpasukan daripada semua ahli dapat diserapkan dengan penglibatan berbagai bangsa dalam kelab tersebut yang turut sama menyertai kembara tersebut lebih memfokuskan kepada konsep Satu Malaysia, jelas Ahmad.


Justeru, kelab motosikal bukanlah sesuatu yang membuang masa dan merbahaya kerana penglibatan dalam program begini mampu memberi kesedaran kepada ahli yang terlibat dengan lawatan-lawatan ke rumah orang tua dan rumah anak yatim telah memberi keinsafan dalam diri peserta, tambah beliau.


Ahmad berkata demikian ketika rombongan Kembara tersebut singgah di Masjid Jamek, Betong dalam rangka perjalanan pulang setelah empat hari mengharungi perjalanan merentasi sebahagian kawasan Negeri Sarawak.


Rombongan tersebut turut disambut oleh ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Betong dimana pada majlis tersebut rombongan kembara tersebut telah menyampaikan cenderamata sebagai kenangan serta sumbangan berbentuk wang tunai daripada ahli kelab tersebut kepada Encik Abdul Rahman bin Ismail Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong.


Ahli kembara tersebut juga berkesempatan mengunjungi pejabat Residen Betong sebelum berangkat pulang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan