17 Mei 2010

SK MUTON DEBAK MENJAYAKAN SAMBUTAN HARI GURU


SELAMAT HARI GURU... para guru memotong kek Hari Guru sempena majlis tersebut.





TERIMA KASIH CIKGU... wakil murid dari setiap kelas memberi cenderahati kelas kepada Jamali

MAAFKAN KAMI CIKGU... murid-murid bersalaman sambil mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua guru mereka


Debak, 17 Mei 2010 (Isnin). SK Muton Debak telah mengadakan majlis sambutan Perayaan Hari Guru peringkat sekolah berkenaan hari ini.
Majlis ringkas tetapi penuh bermakna itu telah dimulakan dengan ucapan oleh Guru Besar Encik Jamali bin Seman dan beliau juga telah membaca teks perutusan Hari Guru oleh Menteri Pelajaran Malaysia. Terdahulu dalam ucapan dasarnya beliau menyeru semua guru-guru disekolah itu supaya sentiasa mengamalkan budaya kerja yang positif dan cemerlang di dalam melaksanakan tugasan harian sebagai seorang pendidik.

“ Terima kasih di atas usaha gigih semua guru dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah. Berfikiran positif dalam usaha menjayakan tranformasi diri dan meningkatkan penjanaan pendidikan berkualiti dan berkemampuan sebagaimana seruan perdana menteri”. Jelas beliau.

“Tujuan kita mengadakan majlis ini sebagai pendedahan kepada murid-murid maksud hari guru. Supaya murid-murid menghargai jasa guru yang selama ini telah mendidik mereka. Pelajar juga berpeluang untuk meluahkan perasaan, pengertian dan ungkapan melalui luahan yang mereka persembahkan dalam apa jua cara mereka sendiri”.

“bertepatan dengan tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ saya berharap sebagai 'role model’ guru akan terus bersemangat dan beriltizam dan memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan murid. Murid-murid pula hendaklah sentiasa memperkukuhkan disiplin dan jati diri dan menjadikan mereka golongan yang berhemah dan berpekerti mulia dan sentiasa mematuhi dan mendengar nasihat serta tunjuk ajar yang diberikan”. Tambah beliau.

Meneruskan majlis berkenaan, Encik Gayan anak Sango Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu juga telah membaca perutusan Hari Guru daripada Pengarah Pelajaran Malaysia bagi menyampaikan secara terus kepada semua guru dan pelajar.

Memetik ucapan beliau “Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi’.

“Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan. Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan Negara”

Majlis lebih bermakna dan berseri apabila acara memotong kek Hari Guru oleh semua guru turut diadakan. Terdahulu Jamali berkesempatan memberi cenderahati sebagai tanda terima kasih kepada semua guru-guru.

Murid-murid juga diberi ruang untuk menjayakan majlis ini apabila pelajar diberi kesempatan untuk membuat persembahan mengikut kelas masing-masing.

Suasana ceria bertukar hiba apabila murid-murid yang membuat persembahan menghayati pengertian sebenar pengorbanan insan yang bernama guru. Ada yang menangis sebak tidak kurang ada yang hanya tersengih.

Sebelum majlis berakhir, semua pelajar dijemput bersalaman dengan semua guru dan ada juga yang memberi cenderahati kepada guru-guru mereka.

Jamuan makan tengahari bersama guru turut diadakan pada akhir majlis berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan