13 Disember 2010

SRI HARTATI BINTI AHMAD DICARI UNTUK PENGESAHAN ANAK ANGKAT

BETONG. Sri Hartati binti Ahmad yang kali terakhir beralamat di Lubok Antu dipohon untuk tampil memberi pengesahan status anak beliau yang dilahirkan pada 13 tahun yang lalu di Klinik Lubok Antu pada tanggal 30 Jun 1997 yang diserahkan kepada Encik Nasir bin Hadami dan isteri beliau Nur’izzati binti Abdullah. Pada ketika itu Nasir bertugas di SMK Lubok Antu.

Menurut Nasir yang berasal dari Kampung Hilir Betong, Sarawak, beliau telah berusaha untuk mencari Hartati, ibu kandung anak beliau Nazarul Aizzat namun hingga kini masih belum dapat ditemui. Aizat yang akan memasuki Tingkatan Dua pada Januari 2011 masih memerlukan ibu kandung beliau tampil memberi pengesahan dan memberi bukti yang kukuh bagi memudahkan permohonan mendapatkan Kad Pengenalan.

Nasir ketika menghubungi penulis memohon dan berharap Sri Hartati dapat tampil dan menghubungi beliau di talian 019-4678089. Beliau yang kini bertugas di SMK Ulu Layar Betong masih memerlukan pengesahan Hartati walaupun anak beliau telah memiliki Sijil Kelahiran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Justeru, orang ramai yang mengenali Sri Hartati binti Ahmad diminta untuk memberitahu beliau tentang pencarian ini dan dapat menghubungi Nasir secepat mungkin.

WANITA PERLU MENGUASAI ILMU UNTUK PEMBANGUNAN DIRI DAN NEGARA


UNTUK KENANGAN... Rohani menyampaikan cenderamata kepada Hasidah


02 Disember 2010

BETONG. Wanita perlu melengkapkan dan menguasai ilmu untuk pembangunan Negara, serta perlu melengkapkan diri untuk Pembangunan diri dan keluarga kerana ianya amat penting dalam menangani cabaran dan tugasan seharian.

Kenyataan tersebut menurut Yang Berhormat Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) N7 Semariang ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2010 peringkat Parlimen P.204 Betong hari ini.

Menurut beliau, kerajaan amat perihatin dan sentiasa memberikan yang terbaik dan merancang berbagai program ilmu untuk wanita sertai sebagai mendidik mereka untuk terus meningkatkan pengetahuan yang berguna untuk pembangunan diri dan kemajuan keluarga.

Justeru, Hasidah menyeru kepada semua wanita agar melibatkan diri dalam apa jua program yang dirancang oleh kerajaan serta mampu mengharungi cabaran yang semakin meningkat di negara ini bagi mengelakkan berlakunya masalah-masalah seperti isu Kemiskinan yang melibatkan wanita di bandar dan luar bandar seperti ibu tunggal, Peningkatan kes keganasan juga melibatkan wanita serta wanita sentiasa terdedah dan lebih berisiko dijangkiti berbagai penyakit, tambah beliau.

Program yang bertemakan ‘1 Azam Wanita 1 Malaysia’ yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga(MPWK) P.204 Betong di adakan bertempat di Dewan Panglima Rentap Betong.

Pada perkembangan yang sama, seramai hampir 200 orang peserta telah menghadiri sesi ceramah yang melibatkan penduduk-penduduk sekitar Betong yang dilangsungkan sebelum majlis tersebut. Pengisian ceramah yang lebih mencakupi tajuk program pembangunan wanita pada masa kini.

Terdahulu, seramai 13 peserta telah menyertai pertandingan masakan yang telah dijalankan pada hari yang sama. Hasidah juga berkesempatan menyampaikan hadiah kepada pemenang dimana Hajah Dayang Jelita binti Abang Zaini telah dinobatkan sebagai johan manakala Puan Rakayah binti Saibi dan Puan Faridah binti Rajuna di tempat kedua dan ketiga.

Penglibatan Jabatan Kesihatan Betong dalam Kempen Derma Darah, Pameran Pembangunan bersama Kraftangan Betong dan Bengkel Jahitan Kemas Kampung Tengah Betong turut menyerikan sambutan Hari Wanita tersebut

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Cik Rohani binti Sejeli, PTS Pejabat Daerah Betong merangkap setiausaha MPWK P.204 Betong, Datin Grace, isteri Residen Bahagian Betong, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Masyarakat

















KEMBARA SEMARAK HIJRAH 1432KM BINTULU/KUCHING/BINTULU MEMBENTUK PERPADUAN DAN MENGERATKAN PERSAUDARAAN


UNTUK ALBUM..  Rombongan bergambar bersama ajk Masjid Jamek Betong sebagai kenangan

30 November 2010

BETONG. Melintasi perjalanan sejauh 1432KM dari Bintulu ke Kuching seterusnya merentasi 6 Bahagian dinegeri sarawak dengan menyusuri kawasan pesisir ke daerah-daerah kecil negeri sarawak sebelum kembali semula ke Bintulu merupakan satu kenangan yang amat berharga kepada peserta Kembara Semarak Hijrah 1432KM sempena sambutan Maal Hijrah 1432H/2010M peringkat Negeri Sarawak yang akan berlangsung di Bintulu pada 07 Disember 2010 nanti.

Bintulu Bikers Community (BBC) kelab Motosikal berkuasa tinggi telah menyahut seruan Jabatan Agama Islam Sarawak(JAIS) bahagian Bintulu untuk menjadi ‘Duta Maal Hijrah’ pada tahun ini yang akan berlangsung di Bahagian tersebut sambil menjemput rakyat negeri Sarawak untuk sama-sama menghadiri sambutan perayaan itu nanti.

Menurut Presiden kelab berkenaan Ahmad Castello, ini adalah penganjuran pertama yang melibatkan kelab seumpama itu dimana sebanyak 30 buah motosikal berkuasa tinggi yang terdiri daripada ahli kelab berkenaan telah menyertai konvoi Kembara tersebut. Selain itu, penglibatan JAIS Bintulu, Mahkamah Syariah, Jabatan Pertahanan Awam(JPAM) dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BDA)dalam penganjuran bersama program berkenaan merancakkan lagi program tersebut.

Penyertaan ahli BBC pada Kembara ini adalah sebagai melebarkan jaringan pengenalan kelab tersebut kepada umum serta kerjasama berpasukan daripada semua ahli dapat diserapkan dengan penglibatan berbagai bangsa dalam kelab tersebut yang turut sama menyertai kembara tersebut lebih memfokuskan kepada konsep Satu Malaysia, jelas Ahmad.


Justeru, kelab motosikal bukanlah sesuatu yang membuang masa dan merbahaya kerana penglibatan dalam program begini mampu memberi kesedaran kepada ahli yang terlibat dengan lawatan-lawatan ke rumah orang tua dan rumah anak yatim telah memberi keinsafan dalam diri peserta, tambah beliau.


Ahmad berkata demikian ketika rombongan Kembara tersebut singgah di Masjid Jamek, Betong dalam rangka perjalanan pulang setelah empat hari mengharungi perjalanan merentasi sebahagian kawasan Negeri Sarawak.


Rombongan tersebut turut disambut oleh ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Betong dimana pada majlis tersebut rombongan kembara tersebut telah menyampaikan cenderamata sebagai kenangan serta sumbangan berbentuk wang tunai daripada ahli kelab tersebut kepada Encik Abdul Rahman bin Ismail Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong.


Ahli kembara tersebut juga berkesempatan mengunjungi pejabat Residen Betong sebelum berangkat pulang.