31 Oktober 2010

200 KAKITANGAN RAIKAN MAJLIS PERPISAHAN PPD BETONG.

29 Oktober 2010

BETONG. “Sebagai seorang penjawat awam, yang paling penting ialah setiap tugasan yang dilaksanakan mestilah dilakukan dengan sempurna dan teratur serta tidak menangguhkan setiap kerja yang telah diamanahkan kepada kita. Anggaplah bahawa kita akan berpindah pada esok hari agar perpindahan kita tidak memberi kesan atau bebanan kepada orang yang bakal menerima tugas kita”. Menurut Mahli bin Rosli, PPD Betong.

Beliau berkata demikian ketika memberi amanat semasa Majlis Jamuan Teh sempena meraikan majlis perpisahaan beliau yang akan menyambung tugasan beliau juga sebagai PPD di Samarahan yang berkuatkuasa mulai 25 Oktober baru-baru ini.

Menurut Mahli, Integriti, amanah dan bertanggungjawab adalah kunci kejayaan seseorang dalam melaksanakan tugasan seharian dan yang penting semangat kerja berpasukan sentiasa menjadi amalan setiap masa.

Kejayaan sesuatu perkara adalah atas semangat kerjasama dan sikap bertolong bantu dalam mengendalikan perkara tersebut.

Mahli yang memegang jawatan sebagai PPD Betong bermula pada 01 Julai 2008 adalah seorang ketua jabatan yang komitmen dalam melaksanakan tugasan beliau serta amat serius dan sering menekankan kepentingan tugasan yang diamanahkan kepada semua staf.

Mahli seorang majikan yang mengambil berat akan kebajikan staf amat disenangi oleh semua kakitangan dibawah seliaan beliau. Keperihatinan beliau telah memberikan semangat kepada kakitangan beliau melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Usaha gigih beliau sepanjang 2 tahun mengendalikan 8 buah sekolah menengah dan 47 sekolah rendah di Daerah Betong dengan kejayaan demi kejayaan diperolehi berkat kerjasama yang telah diberikan pengetua-pengetua dan guru-guru besar serta masyarakat di Daerah berkenaan.

Beliau yang digantikan oleh seorang PPD yang baru Encik Samsuddin bin Abdul Rahman yang sebelum ini bertugas di Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Sarawak merupakan orang baru yang dilantik menjadi Pegawai Pelajaran Daerah.

Terdahulu majlis Jamuan Teh berkenaan telah diadakan di Dewan Terbuka PPD Betong turut dihadiri seramai 200 orang dikalangan staf PPD Betong, PPD saratok, Pengetua-pengetua dan guru-guru besar di Daerah Betong

Pada akhir majlis berkenaan turut diadakan majlis penyampaian cenderamata daripada staf PPD Betong, PPD Saratok serta wakil-wakli dari sekolah kepada Mahli sebagai kenangan dan tanda penghargaan kepada beliau.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Encik Daud bin Mohamad PPD Saratok, Encik Vevien Mujah Penolong PPD Betong serta kakitangan jabatan berkenaan.



Tamat

KURSUS PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU PRASEKOLAH MEMBERI PELUANG GURU-GURU MENDALAMI PROFESION.

29 Oktober 2010

BETONG. Seramai 56 orang guru prasekolah yang melibatkan 47 buah sekolah rendah di Daerah betong telah menghadiri Kursus Peningkatan Profesionalisme guru Prasekolah yang telah dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Betong baru-baru ini.

Penganjur kursus, Encik Yusof Anthony bin Ross, Penolong Penyelia Unit Pengurusan Sekolah PPD Betong ketika dihubungi, kursus tersebut adalah sebagai salah satu aktiviti yang dijalankan oleh Unit Pengurusan Sekolah PPD Betong bagi meningkatkan Sistem Pengajaran dan Pembelajaran yang dilaksanakan di sekolah-sekolah selepas ini.

Kursus yang berlangsung selama 2 hari tersebut telah diadakan di Victoria Inn Saratok. Kursus ini juga merupakan persediaan guru-guru prasekolah di Daerah Betong bagi menghadapi sesi persekolahan yang akan datang.

Pada kursus berkenaan banyak modul-modul pengajaran yang berkaitan telah diketengahkan oleh penceramah yang merupakan seorang Jurulatih Utama dalam bidang berkenaan yang begitu komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab dan beliau juga salah seorang dikalangan guru prasekolah di Daerah yang sama.

“Pihak kita memberi penekanan kepada sistem pembelajaran dan pengajaran yang berkesan bagi memberi ruang kepada guru kita untuk mendalami ilmu dalam bidang dan opsyen mereka. Oleh itu kami merancang untuk mengadakan kursus sebegini bagi mendedahkan guru-guru berkenaan tentang pelaksanaan yang berkesan dalam usaha itu”. Menurut Yusof.

“Selain itu, program seumpama ini dapat memberi ruang kepada guru-guru prasekolah untuk bertemu rakan-rakan sealiran dan bertukar-tukar pandangan dalam menguruskan kelas masing-masing. Ia juga dapat mengurangkan tekanan kepada mereka dalam melaksanakan tugasan harian”.

“Objektif jabatan melihat kemenjadian murid-murid prasekolah seterusnya agar tidak tergolong dalam pelajar yang akan dimasukkan ke kelas pemulihan Khas setelah mereka melangkah kekelas formal di Tahun satu nanti”. Tambah Yusof.

Unit Pengurusan Sekolah, PPD Betong telah bertanggungjawab merancang program berkenaan dan memastikan program tersebut berjalan dengan lancar dengan tajuk yang bersesuaian perlu diberi penelitian sebelum kursus tersebut dapat dilaksanakan dengan berjaya.

Pengalaman mengurus kursus yang bersesuaian dengan opsyen guru sebelum ini telah dijadikan panduan dalam mengendalikan kursus terbabit oleh unit berkenaan.

Dengan kerjasama semua guru yang terlibat kursus tersebut telah berjaya dilaksanakan dengan cukup berkesan kerana ianya dijalankan mengikut sistem pengajaran dalam modul standard prasekolah yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

Usaha kearah mencapai objektif Kementerian untuk menjadikan murid prasekolah menguasai 3M mampu dilaksanakan sekiranya komitmen guru-guru dan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan serta memenuhi modul Standard Kualiti Pendidikan Kebangsaan selepas ini.

Kemantapan Modul-modul yang berkaitan selaras dengan keperluan pendidikan prasekolah lebih memberi kesan yang positif dan penilaian yang dilaksanakan dengan mengadakan kursus seumpama ini dapat dilaksanakan.



Tamat

BEGEMPUNG KITAI MANSANG DALAM MAJLIS KESYUKURAN DAN PENGHARGAAN BAHAGIAN BETONG 2010.

27 Oktober 2010

BETONG. seramai 300 penduduk di sekitar Betong telah menghadiri majlis Kesyukuran dan Penghargaan Betong 2010 yang telah diadakan di perkarangan ruang lobi bangunan Pejabat Residen Bahagian Betong semalam.

Majlis yang bertemakan Begempung Kitai Mansang diadakan bertujuan menghargai jasa dan komitmen yang telah diberikan oleh semua yang terlibat dalam pelaksanaan berbagai program yang telah dijalankan di Betong sepanjang tahun 2010 amnya dan yang lebih bermakna ialah meraikan sambutan ke 70 tahun usia Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Anak Numpang, Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Menurut Jabu kepentingan Pendidikan perlu diberi keutamaan dalam usaha menjadikan kemajuan negara terus membangun amat penting dalam membentuk sahsiah kerana ianya perlu diamati bermula dibangku sekolah. Dengan adanya berpuluh-puluh buah sekolah rendah dan 13 buah sekolah menengah dikawasan Betong termasuk SM Vokasional dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong, kemajuan pendidikan akan terus dilaksanakan diBetong. Perancangan penubuhan Politeknik yang baru dalam RMK-10 merupakan usaha kerajaan Barisan nasional untuk menjadikan Betong sebuah gedung ilmu pada masa akan datang.

Kerajaan Barisan Nasional juga menurut Jabu sentiasa memberikan yang terbaik untuk rakyat. Ini terbukti dengan berbagai program pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan demi keselesaan rakyat. Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) telah diperluaskan merangkumi kawasan Betong/ Saratok bagi mentranformasikan kawasan luar Bandar dalam perancangan 10 tahun akan datang dengan pengiraan KPI pendapatan perkapita sesebuah keluarga sebanyak RM 1,200.00 apabila semua perancangan tersebut dapat dilaksanakan dengan berjaya.

Pembangunan kawasan terbabit juga akan diberikan mengikut keutamaan diantaranya ialah pembinaan loji perawatan air dengan menggunakan air sungai Krian bagi mengelakkan kekurangan air di kawasan Saratok tidak lama lagi menurut Jabu.

Kawasan Sessang/ Seblak Nyabor turut dibangunkan dengan Skim Penanaman Padi secara komersial dengan merancang pembinaan sistem saliran air yang mencukupi yang menggunakan teknologi moden turut dilaksanakan sebagaimana yang telah dibina di kawasan Lubok Nibong yang berhampiran dengan kawasan tersebut bagi membesarkan kawasan pengeluaran beras selepas ini.

Turut dilaksanakan dalam usaha kerajaan merancang pembasmian kemiskinan dikawasan luar bandar ialah Skim Penanaman Getah besar-besaran dalam usaha tersebut pihak berkuasa kemajuan pekebun kecil perusahaan getah (RISDA) telah mengembangkan penanaman getah seperti dikawasan Temudok Awik Saratok ketika ini.

Terbaru Negara China telah berhasrat untuk melabur penanaman getah secara besar-besaran di negeri ini walaubagaimanapun kerajaan negeri mahu mengkaji terlebih dahulu kepentingan kepada rakyat negeri ini secara keseluruhannya menerusi projek yang tersebut.

Dengan pembukaan semula Pusat Latihan Pertanian Bersepadu Layar(RTC) dan Pusat Sumber Pembangunan Desa (PSPD, kajian memelihara ikan Empurau sebagai produk baru dikawasan Betong sebagaimana di kawasan Samarahan dengan menjadikan sungai di kawasan tersebut sebagai tempat melepas baka anak-anak ikan tersebut menurut Jabu.

Pada majlis berkenaan Jabu turut memotong kek bagi meraikan harijadi beliau yang ke 70 tahun.

Di akhir majlis berkenaan Jabu telah menerima hadiah daripada Residen Bahagian Betong mewakili semua penjawat-penjawat awam dan penduduk Betong. Jabu juga menerima hadiah daripada Residen bahagian Sarikei pada majlis berkenaan.

Jabu turut menyampaikan cek bernilai RM40 ribu untuk Jawatankuasa Perayaan Islam Bahagian Betong dan cek bernilai RM20 ribu untuk Jawatankuasa Perayaan dan Program Pembangunan Bahagian Betong yang telah diterima oleh Timbalan Residen Haji Pathi bin Kerni serta cek bernilai RM10 ribu untuk Jawatankuasa Bencana Alam Bahagian betong yang telah disampaikan kepada Timbalan Residen Sosial Dr Anthony Valentine Laiseh

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah YB Haji Wahab bin Aziz Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Kalaka, YB Dr Johnnycal Rayong ak Nyipa ADUN Engkilili, Datu Romie Sigan Daniel Residen Bahagian Betong, Setiausaha Politik Dato Seri Douglas Uggah, Dr Richard Rampu, pegawai-peawai kerajaan yang lain serta Ketua-ketua masyarakat.

MUNGGU LALANG DAN SMK ST AUGUSTINE JUARA FUTSAL 1 BELIA 1 MALAYSIA PARLIMEN P.204 BETONG

24 Oktober 2010

BETONG. Pasukan Munggu Lalang daripada Zon Betong muncul juara kategori lelaki pertandingan Futsal 1 Belia 1 Malaysia Parlimen P.204 Betong setelah menewaskan pasukan Sir’ Rem Bunk yang mewakili Zon Tuie pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Tan Sri Datuk amar Stephen Kalong Ningkan Betong semalam

Pasukan yang mewakili Zon Betong itu muncul juara setelah menewaskan lawan dengan jaringan 4 – 2 menerusi jaringan penyerang berbakat Maulana Omar(2 jaringan) dan Abdul Kadir (2 jaringan) manakala Mohd Hafiz (1 jaringan dan Zufizan (1 jaringan) menjaringkan gol untuk pasukan Sir’ Rem Bunk.

Sementara pasukan SMK St Augustine dari Zon Betong pula muncul juara kategori wanita setelah menewaskan pasukan Queen KL FC yang mewakili Zon Debak pada satu lagi slot perlawanan akhir pertandingan berkenaan.

Penyerang sensasi SMK St Augustine Lengging anak Philip menjaringkan 5 gol dan Norashila Mohamad menjaringkan 1 gol ketika membenamkan pasukan Queen KL FC dengan jaringan 6 – 1. Gol saguhati lawan pula telah dijaringkan oleh Freda Robert.

Kemenangan tersebut telah memberikan pasukan juara iaitu pasukan Munggu Lalang dan pasukan SMK St Augustine membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM 400.00 berserta piala manakala naib juara pasukan Sir’ Rem Bunk dan pasukan Queen KL FC pula membawa pulang hadiah wang tunai RM 300.00 dan piala.

Sebanyak 11 pasukan kategori lelaki telah menyertai pertandingan berkenaan dan hanya 2 penyertaan bagi kategori wanita setelah tujuh zon daripada parlimen P.204 Betong mengakhiri pemilihan untuk mewakili Parlimen P.204 Betong ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Putrajaya pada 16 hingga 19 Disember tahun ini.

Antara Zon dalam Parlimen P.204 Betong ialah Zon 1 kawasan Tuie, Zon 2 kawasan Debak, Zon 3 Kawasan Sebemban, Zon 4 kawasan Spaoh, Zon 5 kawasan Penebak, Zon 6 kawasan Pelikoi dan Zon 7 kawasan Betong.

Sebanyak 60 lebih pasukan telah menyertai pasukan di peringkat zon telah bertanding untuk merebut kemenangan dan mengisi slot pertandingan akhir berkenaan.

Terdahulu Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Encik Mohamad Salihin bin Haji Kachon telah mewakili Yang Berhormat Datuk Seri Douglas Uggah Embas merasmikan pertandingan Futsal tersebut yang telah dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong

Berucap pada perasmian tersebut Salihin menyeru kepada pemain yang terpilih mewakili Parlimen P.204 Betong agar sentiasa bersedia bagi menyertai kejohanan berkenaan nanti.

Menurut beliau sebanyak 222 parimen di Malaysia termasuk 31 parlimen di Sarawak akan menyertai kejohanan tersebut dengan 444 pasukan terlibat dan 4440 penyertaan pemain dalam kedua-dua kategori lelaki dan perempuan.

Salihin juga menyampaikan hadiah kepada semua pemenang kejohanan berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Betong Merawi Ais, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Betong Mandau Anggan dan Guru Besar SK Mangut Sufian bin Omar

KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAAN (KSPK) MEMPERKENALKAN SISTEM YANG LEBIH MANTAP

22 Oktober 2010

SRI AMAN. Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak telah menganjurkan Taklimat Modul Pentaksiran Perkembangan Murid Prasekolah Bahagian Sri Aman dan Betong semalam.

Program yang berlangsung di Dewan Suarah Sri aman dikelolakan oleh PPD Sri Aman dengan kerjasama PPD Lubok Antu, PPD Betong dan PPD Saratok telah disertai oleh seramai 177 orang guru prasekolah yang meliputi 39 orang guru prasekolah dari Daerah Sri Aman, 23 orang guru dari Daerah Lubok Antu, 55 orang guru dari daerah Betong dan 50 orang guru dari Daerah Saratok.

Objektif program tersebut ialah bertujuan mengetengahkan penyediaan maklumat asas, menerangkan definisi, konsep, istilah serta memberi contoh instrumen untuk dijadikan panduan guru dalam menjalankan pentaksiran dan menilai perkembangan murid di peringkat prasekolah.

Ianya ialah satu proses yang sistematik untuk menggumpul maklumat tentang perkembangan murid bagimembantu guru membuat penilaian terhadap mereka dengan mengenalpasti tindakan susulan yang sesuai untuk membantu murid mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran di prasekolah.

Proses yang berterusan dan dijadikan sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran serta lebih menekankan kepada usaha ke arah penambahbaikan serta perkembangan dan bukan pencapaian semata-mata. Dan juga memastikan murid mencapai tahap pengetahuan dan kemahiran tertentu sebelum memulakan persekolahan formal di tahun satu.

Program yang turut dikendalikan oleh dua orang penceramah khas daripada Kementerian Pelajaran Malaysia serta beberapa orang penceramah daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak yang terlibat sama dalam urusan tersebut bagi melancarkan perjalanan program berkenaan.

Encik Atang Let Penyelia Kumpulan Prasekolah Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak ketika memberi penerangan dalam sesi taklimat tersebut mengajak semua guru memberi penekanan dan mengambil perhatian yang serius kerana beberapa penambahbaikan dalam sistem pembelajaran prasekolah turut diketengahkan dalam taklimat berkenaan.

Sistem pengajaran prasekolah turut dimantapkan dengan penekanan penggunaan Bahasa Inggeris yang lebih praktikal dalam urusan pembelajaran menerusi Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) dan dapat di dijalankan dengan berkesan oleh guru-guru menurut beliau.

Sesi taklimat sehari itu diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah-penceramah serta pegawai yang mengendalikan taklimat berkenaan oleh pegawai-pegawai pengelola yang merangkumi Daerah Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Saratok.

SUKAN MENGUKUHKAN PERSEFAHAMAN ANTARA KAKITANGAN

19 Oktober 2010

BETONG. Kelab Sukan Pejabat Kesihatan Bahagian Betong (PKB)telah bergerak aktif dengan mengadakan perlawanan Persahabatan bolasepak antara unit di pejabat berkenaan dimana Unit Pentadbiran telah bergabung dengan Unit Kesihatan (RCS) menentang Unit Penguatkuasa di pejabat yang sama baru-baru ini.

Perlawanan bolasepak berkenaan diadakan ialah bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim dan memupuk semangat bekerjasama dan saling membantu dikalangan semua kakitangan serta sebagai aktiviti riadah kelab sukan tersebut.

“pihak kami telah merancang beberapa program bagi mengisi aktiviti riadah kelab sukan pejabat kami. Perlawanan bolasepak adalah satu daripada aktiviti yang telah dirangka dalam program tersebut. sebelum daripada ini, kami telah menyertai pertandingan Badminton dan Futsal yang telah dianjurkan Kelab Perubatan Hospital Betong dan ahli kelab kami turut terlibat sama”.

“Perlawanan persahabatan ini sebagai persiapan kelab sukan kami untuk menyertai sebarang kejohanan yang akan dianjurkan oleh mana-mana pihak selepas ini. Kami juga telah merancang untuk mengadakan sesi perlawanan persahabatan menentang jabatan-jabatan lain dan berusaha menggalakkan kakitangan pejabat kami menyertai aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan menerapkan nilai-nilai murni dalam sukan”. Menurut jurucakap kelab sukan tersebut ketika ditemu bual pada program tersebut.

Terdahulu perlawanan persahabatan yang telah dilangsungkan di Padang Kompleks Sukan Betong menyaksikan pasukan Unit Penguatkuasa yang diketuai oleh Laja Ley telah memenangi perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan jaringan 4 – 2. Gol-gol telah dijaringkan oleh penyerang berbakat Albert Renggie dan Laja Ley. Manakala gol Pasukan RCS pula yang diketuai oleh Dr Jeffery Stephen telah dijaringkan oleh Bosman Mohd. Rajuna.

Kelab Sukan pejabat berkenaan ditubuhkan dengan objektif menggalakkan kakitangan sama-sama aktif dalam sukan dan riadah serta memupuk semangat kerjasama dan perpaduan di kalangan kakitangan jabatan tersebut. Sukan juga dapat menggerak minda untuk berfikiran cergas dan dapat mengelakkan daripada perlakuan masalah sosial dikalangan kakitangan selepas ini.

PROGRAM ANAK ANGKAT MERAPATKAN PERTALIAN KELUARGA ANTARA PENDUDUK KAMPUNG DAN UNIVERSITI.

17 Oktober 2010

BETONG. Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Sarawak (UiTM) telah menganjurkan program Menjana Minda Usahawan Desa kepada seramai 36 orang pelajar universiti berkenaan yang telah diadakan di Kampung Melayu Betong.

Menurut Wan Md Hamidi bin Wan Ahmed selaku pengerusi program berkenaan, program tersebut telah diadakan bermula pada 14 hingga 17 Oktober 2010 telah mendapat kendalian Encik Ahmad Faizal bin Mahdi Pensyarah di Universiti berkenaan. Antara objektif program berkenaan ialah mendekati dan memahami minda usahawan dari desa serta mengkaji keberkesanan sistem perusahaan melalui kaedah yang digunakan di Desa serta memberi dorongan dan sokongan terhadap penyertaan pelajar daripada universiti berkenaan dalam pendekatan usahawan di desa berkenaan.

“Pendekatan yang lebih penting dalam program ini ialah semua pelajar terlibat telah ditempatkan dirumah penduduk kampung Melayu Betong dimana mereka turut menjadi anak angkat kepada penduduk-penduduk disini. Sebanyak 18 buah keluarga telah menjadi keluarga angkat kepada kami dengan seramai 2 orang untuk sebuah keluarga”.

“Antara aktiviti yang turut dijalankan dalam program tersebut ialah Lawatan ke Ladang Bersepadu Layar Betong, Ceramah Motivasi di Pejabat Residen Betong yang telah dikendalikan oleh Pegawai Pertanian Betong, Sesi Motivasi bersama pelajar lepasan UPSR SK Abang Abdul Kadir Betong, Lawatan ke Pekan Saratok dan Senamrobik bersama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Betong”. Tambah Hamidi.

Pada Majlis penutupan program berkenaan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit Penghulu Kampung Melayu Betong yang juga turut mengambil 2 orang daripada pelajar berkenaan menjadi anak angkat beliau telah merasmikan majlis yang telah dilangsungkan di Dewan Al Husna Masjid Jamek Betong.

Berucap dalam majlis tersebut, beliau merasa terharu di atas pemilihan Kampung Melayu Betong sebagai tempat pihak universiti berkenaan melaksanakan program berkenaan menurut beliau.

“Walaupun ini bukan pertama kali pihak kami menerima kunjungan dan menjayakan program seperti ini (anak angkat) namun setiap kali berakhirnya program seumpama ini ianya pasti membuahkan hasil yang membanggakan dan sentiasa mendapat kerjasama daripada penduduk kampung”.

“Kemesraan diantara pelajar dan keluarga angkat mereka selama berada di rumah keluarga angkat mereka diharap dapat dijadikan sebagai perangsang dalam mereka melalui pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan dalam hidup anda semua”.

“Saya berharap agar program kali ini berjaya dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar yang terbabit dan hasil dapatan daripada program dapat digunakan dalam menghadapi ujian selepas ini nanti. Bukan hanya untuk berseronok tetapi lebih bermakna jika dapat dipraktikkan dalam mengharungi masa akan datang”. Tambah Zawawie.

Antara peserta yang terlibat dalam program anak angkat tersebut ialah 4 buah keluarga daripada Kampung Baru Hulu, 5 buah keluarga daripada Kampung Baru Hilir, 5 buah keluarga daripada kampung Tengah, 3 buah daripada kampung Hilir dan sebuah keluarga daripada kampung Masjid Betong.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Wan Ahmed bin Wan Chee Ketua Kampung Baru Hulu Betong, Haji Mohidie bin Haji Yusuf Ketua Kampung Baru Hilir Betong, Segara Dukari Ketua Kampung Hilir Betong, Haji Abang Hussin bin Haji Abang Mahadi Ketua Kampung Tengah Betong serta keluarga-keluarga angkat yang terbabit.

Pada akhir majlis berkenaan wakli pihak universiti juga turut menyampaikan cenderamata kepada semua keluarga angkat yang terbabit sebelum mereka berangkat balik ke universiti.



Tamat.

PPD BETONG ANJUR MAJLIS RAMAH TAMAH AIDILFITRI DAN MERAIKAN MAJLIS PERMATA BUDI SEMPENA PERSARAAN PEGAWAI.

17 Oktober 2010

BETONG. Pejabat Pelajaran Daerah Betong dengan kerjasama guru agama dan j-QAF (PEKDIS) Pejabat Pelajaran Bahagian Betong telah mengadakan 2 majlis serentak sempena Ramah Tamah Aidilfitri dan Majlis Permata Budi bagi meraikan persaraan Tuan Haji Abang Adenan bin Abang Haji Hassan Ketua Unit, Unit Pendidikan Islam Pejabat Pelajaran Daerah Betong yang akan bersara wajib pada Disember 2010 nanti. Majlis yang diadakan bertujuan merapatkan silaturrahim dikalangan warga pelajaran di Bahagian Betong serta penduduk kampung yang turut dijemput bersama meraikan majlis berkenaan.

Seramai 400 orang dikalangan Pengetua, Guru Besar, Guru-guru PEKDIS, guru-guru, kakitangan PPD Betong, kakitangan PPD Saratok dan penduduk kampung Melayu Betong turut hadir memeriahkan majlis yang telah diadakan di Dewan Terbuka PPD Betong baru-baru ini.

Hadir merasmikan majlis berkenaan Yang Berbahagia Tuan Haji Zaini bin Hasbullah Ketua Unit Operasi Dakwah yang mewakili Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak(JPNS). Pada majlis tersebut beliau bangga dengan kejayaan pejabat berkenaan melaksanakan dua majlis serentak dan lebih bermakna ialah meraikan persaraan seorang pegawai telah lama bersama dalam menguruskan unit pendidikan Islam di jabatan berkenaan.

“Walaupun beliau (Haji Adenan) bukan seorang ustaz tetapi komitmen dan pengurusan kerja yang berkesan serta kerjasama daripada pegawai-pegawai yang bersama beliau telah memberikan pengurusan unit beliau menjadi cemerlang”.

“Persaraan beliau nanti juga akan membuatkan satu kehilangan yang besar dalam Unit Pendidikan Islam kerana beliau seringkali memberi pandangan yang bernas dan dengan pengalaman yang ada beliau sentiasa mengeluarkan idea-idea yang seringkali digunapakai dalam urusan jabatan”. Menurut Zaini ketika berucap dalam majlis berkenaan.

“Majlis seumpama ini juga dapat menyatukan hati dan merapatkan hubungan silaturrahim dikalangan kakitangan dijabatan kerana sikap bertolong bantu dan bekerjasama sebagaimana yang diamalkan dalam mengendalikan majlis ini. Ianya juga mampu meningkatkan kualiti kerja dikalangan semua kakitangan dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi diantara kaum di jabatan berkenaan”. Tambah Zaini.

Pada majlis berkenaan Zaini menjelaskan bahawa masih ada dua lagi aktiviti yang telah dirancang oleh Jabatan Pelajaran Sarawak untuk dilaksanakan di kelolakan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Betong selepas ini nanti menurut beliau.

Bagi merasmikan majlis berkenaan acara memotong kek yang telah dilakukan bersama oleh Haji Zaini bin Hasbullah KU Operasi Dakwah JPN Sarawak, Encik Mahli bin Rosli PPD Betong, Encik Daud bin Mohamad PPD Saratok dan Haji Abang Adenan bin Abang Haji Hassan.

Terdahulu majlis yang mendapat bantuan dan kerjasama daripada kakitangan daripada baberapa buah sekolah yang berdekatan untuk sama-sama mengendalikan majlis tersebut telah berjaya menggumpul dana daripada kalangan guru-guru persatuan PEKDIS dan wang sumbangan majlis perayaan yang dikumpulkan daripada kalangan staf PPD Betong serta wang berjumlah RM 1,000.00 yang telah disumbangkan oleh JPN Sarawak sebagai wang untuk sambutan perayaan kepada unit berkenaan turut digunakan dalam menjayakan majlis tersebut.

Dalam majlis berkenaan acara menyerahkan cenderamata dan hadiah yang telah diberikan kepada Haji Adenan sebagai sumbangan dan keperihatinan beliau daripada jabatan dan beberapa buah sekolah-sekolah di bahagian Betong.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Encik Mahli bin Rosli PPD Betong, Encik Daud bin Mohamad PPD Saratok, Tuan Haji Abanag Zawawie bin Abang Rajit Penghulu Kampung Melayu Betong, Encik Abang Dalhan bin Abang Yaman Tuan Imam Masjid Jamek Betong serta ketua-ketua Kaum.

SK ABANG ABDUL KADIR BETONG ANJUR PROGRAM MARHABAN DAN ZIARAH.

03 Oktober 2010

BETONG. SK Abang Abdul Kadir Betong telah mengadakan program Marhaban dan Ziarah. Program tersebut dikelolakan bersama guru Pendidikan Agama Islam, j-QAF dan Fardu Ain sekolah berkenaan. program tersebut dirangka sebagai aktiviti selepas UPSR bagi pelajar Tahun 6.

Program tersebut dilaksanakan pada hujung minggu (sabtu dan Ahad)sepanjang dua minggu terakhir dalam bulan Syawal dimana sebanyak 49 buah rumah guru dan penduduk kampung Melayu Betong telah terlibat dalam program tersebut yang berakhir semalam.

Aktiviti tersebut turut disertai seramai 17 tenaga pengajar dikalangan guru Pendidikan Islam, j-QAF dan guru Fardhu Ain serta 30 orang pelajar tahun 6 dari sekolah terbabit.

Menurut Ustaz Kamaruddin Mohammad guru Pendidikan Islam SK Abang Abdul Kadir Betong, program tersebut merupakan Projek Perintis yang dirangka khas bagi melibatkan murid-murid tahun 6 di sekolah berkenaan dengan mengajak mereka untuk sama-sama berziarah kerumah guru-guru serta beberapa buah rumah penduduk kampung di sekitar Kampung Melayu Betong sambil mereka bersalawat.

Selain itu, program ini dapat merapatkan Ukhuwah serta memupuk perpaduan dikalangan guru-guru, penduduk kampung dan pelajar-pelajar yang terlibat.

Kamaruddin berkata jika diberi peluang dan program ini mendapat sambutan, mereka katanya akan berusaha untuk meneruskan aktiviti seumpama ini lagi. Apa yang dapat dilihat katanya setakat ini, adalah sesuatu yang diluar dugaan dengan sambutan yang benar-benar hebat diberikan oleh penduduk kampung di Betong ini.

Aktiviti yang dijalankan dalam program tersebut ialah bacaan Salawat, Doa Selamat dan Doa Ziarah. Sambil itu penduduk yang terlibat dalam program tersebut menghidangkan jamuan sebagai sajian pada akhir aktiviti tersebut.

Pada majlis yang sama Tuan Haji Abang Taha bin Abang Bujang seorang penduduk kampung Masjid Betong, merasa amat bertuah kerana rombongan marhaban tersebut sudi menyenaraikan rumah beliau sebagai salah satu tempat yang menjadi kunjungan rombongan tersebut.

Beliau yang begitu teruja dengan kunjungan tersebut mengharapkan program seumpama itu akan dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang dan beliau sekali lagi menyatakan hasrat kesudian beliau menerima kunjungan sekali lagi jika diberi peluang berbuat demikian pada tahun-tahun yang akan datang. Walaupun beliau bukan dikalangan kakitangan sekolah berkenaan tetapi beliau sentiasa memberi kerjasama jika diperlukan dan menggalakkan program seumpama itu diteruskan dari semasa ke semasa.

Haji Abang Taha juga berkesempatan menyampaikan hamper sebagai sumbangan dan penghargaan terima kasih diatas kesudian rombongan tersebut berkunjung ke rumah beliau kepada Ustaz Kamaruddin pada akhir majlis dirumah beliau sebelum rombongan tersebut berkunjung kerumah seterusnya.

TABIKA KEMAS KAMPUNG TENGAH BETONG ANJUR RAMAH TAMAH AIDILFITRI

02 Oktober 2010

BETONG. Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Kemas Kampung Tengah Betong telah menganjurkan majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2010. Majlis yang diadakan di perkarangan bangunan TABIKA tersebut telah mendapat kerjasama daripada ibubapa pelajar di taman bimbingan berkenaan. Majlis tersebut juga merupakan salah satu aktiviti yang terselit dalam perancangan tahunan TABIKA berkenaan.

Seramai 150 orang dikalangan ibubapa dan keluarga kanak-kanak dan jemputan-jemputan khas turut sama meraikan majlis berkenaan.

Tuan Haji Abang Hussin bin Haji Abang Mahadi Ketua Kampung Tengah Betong telah sudi hadir untuk merasmikan majlis berkenaan.

Dalam ucapan beliau menyeru semua ibu bapa dan penduduk-penduduk kampung untuk sama-sama saling bekerjasama dan mengeratkan perpaduan sebagaimana yang telah berjaya dilaksanakan pada majlis berkenaan. Beliau yang tidak menyangka bahawa kemampuan yang telah dilaksanakan oleh jawatankuasa TABIKA berkenaan amat padu telah mampu dicapai dalam majlis seumpama itu.

Haji Hussin juga menambah katanya majlis seumpama itu tidak akan mencapai objektif dan sasaran yang sepatutnya jika tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dan patut menjadi contoh kepada penduduk-penduduk kampung dan tidak berpuak-puak.

Beliau juga menjelaskan katanya aktiviti kunjung-mengunjung dalam sambutan hari raya sebegini telah lama dulu semenjak turun temurun sentiasa diamalkan dikawasan kampung di Betong tidak kira kaum sentiasa kunjung mengunjung dan mengeratkan silaturrahim.

Majlis ramah tamah sebegini pula merupakan satu program yang terbaik untuk menyatukan ibubapa dan guru serta penduduk kampung yang sama dijemput kerana majlis seumpama ini dapat dijadikan satu pertemuan dan dapat bertukar-tukar pandangan dikalangan semua yang hadir.

Terdahulu Encik Ismail Mohamad Pengerusi TABIKA Kemas Kampung Tengah Betong berkesempatan berucap dan menerangkan beberapa maklumat yang perlu dikongsi bersama ibubapa, guru dan penduduk kampung yang mana beliau katanya beberapa aktiviti telah berjaya dilaksanakan antaranya Gotong Royong, Hafazan, Pertandingan mewarna, Penghayatan Kemerdekaan, Lawatan Kokurikulum dan Ramah Tamah tersebut. TABIKA katanya selepas ini akan mengadakan Sukaneka, Lawatan dan Hari keluarga dan Majlis Konvokesyen. Beliau juga mengajak semua ibubapa sekali lagi bergabung tenaga untuk sama-sama menjayakan aktiviti tersebut.

Ismail juga berkata, Jawatankuasa TABIKA telah berusaha untuk memohon dan menghantar kertas cadangan kepada Yang Berhormat untuk memohon peruntukan bagi menaiktaraf TABIKA berkenaan demi anak-anak penduduk-penduduk di kawasan Betong yang bukan sahaja masyarakat kaum Melayu malahan dari kaum lain Iban dan Cina turut sama berminat untuk menghantar anak mereka untuk mendalami ilmu pengetahuan asas di TABIKA berkenaan.

Pada majlis berkenaan turut diadakan Cabutan Bertuah dimana hadiah berupa hamper yang merupakan acara yang menjadi kebiasaan dijalankan oleh jawatankuasa setiap aktiviti Tabika Berkenaan. Hadiah-hadiah turut disumbangkan oleh Encik Abdul Rahim bin Haji Jaini dan Encik Bosman bin Haji Mohd Rajuna.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Kampung Hilir Betong Encik Segara bin Dukari, Ketua Ranting PBB Kampung Tengah/Hilir Betong Encik Abdul Rahman bin Ismail

HOSPITAL BETONG ADAKAN MAJLIS RAMAH TAMAH AIDILFITRI 2010

25 September 2010

BETONG. Seramai 250 kakitangan Hospital Betong ,PKD dan Pejabat Pergigian serta kaum keluarga yang telah dijemput hadir dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Hospital Betong 2010. Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Islam (PERKIP) Hospital Betong baru-baru ini.

Majlis yang merupakan aktiviti wajib dalam takwim PERKIP Cawangan Betong dan ianya juga sebagai memeriahkan sambutan Hari Raya di kalangan staf Hospital Betong.

Majlis yang telah diadakan di pejabat Kecemasan dan kemalangan yang baru di hospital berkenaan telah dirasmikan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Betong Dr Jeffery Stephen dilangsungkan dengan cukup meriah dimana berbagai kaum turut sama hadir dalam majlis berkenaan.

“Kita amat mengalu-alukan kedatangan semua hadirin kerana disini kita dapat menyemaikan kemesraan dalam satu perayaan dengan rasa muhibbah dan semangat kerjasama. Konsep kunjung mengunjung begini akan dapat mengajak kita berkenal antara kakitangan dan kaum keluarga mereka. Kita juga dapat bertukar-tukar fikiran dan mengekalkan silaturrahim dikalangan semua kita berbagai kaum disini”. Menurut Jeffrey.

“Majlis seperti ini haruslah dikekalkan bukan sahaja dalam perayaan ini tetapi semua perayaan yang kita sambut dalam Malaysia ini untuk kita mengeratkan perpaduan dikalangan kita semua” . Tambah beliau.

Pada majlis tersebut PERKIP Cawangan Betong telah menyampaikan beberapa Sumbangan dan hadiah kepada kakitangan mereka antaranya Sumbangan Khiarat kepada Penolong Pegawai perubatan Ibit Seng yang telah kehilangan anak tersayang.

Hadiah kepada kakitangan yang melangsungkan perkahwinan pada tahun 2009 / 2010 turut diberikan dimana 2 pasangan telah menamatkan zaman bujang mereka.

Seramai 15 orang kakitangan daripada Hospital dan Klinik kawasan Betong yang telah mendapat cahaya mata pada 2009/2010 juga turut disampaikan pada majlis tersebut.

Sebagai galakan kepada anak-anak kakitangan yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan turut diberikan kepada adik Munirah bt Seruja yang mendapat keputusan 5A dalam dalam UPSR dan Adik Sharifah Nur Aliyyah bt Wan Hussin yang mendapat 4A dalam peperiksaan yang sama.

Acara Cabutan bertuah juga tidak ketinggalan dalam majlis tersebut dimana sebanyak 10 buah hamper menjadi hadiah pada acara tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dr Dahlia Wati Aripin, Pegawai Pergigian Bahagian Betong, Pengurus Fasiliti Faber Medi-serve Hospital Betong, Audrey Alexandria.