29 Mei 2010

PROGRAM 1 MALAYSIA BERSAMA RAKYAT ANJURAN JASA BETONG MERIAH



JOHAN.. Zon Biru manjadi johan dalam sukaneka tersebut

KEDUA.. Zon Kuning


KETIGA.. Zon Merah

Betong, 29 Mei 2010. Seramai 400 orang terlibat dalam Program 1 Malaysia Bersama Pemimpin anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Betong. Program yang berlangsung di Kompleks Sukan Betong mendapat kerjasama daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Hilir / Tengah Betong, Kampung Masjid / Passa Betong dan Ranting PBB Kampung Baru Hulu / Hilir Betong dimana acara sukaneka telah dilangsungkan.


Pengisian acara sukaneka dalam program ini ialah bertujuan untuk mengeratkan perpaduan dan semangat kerjasama dikalangan penduduk kampung dan untuk mewujudkan masyarakat bersatu-padu dan harmoni melalui aktiviti sukan, pertemuan serta pergaulan pada program ini.

Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Encik Isik anak Utau Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak yang mewakili Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu anak Numpang, pada sebelah paginya.

Ketika berucap menjayakan dan merasmi majlis berkenaan, Isik menyeru kepada semua penduduk supaya sentiasa menjaga perpaduan kaum, tidak kira dimana berada dibandar mahupun didesa sebagaimana dalam teras gagasan 1 Malaysia.

“Perpaduan adalah satu daripada teras gagasan 1 Malaysia dan kita haruslah menjaga keharmonian dan perpaduan kaum yang telah menjadi amalan kita disini selama ini. Perhubungan rapat dan kerjasama antara masyarakat setempat haruslah sentiasa diamalkan bagi mengelak kekecohan dan perkara yang tidak diingini berlaku. Mungkin kita disini berbeza dengan dibandar kerana kita dapat melaksanakan aktiviti bersama” .Seru Isik.

Dalam majlis berkenaan beliau telah meluluskan peruntukan sejumlah RM 5,000.00 untuk pelaksanaan program seumpama itu bagi tahun yang akan datang. Beliau turut mencadangkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengendalikan kebajikan dan sukan Kampung Melayu Betong.

“Dalam jawatankuasa itu nanti akan dipengerusikan bersama oleh ketiga-tiga ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Melayu Betong ini, sebagaimana yang telah dilakukan pada hari ini. Dan semua wanita dan Pemuda PBB akan diserap terus untuk menjadi ahli dalam jawatankuasa itu nanti”.

“Penubuhan jawatankuasa itu nanti sekurang-kurangnya menjadi landasan untuk ketiga-tiga ranting PBB diKampung Melayu Betong ini untuk melaksanakan aktiviti sukan bersama dan menjaga kebajikan penduduk kampung disini. Dan mungkin kita boleh menambah acara lain untuk tahun-tahun yang akan datang, seperti acara untuk kanak-kanak sekolah atau acara untuk veteran lama bagi menyerikan aktiviti kita”. Tambah Isik.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Encik Tony Malang anak Chabu Pegawai JASA Betong dan Encik Blacky Sanggat Pegawai JASA Bukit Saban.



TERIMA KASIH.. Isik menerima cenderamata daripada pengerusi pengelola


Tony Malang menyampaikan hadiah kepada


MENGHIBURKAN.. acara bolasepak berkain pelikat


Pada sukaneka itu, pasukan Ranting PBB Kampung Baru Hulu / Hilir Betong akan diletakkan dalam Zon Kuning manakala Ranting PBB Kampung Masjid / Passa Betong dan pasukan Ranting Kampung Hilir / Tengah Betong pula diletakkan dalam Zon Merah dan Biru.

Sebanyak 11 acara telah dipertandingkan antaranya acara isi air dalam botol menggunakan span, pancing botol, lari bawa bola ping-pong menggunakan sudu, tiup belon sampai pecah, lari dalam guni berganti-ganti, bola sepak lelaki (berkain pelikat), tarik tali lelaki dan wanita, kuit, menganyam ketupat dan membuat kuih asli.

Hadiah wang tunai berjumlah RM500.00 telah menjadi rebutan berserta piala iringan bagi yang menjadi johan. RM400.00 untuk tempat kedua dan RM300.00 ditempat ketiga.

Dalam majlis penutupan Encik Tony Malang anak Chabu Pegawai JASA Betong telah dijemput untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang dimana pasukan Zon Biru telah menjadi Johan. Pasukan Zon Kuning dan Zon Merah masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Majlis yang berakhir sekitar jam 5 petang berlangsung dengan meriahnya.

28 Mei 2010

PERTUBUHAN BUDDIST BETONG SUMBANG DERMA KEPADA PESAKIT



Encik Own Chin Quin menyampaikan hamper kepada pihak hospital sebagai penghargaan


Sumbangan kepada pesakit

Betong. 28 Mei 2010. Seramai 30 orang pesakit Hospital Betong merasa bertuah dimana, sempena Perayaan Hari Wesak Persatuan Buddiest Betong telah memberi sumbangan berbentuk hamper kepada semua pesakit di hospital berkenaan.

Seramai 50 orang ahli persatuan berkenaan yang diketuai oleh Encik Own Chin Quin turut serta dalam program berkenaan dimana mereka telah berkesempatan meluangkan masa menyertai program kemasyarakatan berkenaan.

Program yang telah dirancang oleh pihak Persatuan berkenaan, bukan sahaja untuk sambutan Hari Wesak tetapi juga bersempena perayaan Hari Gawai Dayak.

“Saya selaku pengerusi pertubuhan kami merasa bersyukur kerana pada hari ini pertubuhan kami telah merancang untuk memberi sumbangan berbentuk hamper kepada semua pesakit dihospital ini pada hari ini. Dengan sumbangan ini kami berharap pesakit tidak perlu pergi kepasar untuk mendapatkan atau membeli barang makanan. Sumbangan ini bukan sahaja sempena Hari Wesak tetapi ia juga sempena Perayaan Hari Gawai Dayak yang tidak lama lagi akan datang”. Ucap Own Chin Quin selaku pengerusi persatuan berkenaan.

“Kami akan memberi sumbangan ini kepada semua pesakit disini. Jika ada lagi pesakit yang datang pada hari ini kami akan memberi hamper kepada mereka. Kami juga akan memberi sumbangan ‘Ang Pow’ kepada bayi yang lahir pada hari ini sehingga tengah malam ini”.

“Sumbangan ini juga merupakan sebagai memperingati hari kelahiran buddist yang jatuhnya pada tarikh berkenaan”. Sambung beliau.

Persatuan Buddiest Betong merupakan pertubuhan yang bergiat aktif di Betong seringkali menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan sentiasa berusaha untuk memberi sesuatu yang terbaik kepada masyarakat tempatan malahan seringkali memberi sumbangan kepada masyarakat luar.

Dua hari yang lepas mereka juga telah menjalankan aktiviti kemasyarakatan dimana mereka juga telah memberi sumbangan hamper kepada pelatih-pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (rumah OKU). Mereka juga telah membersihkan kawasan dan mengecat Pusat Pemulihan berkenaan. Ini merupakan salah satu aktiviti dalam takwim persatuan ini yang telah dirancang sepanjang tahun.

SAMBUTAN PASCA GAWAI SK MUTON 2010



Peserta Ratu Kebaya

Debak, 28 Mei 2010. Tarikh 26 Mei 2010 telah dipilih bagi merayakan sambutan Pasca Gawai 2010 peringkat sekolah SK Muton Debak. Beberapa aktiviti telah dijalankan dalam pengisian acara sambutan tersebut.

Program bermula dengan Sukaneka untuk murid-murid sekolah berkenaan dan pada sebelah petangnya diteruskan dengan sukaneka untuk PIBG dimana ibubapa dan kakitangan sekolah terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Sambutan dimeriahkan dengan majlis Makan Malam. Sebanyak 15 buah meja telah dihadkan untuk PIBG dan staf sekolah. Dalam majlis tersebut beberapa pengisian aktiviti telah dilangsungkan. Antaranya ialah Pertandingan Ratu kebaya dan Pertandingan Karaoke untuk PIBG.

Seramai 5 finalis Ratu Kebaya telah berebut dalam majlis berkenaan. Johan telah disandang oleh Puan Rendung ak Emparan, Naib Johan Puan Catherine Amoi anak Dawa dan ketiga Cik Selimah anak Meling.

Pertandingan Karaoke turut di sertai 5 orang finalis. Dimana pada sebelah siangnya saringan telah dilakukan bagi mencari finalis pada sebelah malamnya.

Johan untuk karaoke pada malam itu ialah Saudari Jenun, Naib Johan Saudara Chuat Siu dan ditempat ketiga Saudari Catherine Sangan.

Hadiah berbentuk hamper menjadi rebutan para peserta pada malam itu turut disampaikan oleh Guru Besar SK Muton Debak Encik Jamali bin Seman.

Terdahulu semasa ucapan perasmian majlis berkenaan, Jamali menyeru kepada para ibubapa yang hadir pada malam itu, agar sentiasa memberi kerjasama dan sokongan padu pada pihak sekolah dalam usaha membantu menaikkan imej dan prestasi sekolah.

“Kita perlu transformasi pemikiran kita untuk terus maju dan berusaha menaikkan prestasi sekolah serta menjaga imej agar ianya tidak terus dibelenggu dengan keputusan yang kurang memberangsangkan sebelum ini. Kita berharap pada tahun ini kita akan dapat memperolehi sesuatu yang dapat dibanggakan. Pihak sekolah telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mempastikan pembelajaran anak-anak tuan puan bukan hanya untuk mengenal huruf tetapi keputusan yang terbaik dan dibanggakan oleh semua pihak”. Kata Jamali ketika merasmikan majlis makan malam tersebut.

“Saya mahu ibubapa mengambil berat tentang pembelajaran anak-anak tuan puan dan sentiasa mempastikan anak tuan puan mengikuti kelas pembelajaran formal dan kelas-kelas tambahan yang telah dirancang bagi kemajuan pembelajaran mereka”. Tambah beliau.

Sambutan Gawai berakhir dengan diserikan dengan pemberian hadiah kepada pemenang Teka Gula-gula dan debaran berakhir dengan hadiah hamper untuk
pemenang bertuah dalam Cabutan Tiket Bertuah.

Jamali membuat cabutan bertuah...

26 Mei 2010

PEJABAT PELAJARAN DAERAH BETONG ADAKAN MAJLIS 3 DALAM 1


SELAMAT HARI GURU...Encik Mahli mengetuai majlis memotong Kek Hari Guru.

Encik Mahli Ketika berucap dalam majlis berkenaan

Betong 26 Mei 2010. Pejabat Pelajaran Daerah Betong telah mengadakan majlis 3 dalam 1 iaitu Sambutan Hari guru, Majlis Hari Jadi dan Majlis Perpisahan/ Selamat datang. Bertempat di Dewan 5S, Pejabat Pelajaran Daerah Betong.

Sambutan yang ringkas tetapi penuh bermakna itu telah disambut dengan meriah oleh staf Pejabat Pelajaran Daerah Betong dengan beberapa pengisian aktiviti diselit dalam majlis berkenaan.

Dimulakan dengan bacaan ikrar Hari Guru yang diketuai oleh Pegawai Pelajaran Daerah Betong Encik Mahli bin Rosli disusuli dengan Koir Lagu Hari Guru oleh semua staf PPD Betong. 3 buah lagu telah dinyanyikan antaranya ialah Lagu Guru Malaysia, Pendidik Bumi kenyalang dan Guru Pembina Negara Bangsa.

Terdahulu dalam ucapan ringkasnya Encik Mahli, menggambarkan sambutan yang di adakan lebih besar daripada sambutan peringkat Bahagian pada tahun lepas. Ini menggambarkan kerjasama yang diberikan oleh semua staf dalam semua aktiviti yang dijalankan amat jitu.

“Sebagai seorang guru yang bertugas di pejabat tanggungjawab kita ialah untuk memastikan semua urusan yang berkaitan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya”. Memetik ucapan Mahli dalam majlis tersebut.

“Saya mengharapkan apa yang diperolehi selama berlatih disini dapat dipraktikkan semasa menjalankan pembelajaran di sana dan dalam urusan seharian nanti. Jika ada rakan-rakan lain yang ingin menjalankan latihan industri disini kita mempelawa mereka datang”. Jelas Mahli.


Hjh Aiwan @ Noraini Bt Hj Alli...menyampaikan sajak bertajuk 'Pesan Guru'


Majlis diserikan lagi dengan bacaan sajak yang bertajuk Pesan Guru oleh Hjh Aiwan @ Noraini bt Hj Alli. Pengisian yang penuh bermakna dalam sambutan tersebut dan bertepatan dengan tema”Guru Pembina Negara Bangsa”.

Acara memotong kek Hari Guru lebih memberi pengertian majlis tersebut bila semua guru berkumpul dan melaungkan ungkapan “Selamat Hari Guru” dan sama-sama memotong kek meraikan majlis berkenaan.


SELAMAT HARI JADI...

Majlis diteruskan dengan sambutan Hari Jadi dua orang staf Pejabat Pelajaran Daerah Betong. Sambutan Hari Jadi merupakan salah satu majlis yang diadakan setiap bulan oleh staf PPD Betong dimana sesiapa diantara staf yang tarikh lahirnya jatuh dalam bulan tersebut maka mereka akan diraikan dalam majlis tersebut. Serentak dengan itu acara memotong kek hari Jadi turut diadakan.

Seterusnya majlis perpisahan untuk seorang staf yang berpindah tempat bertugas iaitu Encik Victor Grope yang akan berpindah ke Ibu Pejabat JPJ Kuching. Beliau merupakan seorang Pembantu Akauntan di Unit Penilaian dan Peperiksaan Pejabat pelajaran Daerah Betong telah bertugas selama 4 tahun di PPD Betong. Tempat beliau akan di ganti oleh Siti Aminah Samsuddin yang berpindah dari Jabatan Akauntan Negara Kuching.


 
TERIMA KASIH...

Sambutan yang sama untuk dua orang pelajar Politeknik Kuching yang akan menamatkan latihan industri selama enam bulan di PPD Betong. Mereka ialah Nurul Jannah Bt Suffian dan Sh Fazidatul Husna bt Wan Zainal Abidin. Tempoh mereka bermula pada 11 Januari hingga 11 Jun 2010.

 
Encik Mahli menyampaikan cenderahati kepada Victor

MESYUARAT MSS DAN PSKPP PEJABAT PELAJARAN BAHAGIAN BETONG 2010

SESAK... bilik mesyuarat dipenuhi oleh Pengetua, Guru Besar dan staf jabatan semasa mesyuarat berkenaan.


Encik Mahli PPD Betong dan Encik Daud PPD Saratok bergabung semasa mengendalikan mesyuarat berkenaan

Pejabat Pelajaran Daerah Betong telah bekerjasama dengan Pejabat Pelajaran daerah Saratok untuk mengadakan mesyuarat Majlis Sukan Sekolah (MSS) dan Persatuan Sukan & Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Sarawak (PSKPP) bagi Bahagian Betong tahun 2010 bertempat di Bilik Mesyuarat SMK St Augustine Betong.

Mesyuarat yang dibahagi kepada dua slot untuk dibentang dan dibincangkan telah dihadiri oleh Pengetua dan Penolong Kanan KoKurikulum dari Sekolah Menengah, Guru Besar, Penyelia dan penolong Penyelia di Pejabat Pelajaran kedua-dua Daerah.

Dimulakan dengan slot mesyuarat MSS dan seterusnya PSKPP.

Terdahulu Encik Mahli bin Rosli, Pegawai Pelajaran Daerah Betong telah mempengerusikan sendiri majlis tersebut turut dibantu oleh Encik Anis bin Madeli, Ketua Unit Pengurusan Pembangunan dan Kemanusiaan dan Encik Mandau anak Anggan Penolong Penyelia Unit Sukan juga selaku Setiausaha Sukan Pejabat Pelajaran Daerah Betong.

Encik Anis juga telah membentangkan laporan MSS penyertaan ke peringat negeri pada tahun 2009

Dalam ucapan aluannya, Mahli berharap semua kakitangan pejabat pelajaran di Bahagian Betong memberi kerjasama dalam mengendalikan sesuatu program kerana ianya akan memberi impak yang positif kepada semua terutamanya kepada jabatan pelajaran dan keseluruhan warga pelajaran juga kepada anak didik mereka.

“Kita merasa bangga apabila pada tahun 2009 salah seorang pelajar kita, adik Nur Aisyah Ahmad telah terpilih menjadi olahragawati Kebangsaan dalam temasya MSSM di Stadium Bukit Jalil. Kita mengharapkan pencapaian seumpama ini akan dapat diteruskan oleh pelajar kita pada masa-masa yang akan datang”. Kata Mahli dalam aluannya.

“Pencapaian atlit kita tidak kurang hebatnya, setiap tahun ada saja atlit kita yang terpilih mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Tahun ini 2010, seramai empat orang atlit kita telah dipilih menyertai Sarawak dalam Kejohanan Padang dan Balapan di Stadium Bukit Jalil yang telah berlangsung beberapa minggu yang sudah”.

“Saya harap semua pengurus pasukan yang dipilih untuk membawa atlit kekejohanan peringkat negeri dapat memberi kerjasama walaupun kita tiada peruntukan khas daripada jabatan namun kita akan berusaha sekadar yang termampu”. Tambah Mahli.

Selepas berhenti rehat, Mesyuarat PSKPP pula diteruskan dengan pembentangan laporan PSKPP pada tahun 2009 yang dilangsungkan di Bahagian Kapit. Pada temasya tersebut kontijen Betong telah menduduki tempat ke-7 bersama beberapa bahagian lain.

Pada tahun 2010 ini temasya PSKPP dianjurkan oleh PPD Kuching. Tarikh temasya tersebut ialah pada 05 – 07 Ogos 2010 dengan 20 acara yang dicadangkan untuk dipertandingkan dalam temasya itu nanti.

Pemilihan pemain untuk bahagian Betong pula akan diuruskan oleh PPD Saratok. Tarikh cadangan untuk pemilihan itu pula pada 03 Julai 2010 di beberapa tempat di Daerah Saratok sebagai venue pemilihan.

“Saya mahu pada tahun ini pemilihan pemain untuk penyertaan kita ke peringkat negeri bukan sekadar mencukupi kuota sahaja. Kita mesti serius. Jangan nanti ada yang tidak hadir pemilihan dipilih dari belakang. Jika kita benar-benar minat kita mesti hadir pemilihan itu nanti”. Jelas Mahli.

“Saya mahu jawatankuasa pemilih mengambil perhatian perkara ini dan urusetia memantau urusan ini. Saya tidak mahu nanti ada rungutan yang didengari oleh pihak kita tentang perkara ini’. Tambah Mahli.

Dalam mesyuarat itu, Mahli menjelaskan tentang borang ahli yang wajib diisi oleh semua kakitangan pelajaran dan jumlah yang perlu dibayar untuk setiap orang ahli. Dan semua pembayaran wajib dilakukan sebelum tarikh temasya itu nanti bagi memudahkan pengurusan kewangan di peringkat pejabat.

Mesyuarat diakhiri dengan pembahagian venue pemilihan kepada sekolah-sekolah di Daerah Saratok yang diamanah untuk mengurus tentang pemilihan pemain untuk peringkat negeri nanti.

24 Mei 2010

SAMBUTAN HARI BELIA KAMPUNG BARU HULU BETONG HEBAT DAN MERIAH

Juara Bertandak... pemenang bergambar kenangan bersama Cik Hayati dan Wan Boehana, Pengerusi JKKK Kpg Baru Hulu Betong.

Betong, 23 Mei 2010. Bertemakan Kearah Mencapai Satu Gagasan ‘Satu Malaysia’, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Baru Hulu Betong telah menganjurkan Sambutan Hari Belia peringkat kampung itu yang bertempat di Perkarangan Surau darul Taqwa Kampung Baru Hulu Betong.

Objektif program diadakan adalah untuk memupuk semangat kerjasama berpasukan dikalangan penduduk kampung disamping sebagai satu riadah dan ia juga salah satu aktiviti yang telah dirancang oleh JKKK Kampung berkenaan yang turut diberi kerjasama oleh Ranting PBB Kampung Baru Hulu/Hilir Betong

Program yang dijalankan selama 2 hari itu bermula pada 22 dan berakhir 23 Mei 2010 dengan beberapa aktiviti telah dijalankan bagi memeriahkan program tersebut antaranya Senaman Kecergasan, Ceramah kesihatan dan pertandingan bertandak,mewarna untuk kanak-kanak tadika dan sekolah rendah, Mini Autoshow juga turut di adakan.

Terdahulu Encik Razali Pegawai zat pemakanan, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong telah memberi ceramah kesihatan. Beliau membentangkan Konsep Pemakanan Sihat.

“ 3K bermaksud Kepelbagaian, Keseimbangan dan Kesederhanaan. Konsep ini perlu ada dalam kaedah pemakanan kita. Kita harus merancang pemakanan kita agar tubuh badan kita sihat.” kata Razali semasa memberi ceramah beliau.

“Menurut kajian, purata seorang rakyat Malaysia telah mengamalkan penggunaan gula sebanyak 50 kilogram setahun. Kadar yang tinggi dalam penggunaan gula dalam badan”.

“Untuk amalan pemakanan yang sihat seseorang boleh mengambil pemakanan bernisbah gula sebanyak tidak melebihi 10 sudu teh sehari”. Tambah beliau ketika mengulas pertanyaan penduduk kampung yang bertanya jumlah nisbah penggunaan gula dalam badan.

Pada sebelah malamnya pula pertandingan bertandak peringkat saringan di adakan dimana 9 pasangan telah mengambil bahagian.

Untuk aktiviti pada hari kedua, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak diteruskan. Seramai 130 orang peserta telah mengambil bahagian dalam 4 kategori yang dipertandingkan antaranya Praskolah/Tadika, tahun 1 dan 2, Tahun 3 dan 4, dan tahun 5 dan 6.

Sambil itu Kempen Derma Darah turut di adakan dimana sebanyak 37 pain darah telah diperolehi daripada kempen tersebut. Kempen ini juga merupakan rekod di sini kerana inilah kali pertama aktiviti kampung menganjurkan kempen derma darah.

Pada masa yang sama ‘Mini Autoshow’ juga diadakan bagi menjayakan program belia ini. Sebanyak 68 buah motosikal terlibat dalam program ini. Dengan 4 kategori diperagakan. Kategori Motorbike, Scooter, Display dan motor terkecil.

Bagi memberkati program belia ini, ahli jawatankuasa pengelola telah menjemput Tuan Haji Abang Zawawie bin Abang Rajit, Penghulu Kampung Melayu Betong untuk merasmikan aktiviti pada hari berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau mengharap kerjasama seumpama ini harus diteruskan bagi kesepakatan dan semangat berpasukan penduduk-penduduk kampung.

“Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan untuk kita mencungkil bakat kanak-kanak kita dan dari sini kita dapat melihat kebolehan anak-anak kita. Kita tidak mahu ketinggalan dalam mempastikan pendidikan yang sebaik-baiknya untuk mereka”.

“Saya mahu dalam kemajuan pendidikan dan kita perlu tranformasikan diri kita dan anak-anak kita dan sekurang-kurangnya seorang graduan setiap buah rumah di kampung kita ini”. Ucap Abang Zawawie semasa merasmi aktiviti mewarna.

Acara kemuncak program berakhir pada sebelah malamnya dihiasi dengan pertandingan akhir bertandak dimana kesemua peserta yang bersaing pada hari pertama layak untuk berentap dalam pertandingan akhir ini.

Cabutan tiket bertuah juga diadakan dan bagi merancakkan lagi majlis pada malam itu, sebanyak 25 buah hamper telah disediakan oleh pengelola untuk habuan penonton dan penduduk kampung yang telah membeli tiket.

Program kemuncak tersebut turut dirasmikan Penangguhannya oleh Pegawai Tadbir Sarawak Cik Hayati binti Sahari yang telah mewakili tuan Residen Bahagian Betong.
 
"Jarang kita melihat program seperti ini di adakan. Ini adalah permainan lama yang cuba diketengahkan semula oleh JKKK Kampung Baru Hulu Betong ini. Tahniah daripada kami. Kita juga telah bercadang untuk membawa juara pada malam ini ke majlis-majlis rasmi yang bakal di adakan ditempat kita sebagai persembahan dan memperkenalkan permainan ini". Ucap Hayati semasa penangguhan rasmi majlis berkenaan.
Beliau juga berpeluang menyampaikan hadiah kepada pemenang.


23 Mei 2010

PRODUK “TUPPERWARE BRANDS” JELAJAH BETONG

MDM ANNIE CHONG SEDANG MEMBERI CERAMAH KEPADA PESERTA


SEBAHAGIAN PESERTA YANG HADIR


Betong, 23 mei 2010. Seramai 90 orang ahli Tupperware telah menghadiri Program Demonstrasi Produk Tupperware untuk semua ahli di Daerah Betong bertempat di Dewan Jubli, Tapah Inn, Betong.

Program khas daripada New Chara Enterprise Kuching yang dikendalikan oleh Madam Annie Chong, selaku Senior Executive Director, Tupperware Sarawak bertujuan untuk memperkenalkan cara memasak secara sihat.

“Sejak 64 tahun yang lalu Tupperware telah wujud di dunia. Mereka telah memperkenalkan melebihi 200 jenis produk. Di Malaysia, Tupperware telah bertapak selama 45 tahun dan dalam dunia yang semakin maju Tupperware memperagakan produk mereka demi kesihatan yang berpanjangan”. Menurut Annie.

“ Kami akan memperkenalkan produk kami kepada media massa bermula awal Jun 2010 ini dan kami sekarang dalam rangka menjelajah Sarawak bagi memperkenalkan produk kami”.

“Kami juga memperkenalkan berbagai produk baru dan antara yang kami perkenalkan pada hari ini ialah peralatan ‘Steam It’ iaitu bekas untuk memasak secara mengukus dan ‘Eco Bottle’ bekas menyimpan air yang diluluskan untuk menyimpan air dalam peti ais”. Tambah beliau

Antara pengisian aktiviti program tersebut ialah memperkenalkan cara memasak menggunakan peralatan Tupperware dengan cara yang mudah dan ringkas.

Produk yang pelbagai diperkenalkan oleh syarikat tersebut telah memberi minat kepada Madam Helena Tiong, seorang guru di SMK Datuk Patinggi Kedit Betong menjadi salah seorang agen produk berkenaan di kawasan Betong. Beliau telah mempunyai ramai ahli dibawah beliau.

Disebabkan minat itulah beliau telah bersetuju untuk membawa pegawai kanan Tupperware Sarawak untuk memperkenalkan lebih jelas dan meluas produk berkenaan di Betong ini kepada semua ahli mereka.

“Kita telah berusaha menjemputkan seramai 100 orang ahli untuk sama-sama hadir dalam majlis ini. Hanya 90 orang yang dapat hadir pada hari ini. Disebabkan komitmen, mereka tidak dapat hadir sama hari ini”. Kata Helena semasa ditemubual.

“Semua ahli telah diminta membayar sebanyak RM10.00 seorang bagi pendaftaran masuk untuk program hari ini”. Tambah Helena.

Sessi berakhir dengan semua ahli telah diberi cenderamata sebagai kenangan kerana telah menghadiri program tersebut.

PROGRAM BICARA ILMU SEMPENA KONVENSYEN MODAL INSAN PERINGKAT LUAR BANDAR SARAWAK 2010 DI SMK SPAOH



IKHLAS DARI KAMI... Nasir menyerahkan cenderamata kepada Dr Richard



 
Majlis penyerahan sijil kepada peserta

 
Ucapan penangguhan oleh Dr Richard

RAMAI... penyertaan yang amat menggalakkan


Spaoh, 23 Mei 2010. “Keluarga merupakan Institusi Sosial yang bertanggungjawab terhadap perkembangan anak-anak kerana dalam kehidupan seharian, ibu bapa adalah merupakan orang yang paling rapat dengan kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk hala tuju pendidikan anak-anak. Sekiranya ibu bapa gagal dalam membuat perancangan yang betul sudah tentulah anak-anak menjadi mangsa kepada kealpaan mereka dan seterusnya anak-anak akan tercicir dalam pelajaran mereka”. Memetik teks ucapan Dr. Richard Rampu yang mewakili Yang Berhormat Encik Robert Lawson Chuat, ADUN N.32 Bukit Saban semasa merasmikan Penutupan Program Bicara Ilmu bersempena Konvensyen Modal Insan Peringkat Luar bandar Sarawak 2010 di SMK Spaoh kelmarin.

“Dalam keadaan ini kemahiran dan ilmu keibubapaan menjadi satu keperluan yang amat penting untuk semua ibu bapa . Kemahiran dan ilmu ini dapat diperolehi melalui pembacaan, mengikuti majlis-majlis tentang keibubapaan seumpama hari ini serta berkongsi pengalaman dengan cerdik pandai dan juga ibu bapa yang lain”. Tambah beliau

Program yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Betong dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar / Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA) dan Pejabat Residen Betong, turut dihadiri ibu bapa pelajar SMK Spaoh serta penduduk kampung yang berdekatan.

Kehadiran peserta yang amat menggalakkan dimana seramai 768 orang yang hadir, melepasi sasaran awal seramai 400 orang.

Program ini adalah kesinambungan daripada Majlis Pelancaran Konvensyen Modal Insan Luar Bandar (KPLB) yang pernah diadakan sedikit masa dulu. Ianya merupakan gerakan untuk memperkasakan penduduk desa dengan 3 daya utama (daya manusia, daya ekonoomi dan daya pasaran) bagi memastikan mereka mempunyai modal insan yang relevan untuk memulakan inisiatif mencapai wawasan membangun keluarga sejahtera.

“Objektif program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran ibubapa luar bandar sebagai perancang modal insan dan fasilitator pembelajaran anak-anak”. Menurut Encik Nasir bin Len, Penyelia, Pejabat Pelajaran Daerah Betong dan orang yang bertanggungjawab mengendali dan memperkenalkan program berkenaan dengan kerjasama SMK Spaoh.

“Selain itu ia juga bagi memantapkan Institusi keluarga luar bandar sebagai wadah utama pencegah gejala sosial, disamping menjadi perunding kerjaya anak-anak setelah tamat pendidikan formal peringkat menengah”. Ujarnya lagi.

Program yang berkonsepkan ceramah dan bengkel telah dikendalikan bersama oleh Encik Nasir sendiri yang membentang Laporan prestasi akademik dan faktor kemerosotan pelajar di Bahagian Betong.

Pegawai dari BDA yang memperkenalkan tentang Projek SCORE, Impak dan Peluang Pekerjaan,

Encik Mohd. Suib bin Haji Maknun, pegawai Yayasan Sarawak yang membentangkan Tips dan Teknik Merangsang anak belajar dan;

Tuan haji Kipli bin Haji Yasin, seorang pakar perunding Motivasi Keibubapaan yang mengetengahkan Petua Membina Keluarga Bahagia dan Mendidik Anak.

Beberapa aktiviti lain turut diadakan termasuklah Expo Pendidikan dan kerjaya . Sebanyak 36 agensi terlibat menjayakan pameran termasuk daripada PTPL, Kolej Komuniti, Politeknik, UiTM, UNIMAS, ILP Yayasan Sarawak. Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Kesihatan, Lembaga Tabung Haji, Baitulmal serta Pameran Buku.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Encik Richard Ngabong, Pegawai Tadbir Sarawak Daerah Spaoh, Encik Awang Ali bin Pengiran Amin, Pegawai Lembaga Kemajuan Bintulu dan Tuan Haji Ismail bin Haji Jaya, Pengetua SMK Spaoh.

18 Mei 2010

SMK ST AUGUSTINE MENERIMA LAWATAN PENANDAARASAN PENGARAH BPSH, KPM

Bangunan SMK St Augustine Betong



Encik Paul menerangkan sesuatu kepada Dato' Zulkifly

Ybhg Dato' menandatangani buku pelawat


Betong,(30 April 2010) Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia Dato’ Haji Zulkifly bin Mohd Wazir beserta rombongan telah melawat Sekolah Menengah Kebangsaan St Augustine Betong. Lawatan berkenaan sempena penempatan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) kali ke 2 dalam tahun 2010 ini.

Kedatangan rombongan seramai 6 orang yang terdiri daripada Yang Berbahagia Dato’ Haji Zulkifly, Encik Razali bin Haji Idris dan Encik Haris bin Yahya Pegawai di Kementerian Pelajaran Malaysia,  Encik Phang Chun Yow dan Cik Florina Abitt, Penolong Pengarah, Unit Menengah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan Cik Hjh Aiwan @ Noraini bt Hj Alli, Ketua Unit, Unit Pengurusan Sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah Betong telah disambut oleh Pengetua SMK St Augustine Betong, Encik Paul anak Langgang.


Rombongan berbincang sesuatu

Dalam lawatan berkenaan, rombongan berkesempatan melihat kawasan sekolah berkenaan dan memantau program orientasi Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) yang telah dihantar bertugas ke sekolah berkenaan bermula pada hari tersebut.


Encik Ismail Mohamad sempat berkongsi maklumat bersama pegawai KPM

Encik Ismail bin Mohamad, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK St Augustine Betong juga sempat berkongsi maklumat tentang masalah disiplin pelajar disekolah-sekolah dan konsep menangani masalah-masalah pelajar. Peluang yang datang tidak dipersia-siakan oleh beliau untuk bertanya dan mendapat panduan bagi menghadapi kerenah pelajar dimasa akan datang.

Perjumpaan dan penjelasan ringkas bersama pengarah BPSH KPM dan pegawai di kementerian Pelajaran  penuh bermakna bagi pihak pengurusan SMK St Augustine dan berharap pertemuan dan lawatan seumpana ini sentiasa wujud di masa-masa akan datang.

Sebelum rombongan beredar mereka turut disajikan dengan minum rehat oleh pihak sekolah.


17 Mei 2010

SK MUTON DEBAK MENJAYAKAN SAMBUTAN HARI GURU


SELAMAT HARI GURU... para guru memotong kek Hari Guru sempena majlis tersebut.





TERIMA KASIH CIKGU... wakil murid dari setiap kelas memberi cenderahati kelas kepada Jamali

MAAFKAN KAMI CIKGU... murid-murid bersalaman sambil mengucapkan selamat Hari Guru kepada semua guru mereka


Debak, 17 Mei 2010 (Isnin). SK Muton Debak telah mengadakan majlis sambutan Perayaan Hari Guru peringkat sekolah berkenaan hari ini.
Majlis ringkas tetapi penuh bermakna itu telah dimulakan dengan ucapan oleh Guru Besar Encik Jamali bin Seman dan beliau juga telah membaca teks perutusan Hari Guru oleh Menteri Pelajaran Malaysia. Terdahulu dalam ucapan dasarnya beliau menyeru semua guru-guru disekolah itu supaya sentiasa mengamalkan budaya kerja yang positif dan cemerlang di dalam melaksanakan tugasan harian sebagai seorang pendidik.

“ Terima kasih di atas usaha gigih semua guru dalam usaha meningkatkan prestasi sekolah. Berfikiran positif dalam usaha menjayakan tranformasi diri dan meningkatkan penjanaan pendidikan berkualiti dan berkemampuan sebagaimana seruan perdana menteri”. Jelas beliau.

“Tujuan kita mengadakan majlis ini sebagai pendedahan kepada murid-murid maksud hari guru. Supaya murid-murid menghargai jasa guru yang selama ini telah mendidik mereka. Pelajar juga berpeluang untuk meluahkan perasaan, pengertian dan ungkapan melalui luahan yang mereka persembahkan dalam apa jua cara mereka sendiri”.

“bertepatan dengan tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ saya berharap sebagai 'role model’ guru akan terus bersemangat dan beriltizam dan memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan murid. Murid-murid pula hendaklah sentiasa memperkukuhkan disiplin dan jati diri dan menjadikan mereka golongan yang berhemah dan berpekerti mulia dan sentiasa mematuhi dan mendengar nasihat serta tunjuk ajar yang diberikan”. Tambah beliau.

Meneruskan majlis berkenaan, Encik Gayan anak Sango Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu juga telah membaca perutusan Hari Guru daripada Pengarah Pelajaran Malaysia bagi menyampaikan secara terus kepada semua guru dan pelajar.

Memetik ucapan beliau “Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi’.

“Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan. Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalah memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan Negara”

Majlis lebih bermakna dan berseri apabila acara memotong kek Hari Guru oleh semua guru turut diadakan. Terdahulu Jamali berkesempatan memberi cenderahati sebagai tanda terima kasih kepada semua guru-guru.

Murid-murid juga diberi ruang untuk menjayakan majlis ini apabila pelajar diberi kesempatan untuk membuat persembahan mengikut kelas masing-masing.

Suasana ceria bertukar hiba apabila murid-murid yang membuat persembahan menghayati pengertian sebenar pengorbanan insan yang bernama guru. Ada yang menangis sebak tidak kurang ada yang hanya tersengih.

Sebelum majlis berakhir, semua pelajar dijemput bersalaman dengan semua guru dan ada juga yang memberi cenderahati kepada guru-guru mereka.

Jamuan makan tengahari bersama guru turut diadakan pada akhir majlis berkenaan.

15 Mei 2010

JASA BETONG ANJUR SUKANEKA TERTUTUP KAMPUNG MELAYU BETONG

Betong, 15 Mei 2010 (Sabtu). JASA Betong dengan kerjasama Ranting PBB Kampung Hilir/Tengah Betong, Ranting PBB Kampung Masjid/Passa Betong dan Ranting PBB Kampung Baru Hulu/Hilir Betong akan menganjurkan Program Sukaneka peringkat Kampung Melayu Betong.

Program Sukaneka yang dirancang akan diadakan pada 29 Mei 2010 bertempat di Kompleks Sukan Betong merupakan aktiviti tertutup untuk penduduk Kampung Melayu Betong yang merangkumi Kampung Hilir yang bergabung dengan Kampung Tengah Betong, Kampung Masjid bergabung bersama Kampung Melayu Passa Betong dan Kampung Baru Hulu bergabung dengan Kampung Baru Hilir Betong.

“Program ini adalah anjuran JASA Betong dengan kerjasama tiga Ranting PBB di Kampung Melayu Betong dan pelbagai acara telah kita rancang bagi menjayakan program tersebut”. Kata Pengerusi Ranting PBB Kampung Hilir/Tengah Betong, Encik Abdul Rahman bin Ismail yang juga merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa program berkenaan.

“Encik Tony Malang, pegawai JASA Betong telah memohon kepada kami, Pengerusi Ranting PBB di ketiga-tiga kawasan ini untuk menjadi Pengerusi Bersama untuk sukaneka berkenaan.

“Matlamat utama penganjuran program ini adalah mewujudkan masyarakat bersatu-padu dan harmoni melalui aktiviti sukan, pertemuan dan pergaulan menerusi aktiviti yang telah dirancangkan. Kita juga telah membahagi kepada 3 zon yang masing-masing melibatkan Ranting PBB kawasan terbabit.

“Zon Kuning untuk pasukan Ranting PBB Kampung Baru Hulu/Hilir Betong, Zon Merah pasukan Ranting PBB Kampung Masjid /Passa Betong dan Zon Biru pasukan Ranting Kampung Hilir/Tengah Betong. Semua pasukan yang mengambil bahagian akan menggunakan pakaian mengikut warna zon masing-masing”.

“JASA Betong telah memperuntukkan sebanyak RM 5,000.00 untuk menjalankan aktiviti berkenaan dan memohon kerjasama pihak Ranting PBB di kawasan kita untuk menjayakan program ini. Pihak kita juga telah menubuhkan jawatankuasa Induk program dan jawatankuasa permainan bagi merancang berbagai acara dalam program tersebut. Ada juga permainan lama yang kita gabungkan bagi mengetengahkan permainan tersebut kepada belia kampung”. Tambah beliau.

Antara acara yang dipertandingkan adalah Lari dalam guni berganti-ganti, Tiup belon sampai pecah, Isi air dalam botol menggunakan span, Lari bawa bola ping-pong menggunakan sudu, Pancing botol, Bola Sepak Lelaki (berkain pelikat), Tarik Tali Lelaki dan Wanita, Kuit, Menganyam Ketupat dan Membuat kuih asli.

“JKKK Kampung Masjid Betong yang telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan buku program memohon kepada semua pengerusi jawatankuasa permainan yang juga telah diminta menyediakan kertas kerja bagi setiap permainan yang dirancang menyerahkan kertas kerja mereka kepada jawatankuasa kami. Ini adalah untuk persediaan mengendalikan setiap permainan semasa sukaneka itu nanti dan semua kertas kerja tersebut juga akan dimasukkan dalam buku program”. Jelas Encik Saleman bin Senin selaku ahli jawatankuasa Buku Program sempena Sukaneka berkenaan.

Pihak pengelola juga berharap sukaneka itu nanti akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingini dan semua perancangan akan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak yang terlibat.

13 Mei 2010

MALANG TIDAK BERBAU -KERETA KANCIL LANGGAR MOTOSIKAL

MALANG TAK BERBAU... Kereta kancil langgar motosikal


Betong 13 Mei 2010(Khamis). Sikap tidak berhati-hati dan leka semasa memandu boleh menyebabkan kemalangan, itulah yang berlaku kepada seorang wanita yang memandu sebuah kereta kancil dan telah melanggar sebuah motosikal.

Kira-kira jam 2.10 petang ketika dalam perjalanan untuk pergi ke pejabat, seorang lelaki telah mengalami kecederaan setelah motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah kereta kancil. Kejadian itu berlaku di kawasan persimpangan Jalan Rentap berdekatan Balai polis lama Betong.

Kereta Kancil tersebut yang dipandu oleh wanita itu dalam perjalanan untuk pergi ke pejabat Majlis Daerah Betong. Dalam keadaan teragak-agak dan kurang berhati-hati beliau telah keluar daripada simpang yang sepatutnya beliau berhenti dan memerhati dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Namun tidak diduga sebuah motosikal yang ditunggang oleh lelaki berkenaan ingin membelok masuk ke simpang tersebut. Kenderaan tersebut telah bertembung dengan motosikal tersebut menyebabkan penunggang motosikal tersebut terjatuh dan kaki sebelah kanannya tercedera.


Anggota JPA turut membantu lelaki berkenaan..

 
Orang ramai yang kebetulan dalam perjalanan untuk pergi ke pejabat turut memberi pertolongan kepada lelaki berkenaan. Seorang pegawai polis yang kebetulan melalui jalan tersebut telah bertindak menghubungi balai polis untuk meminta bantuan.

Anggota Pertahanan Awam yang sentiasa memantau kawasan kebetulan melalui jalan tersebut juga telah bertindak segera memberi bantuan kepada lelaki berkenaan. Walaupun Cuma mengalami kecederaan ringan namun tindakan tangkas pihak yang memberi pertolongan dengan pantas telah membantu lelaki berkenaan haruslah dipuji.

Wanita berkenaan yang dalam keadaan serba salah itu juga turut keluar dari kenderaan beliau dan sama-sama membantu lelaki berkenaan.

Laluan menjadi sesak kerana jalan persimpangan itu adalah sebahagian jalan utama untuk orang ramai berulang alik untuk ke pejabat, menghantar anak-anak ke sekolah dan jalan menuju ke kampung.

Pihak polis yang segera sampai ke tempat kejadian telah menyelesaikan masalah yang timbul dengan pantas dan kenderaan tersebut telah dialihkan ke tepi jalan.

Difahamkan bahawa mereka telah berbincang bersama pegawai polis untuk menyelesaikan masalah berkenaan dengan aman. Lelaki tersebut telah dibawa kehospital bagi mendapat rawatan dan wanita berkenaan sanggup membayar ganti rugi diatas semua kerosakan dan kecederaan lelaki tersebut.